Status suami orang selamatkan Edry daripada gosip cinta
Satu-satunya anggota KRU yang berada dalam kedudukan 'zon selamat' daripada dilanda gosip cinta ialah Edry. Ini kerana Edry sudah pun berumah tangga dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Emil, 19 bulan. Justeru, apabila Norman mahupun Yusry diusik dengan usikan nakal tentang bab cinta, Edry boleh ketawa besar! Apa komen Edry apabila ditanya, status suami orang menjadi penyelamat baginya?
"Itu satu soalan yang bagus ditanya kepada saya. i dalam KRU dilanda gosip cinta, dalam hati saya tersenyum sinis. Selamat dah daripada digosip. Apabila orang keliling bercakap tentang gosip cinta Norman ataupun Yusry, saya katakan kepada mereka bahawa inilah yang perlu mereka hadapi dengan tabah.
"Tak kisahlah sama ada gosip yang melanda adik-beradik saya tu betul mahupun tidak. Bagi diri saya pula, saya sudah pun melalui dan melepasi perkara itu. Apabila saya terbaca gosip cinta Norman denga Rina X-Pose, saya katakan kepada Norman: 'Here you go again!'
"Saya faham apabila Norman dan Yusry masih diburu gosip cinta. Apatah lagi mereka tu masih available dan ada nama. Saya tahu, apabila Norman kena gosip macam tu, he's a little bit tense. Saya katakan padanya: 'Sikit aja pasal kisah cinta. Relakslah.'
"Terus terang saya katakan di sini, di antara kami tiga beradik ni, jarang benar bercakap tentang hal-hal berkaitan wanita mahupun cinta. Kami tak pernah berbincang tentang perkara-perkara peribadi macam ni. Kami tak berkongsi dalam hal begini. Melainkan dengan emak dan ayahlah.
"Walau bagaimanapun, saya tetap tahu apa yang terjadi ke atas Norman dan Yusry. Dengan Norman, adalah saya bagi pandangan kalau dia terkena gosip cinta. Kadang-kadang tu, Norman ada juga bercerita dengan saya. Tetapi dengan Yusry... Tak ada. Sebab Yusry lebih menyendiri," kata Edry.
Anak kedua
Edry ketawa lagi apabila ditanya, tidakkah dia ingin menimang anak kedua. Maklumlah, anak sulungnya, Emil akan berusia dua tahun pada 7 Oktober nanti.
"Rasanya masih terlalu awal untuk saya mempunyai anak kedua. Tunggulah lagi setahun dua. Ataupun saya rasa, eloklah bagi peluang kepaa Norman dan Yusry untuk mendapatkan anak sendiri. Takut nanti dia orang 'tak terkejar'!
"Kalau saya tambah bilangan anak, nanti tiba Hari Raya, banyaklah angpau yang perlu Norman dan Yusry beri. Jadi, apa kata kita tunggu dulu... Tengok setahun dua ni, antara Norman dengan Yusry, boleh tak 'lawan' saya," kata Edry yang gemar berseloroh.
Selepas berumah tangga, perubahan sikap Edry memang amat ketara. Perubahan ini dilihat dari sudut positif. Edry lebih bersikap terbuka dan senang didekati untuk ditemu bual.
"Saya akui, selepas berkahwin dengan Milia dan mempunyai Emil, sikap saya banyak berubah. Saya lebih bersikap terbuka. Saya juga lebih bertanggungjawab berbanding dahulu iaitu sebelum berkahwin.
"Sebenarnya, inilah personaliti saya. Saya bercampur dan belajar bagaimanag untuk bersikap lebih bertanggungjawab. Pengalaman lepas turut mengajar saya bagaimana caranya untuk berkomunikasi. Tetapi segala perubahan yang terjadi ke atas diri saya sebenarnya berlaku secara tidak langsung.
"Saya juga melihat banyak perkara dari sudut yang lebih luas. Dulu, semasa mula-mula jadi artis, memang sikap saya ialah: I'm the best. Screw everybody. Kalau beraksi di atas pentas, saya nak impress peminat perempuan.
"Tetapi sekarang, apabila berada di pentas, saya tidak lagi bersikap begitu. Saya fikir, saya nak cari rezeki untuk isteri dan anak. Saya lebih serius dan komited dengan kerja. Saya bersyukur kerana bertemu jodoh denga Milia. Ini kerana, sebagai isteri, dia memahami tugas dan kesibukan suaminya.
"Mungkin saya ada kelebihan kerana sebelum kami berkahwin, Milia sudah tahu jadual bekerja saya. Dia tahu betapa sibuknya KRU. Norman pula, kalau ada 25 jam sehari, dia akan bekerja selama 25 jam sehari. Mana nak lekat 'awek'!
"Seperkara lagi, kalau kita ni kaki berpesta, kat situlah kita akan jumpa awek. Saya tak bermaksud di sini yang kaki berpesta tu, jahat. Cuma apa yang saya nak jelaskan, siapa yang mengelilingi kita, orang itulah yang akan rapat dengan kita. Dan kemungkinan juga, bercinta dengan kita. Saya memanglah bernasib baik kerana isteri saya sudah mengenali saya dan kerja saya sebelum kami berkahwin. Sekalipun isteri saya berada di rumah, dia tahu saya sibuk dengan kerja kat pejabat ataupun di studio.
"Baik saya mahupun Norman dan Yusry, kami sedah melepasi zaman belasan tahun. Jadi, kalau Norman nak cari calon isteri, kenalah cari yang serius. Bukannya jumpa kat pesta-pesta," ujar Edry.
Album KRUjaan
Edry girang apabila bercerita tentang album terbaru KRU berjudul KRUjaan. Dia juga seronok apabila bercerita tentang pengaktifan semula kelab peminat KRU.
"KRUjaan adalah album ke-10 kami. Selain album terbaru KRU, kami juga menerbitkan sebuah album tribute untuk KRU. Album tribute ni melibatkan artis-artis KRU Music. Mereka nyanyikan semula 10 lagu-lagu popular KRU. Judul album tribute ni ialah 10/10 (disebut sebagai Sepuluh Per Sepuluh).
"Album KRUjaan sudah pun dipasarkan pada 16 Mei lalu. Selepas pelancaran album tu, kami akan wujudkan semula Kelab Peminat KRU. Dulu, kami memang ada kelab peminat iaitu KRU Posse. Kelab peminat tu kita wujudkan pada tahun 1995 hingga 1998.
"Waktu tu, keahlian kelab peminat kami adalah dalam 10 ribu orang. Yuran yang dikenakan memang terlalu rendah, RM15 sehaja setahun. Memang tak economical. Segala kos, kita yang tanggung.
"Kemudian, kelab peminat tu kita buka di Internet. Tetapi masalahnya, peminat di luar bandar yang tidak ada kemudahan Internet, tidak dapat nak melayari laman web kita. Kiranya cara itu tak menyeluruh.
"Maka itulah kita aktifkan semula Kelab Peminat KRU secara conventional. Bahan-bahan seperti flyers, kita pos kepada ahli. Yurannya, RM50 setahun. Ada kemeja-T eksklusif untuk 1,000 peminat pertama yang mendaftarkan diri sebagai ahli.
"Mana-mana ahli akan diberikan kad keahlian dan maklumat terkini mengenai
KRU. Kita juga adakan aktiviti bersama peminat seperti bercuti bersama KRU.
Lain-lain faedah yang akan diperolehi oleh ahli kelab KRU ialah CD sampler
yang akan dihantar kepada ahli sekali dalam tempoh tiga bulan," kata Edry
mengakhiri perbualan.