Erra Fazira - Kuasai lakonan dan nyanyian
Oleh NAZERI NONG SAMAH

MELIHAT kepada senarai artis era tahun 1990-an, ternyata Erra Fazira adalah antara yang berjaya cemerlang sebagai pelakon dan penyanyi hingga kini. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Erra Fazira mempunyai sejarah yang menarik sebelum dikenali ramai sekarang.

Sebenarnya Erra Fazira meniti dari bawah sebagai penyanyi dan penari latar kepada persembahan penyanyi Azreen pada awal tahun 1990-an dahulu. Ketika itu tidak ada siapa yang menduga budak penari tersebut akan berada di barisan hadapan pula kini sebagai artis ternama. Namun berkat usaha selepas mengalami jatuh bangun di dalam perjuangannya, Erra Fazira yang berasal dari Rawang, Selangor itu kini telah menuai satu persatu kejayaannya.

Sewaktu berusia belasan tahun Erra Fazira pernah bercadang untuk merakam album dengan sebuah syarikat yang baru ditubuhkan, tetapi impian itu tidak kesampaian. Bagi mengisi kekosongan aktivitinya, beliau pernah menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta dan dalam masa yang sama mencuba nasib menyertai pertandingan Ratu Cantik Malaysia sehingga muncul tempat pertama sekali gus mewakili negara. Beliau adalah Ratu Cantik Melayu terakhir sebelum keluar larangan penyertaan gadis-gadis Melayu dalam pertandingan itu. Selepas itu nama Erra Fazira kian menjulang dan menjadi rebutan syarikat rakaman lagu dan penerbit filem.

Lagu Yang Indah Hanya Sementara persembahan evergreen Erra Fazira sekali gus menjadikannya turut laris sebagai penyanyi untuk pertunjukan pentas, televisyen dan majlis makan malam korporat. Terbaru Erra Fazira adalah artis undangan yang mengadakan persembahan sempena majlis Anugerah Radio ERA 2002 di Genting Highlands, Pahang pada 28 September lalu.

Beliau yang juga bintang ciptaan pengarah jutawan Datuk Yusof Haslam itu kini giat menjalani penggambaran sebagai pelakon utama filem Janji Diana keluaran Skop Production, selain Gila-Gila Pengantin arahan Aziz M Osman. Filem Maria Mariana arahan Yusof Haslam adalah filem pertama yang menjulang nama Erra Fazira yang terus laris sehingga kini. Pembabitan Erra Fazira sebagai pelakon membuktikan penyanyi popular tidak perlu takut untuk menerjuni ke dunia filem.