Nisda suka Norman
Wah! Nampaknya, Nisda berani mati membuat pengakuan bahawa dia memang suka pada Norman. Hai! Bertuah si Norman ni ya, ada wanita yang berani membuat kenyataan seperti itu. Mana tidaknya, abang long kita ni memang payah nak lekat apabila bercinta.
"Terus terang Nisda katakan, Nisda memang suka dan minat abang Norman. Abang Norman tu kuat bekerja, berdisiplin dan tegas dengan artis-artis di bawah labelnya. Sewaktu fotografi tempoh hari, Nisda tengok abang Norman okey dan tak sombong. Nisda respect kat dia. Pencapaian muzik KRU juga bagus.
"Dahulu, Nisda memang tiap-tiap hari akan mendengar album Ooh! La! La! dendangan KRU daripada lagu pertama sehingga ke lagu ke-10. Tapi jangan ingat lain pula, Nisda hanya meminatinya sebagai seorang peminat. Dan lagu-lagu KRU yang Nisda dengar itu adalah sebagai background muzik untuk membuat senamrobik. Nisda juga minat pada Kak Erra.
"Kalau ditakdirkan kami bercinta. Eh! Tak mungkin, siapalah Nisda ni. Enggang sama enggang, pipit sama pipit. Bahkan, sewaktu hendak mengadakan sesi fotografi dengan mereka pun, Nisda segan sangat, dia orang jauh lebih popular dan senior dalam bidang ini. Apabila HAI menggandingkan Nisda dengan abang Norman, Nisda lebih selesa menundukkan kepala daripada bertentang mata dengannya," jelasnya merendah diri.
Intim dengan L
Apabila ditanya mengenai siapakah buah hatinya, Nisda memberitahu bahawa dia kini intim berkawan dengan seorang lelaki yang mahu dikenali dengan panggilan L sahaja.
"L ni bekerja sambil belajar. Nisda senang berkawan dengannya. Buat masa ini, L adalah kawan rapat Nisda. Kami selalu berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Nisda suka berkawan dengan L sebab kami satu kepala. Bahkan, minat dan hobi kami juga lebih kurang sama. Dia juga suka bidang seni dan bersukan.
"Bagaimanapun, kami baru berkawan, adalah dalam masa enam bulan. Perkenalan kami terjalin secara tidak sengaja kerana kebetulan kami terserempak di lokasi yang sama. Sejak itu, kami adalah berhubungan menerusi telefon dan tak adalah nak berdating selalu.
"L juga sering mengingatkan Nisda agar berhati-hati sewaktu menunggang motosikal. Pada mulanya, dia memang tak bagi Nisda bawa motor tapi itu adalah minat Nisda, maka dia terpaksa akur. Biarpun hubungan kami boleh dikatakan intim tetapi Nisda belum terfikir lagi untuk menjalinkan hubungan yang serius sehingga ke jinjang pelamin.
"Tunggulah tiga empat tahun lagi. Sekarang, Nisda baru 23 tahun. Nisda perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap adik-adik dan keluarga. Nisda mahu menyenangkan keluarga dahulu," jelasnya yang sudah menyusun jadualnya untuk tahun hadapan.
Jelajah Sarawak & Brunei
Mengenai bidang pengacaraan yang diceburinya melalui program Eksplorasi M, Nisda memberitahu, dia sudah pun menjalani penggambaran musim baru program tersebut.
"Eksplorasi M sudah pun masuk musim baru. Penggambaran untuk 13 episod pertama untuk musim itu sudah pun dibuat tidak lama dulu di kawasan Utara, Selatan dan Pantai Timur. Pada Jun depan, Nisda telah terpilih untuk menjadi pengacara bergandingan dengan penyanyi, Fazley dalam program wanita yang berbentuk infomasi berjudul Juwita.
"Tentang bidang lakonan pula, Nisda banyak mendapat tawaran untuk berlakon
telemovie. Tetapi disebabkan Nisda dah terikat dengan Eksplorasi M, jadi
terpaksa Nisda menolak tawaran itu. Mengenai tawaran untuk filem pula, Nisda
sedang mempertimbangkan satu skrip. Kalau semuanya okey, insya-allah Nisda akan
menerima tawaran itu," jelas Nisda yang turut memberitahu bahawa dia telah
menghiasi iklan banner Nescafe di pusat membeli-belah dan menjalani uji
bakat untuk satu game show.