'Soalnya Siapa?' temui penonton hari ini

SEBELUM filem 'Soalnya Siapa?' menemui peminat di pawagam mulai hari ini, filem tersebut sebenarnya telah ditayangkan sebanyak dua kali bagi tujuan amal.

Kali pertama filem lakonan Erra Fazira dan Afdlin Shauki itu ditayangkan di hadapan 2,000 mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Kemudian filem arahan Othman Hafsham itu ditayangkan kepada 2,200 penonton di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Persatuan Siswazah Malaysia untuk kutipan dana siswazah cemerlang.

Menurut produsernya, Habsah Hassan dari Serangkai Filem Sdn. Bhd, beliau sengaja mengambil pendekatan sebegitu sebagai salah satu langkah promosi.

Menerusi tayangan amal tersebut beliau dapat memecah tembok pemikiran segelintir penonton Melayu yang selama ini tidak berminat untuk menonton filem tempatan.

Katanya, walaupun promosi filem tersebut masih di peringkat awal, beliau bersyukur kerana kebanyakan peminat filem telah menonton tayangan amal. Ini secara langsung menyebabkan mereka menghebahkan kepada rakan-rakan yang lain sewaktu pulang berhari raya.

``Misi utama saya adalah untuk mengajak orang Melayu yang tidak suka menonton filem Melayu menjadi penonton filem tempatan.

``Realitinya kita tahu bahawa golongan yang tidak gemar menonton filem tempatan adalah golongan korporat dan pelajar pengajian tinggi. Menerusi tayangan amal itu sedikit sebanyak saya berjaya menarik perhatian mereka untuk mengubah tanggapan tersebut,'' katanya yang ditemui di majlis sambutan hari raya dan Krismas di PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis tersebut juga pihak PNB Darby Park telah meraikan 60 kanak-kanak yatim dari rumah Islamic Outreach ABIM Home dan The SunBeams Home, Cheras. Kanak-kanak tersebut menerima sumbangan duit raya RM30 setiap seorang dan hamper bernilai RM30.

Menurut Habsah, beliau dan barisan pelakon 'Soalnya Siapa?' seperti Afdlin Shauki, Khatijah Tan, Ellie Suriaty dan Zaibo hadir dalam majlis tersebut sebagai tanda sokongan kepada PNB Darby Park.

Ini kerana kebanyakan penggambaran filem 'Soalnya Siapa?' dilakukan di kawasan tersebut. Malahan kerjasama yang diberikan oleh pihak PNB Darby Park, amat dihargainya.

Walaupun 'Soalnya Siapa?' terpaksa bersaing dengan filem Lord Of The Rings namun penerbit yang pernah menerbitkan filem 'Hati Bukan Kristal' ini tidak gentar. Baginya, setiap orang telah ditentukan rezeki masing-masing.

``Lihat saja filem 'Mami Jarum' yang terpaksa bersaing dengan James Bond, ia berjaya mengatasi kutipan filem Hollywood tersebut.

``Untuk filem 'Soalnya Siapa?' pun saya serahkan kepadaNYA. Saya dan krew yang terbabit telah melakukan yang terbaik dan terserah kepada orang ramai untuk menilainya,'' katanya.

Berdasarkan beberapa pandangan dan penonton, ramai yang berkata 'Soalnya Siapa?' lebih memberi impak dan membuatkan penonton tidak kering gusi dari awal hingga akhir.

Kata Habsah, dalam 'Soalnya Siapa?', beliau sengaja menekankan soal peradaban dan tata susila kehidupan.

Biarpun begitu semua perkara tersebut disalurkan dalam bentuk yang begitu sinis dengan alasan tidak mahu penonton terlalu dikongkong.