"Yusry, teman waktu susah dan senang" - Erra
Setelah Yusry dan Erra Fazira membuat pengakuan bahawa hubungan yang terjalin di antara mereka adalah rapat. Kini ramai yang nak mengetahui apakah kesudahan hubungan itu?
"Hubungan Erra dengan Yusry memang rapat. Tapi tidaklah sehingga mempunyai tarikh untuk berkahwin. Kononnya pada April lalu, kemudian Jun ini dan terbaru September depan.
"Sebelum ini, ada yang berkata, kami nak berkahwin pada 2.2.02. Letihlah Erra nak mendengar cerita yang tak habis-habis ini.
"Erra sendiri pun, tak tahu bilakah tarikh Erra nak kahwin. Tapi yang hairannya, mana dia orang dapat tarikh tu semua? Erra dan Yusry tak ada pun berbincang mengenai tarikh itu. Nampaknya, cerita daripada mulut orang lebih dipercayai daripada tuan empunya diri.
"Sebenarnya, kami masih lagi dalam proses kenal-mengenali. Setakat ini, Yusry adalah kenalan lelaki yang rapat dan boleh dipercayai. Segala masalah akan kami kongsi bersama. Malah, Yusry adalah teman pada waktu susah dan senang.
"Kalau ditakdirkan suatu hari nanti, Erra akan berkahwin, Erra masih lagi nak bertunang walaupun dahulu pernah dot, dot, dot. Tapi bukannya bertunang dalam tempoh masa yang lama. Mungkin sekejap, selepas tu terus kahwin.
"Bagaimanapun, Erra tak berani nak meletakkan tempoh pada seseorang sama ada nak berkahwin pada hujung tahun ini ataupun pada awal tahun hadapan. Erra tak nak memberikan tekanan.
"Erra percaya, Tuhan akan tolong menggerakkan hati kita kalau betullah individu itu bakal menjadi suami Erra. Tapi kalau ikutkan hati, rasanya lambat lagi Erra nak kahwin. Banyak tanggungjawab Erra, terutamanya pada keluarga.
"Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, segalanya terserah pada takdir kalau dah sampai seru dan terbuka pintu hati. Tapi Erra harap, biarlah bakal suami Erra itu bukan sahaja sayang pada Erra tetapi juga keluarga Erra," jelas penyanyi dan pelakon yang sudah berusia 28 tahun ini.
Memang tidak dinafikan, kita hanya mampu merancang dan menentukannya adalah Tuhan, andai kata, hubungan itu tidak sampai ke jinjang pelamin, apakah komen Erra?
"Erra dan Yusry tak berbincang sampai nak kahwin pun. Setakat ini, hubungan kami berjalan lancar dan tak terfikir ada jodoh ataupun tidak. Lainlah, kalau kami memang betul-betul merancang tapi jadi sebaliknya. Erra terpaksalah tebalkan muka lagi. Dan Erra juga tidak boleh nak melawan kehendak Tuhan.
"Erra mesti kuat sekali lagi dalam menempuh apa juga dugaan. Mungkin apa yang terjadi ini ada hikmahya kerana Erra yakin Tuhan akan memberikan jodoh yang terbaik buat orang yang baik juga," jelasnya yang berduet dengan Yusry dalam lagu Ucapankanlah menerusi album KRU yang berjudul 'KRUjaan".
Manakala album terbaru Erra yang berjudul 'Sampai Bertemu' telah pun berada di pasaran. Menerusi album tersebut Erra telah berduet dengan penyanyi Indonesia, Rio Febian dalam lagu, Nada Kasih.
Watak pontianak
Erra kini sibuk berlakon dalam filem Soalanya Siapa, bergandingan dengan Afdlin Shauki di Pulau Pinang.
"Penggambaran Soalnya Siapa telah bermula pada penghujung bulan ini. Filem ini adalah sambungan daripada filem Soal Hati.
"Kalau Erra tidak mengambil tawaran itu, mungkin susah bagi produser filem tersebut, Kak Chah (Habsah Hassan) untuk membuat sambungannya. Disebabkan Erra telah menyatakan persetujuan untuk berlakon dalam filem itu pada Hari Raya yang lalu, jadi Erra mesti tunaikan janji walaupun Erra terpaksa menghentikan promosi untuk album terbaru Erra buat seketika.
"Lagipun sebelum ini, album Erra itu dah tertangguh tarikh pasarannya, jadi bukan menjadi satu kesalahan kalau Erra berlakon filem Kak Chah. Memang jalan cerita filem ini, ia tak banyak lari daripada filem dulu, cuma watak Nurul Ain kini sudah menjadi siswazah di sebuah universiti.
"Baru-baru ini, Erra mendapat tawaran untuk memegang watak sebagai pontianak daripada pengarah Shuhaimi Baba. Erra telah diberi dua pilihan sama ada memegang watak pontianak di zaman 40-an ataupun berlakon dalam beberapa shot untuk watak masa kini.
"Masalahnya sekarang, jadual penggambaran filem itu bertembung dengan penggambaran filem terbaru Erra bersama Datuk Yusof Haslam pada September depan. Buat masa ini, Erra tengah memikirkan tawaran tersebut. Erra memang teringin nak bekerja dengan Shuhaimi Baba untuk art movienya itu," jelas Erra yang mengakui takut untuk menonton filem hantu apatah lagi mendengar muzik seram.
Perbaharui kontrak
Menurut Erra, kontraknya bersama Avon telah diperbaharui baru-baru ini.
"Sebagai duta kepada Avon, Erra akan melibatkan diri dalam kempen Kiss Good Bye To Breast Cancer anjuran produk kecantikan itu pada Julai depan. Avon akan membuat kempen itu secara besar-besaran untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit yang tidak mengenal usia dan keturunan itu. Disebabkan kempen ituah, Erra berminat untuk menyambung kontrak dengan Avon.
"Bayaran untuk kontrak itu, alhamdulillah. Itu sahaja yang dapat Erra
cakapkan. Kemungkinan juga, Erra akan menandatangani kontrak untuk satu jenama
yang bakal menggunakan nama Erra. Buat masa ini, kami masih lagi dalam proses
perbincangan. Dijangka, bisnes itu akan dimulakan pada hujung tahun ini,"
jelas Erra bahawa pihak Avon dan Celcom sedang berbincang untuk bekerjasama
bagi menjayakan konsertnya, Ogos depan.