Erra & Yusry enggan terburu-buru
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA (saharudin@utusan.com.my)

Pada ketika ini peminat setia penyanyi wanita terkenal Erra Fazira terus tertanya-tanya sejauh mana kebenaran hubungan cinta antara dia dan Yusry, salah seorang anggota kumpulan KRU.

Kisah asmara pasangan merpati dua sejoli ini sudah banyak dikhabarkan di media cetak tanah air. Kemesraan mereka berdua juga semakin ketara.

Terbaru, pada majlis pelancaran wajah baru majalah hiburan terbitan Kumpulan Utusan URTV di Pusat Pameran Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur, Erra dan Yusry mengejutkan peminat dan wartawan kerana kemesraan yang ditunjukkan oleh mereka berdua ketika menyampaikan lagu 'Ucapkanlah'.

Erra - Yusry saling berpegangan tangan serta dilihat begitu mesra dan cukup loving. Sesekali Yusry dan Erra berpelukan di pentas sambil disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh peminat yang seolah-olah merestui hubungan mereka.

Lagu 'Ucapkanlah' ciptaan KRU ialah lagu tema filem 'Mr. Cinderella' arahan Ahmad Idham yang kali pertama menampilkan Erra dan Yusry sebagai pelakon utama.

Dalam erti kata lain, baik Erra mahupun Yusry sudah tidak mampu lagi menyembunyikan cinta mereka yang telah lama berputik dan tumbuh subur mekar.

Namun, mulut kedua-dua pasangan artis popular ini masih terkunci rapat untuk mengesahkan hubungan cinta mereka. Sukar untuk sesiapa meramalkan bilakah jawapan akan terpacul dari mulut mereka.

Pun begitu, pada satu pertemuan dengan Pancaindera baru-baru ini, Erra dan Yusry bagaikan sepakat memberitahu, setakat hari ini hubungan mereka berjalan dengan begitu lancar.

Kata Erra yang berusia 28 tahun, dia begitu menyenangi hubungannya dengan Yusry dan menyifatkan pemuda itu sebagai lelaki yang bertanggungjawab.

``Saya dan Yusry belum terfikir mengenai komitmen kerana kami berdua terlalu sibuk dengan kerjaya seni masing-masing.

``Semuanya kami serahkan kepada Yang Berkuasa. Jujur saya katakan saya sama sekali tidak berani memberi komen sejauh mana hubungan ini akan pergi,'' ujar Erra sambil memberitahu jadual seninya padat sehingga hujung tahun ini.

Erra bagaimanapun mengakui wujudnya kesesuaian antara mereka berdua.

``Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan baik dan saya mendoakan kebaikan ini akan berpanjangan,'' kata Erra lagi.

Sebagai menjawab pertanyaan peminat, Erra hanya mampu menjelaskan bahawa dia dan Yusry sememangnya ``terlalu rapat.''

Kata Erra, walaupun wujud kesesuaian dan kemesraan dalam hubungan mereka, namun mereka belum mampu untuk memikirkan soal komitmen kerana faktor masa.

``Lagipun saya pernah melalui pengalaman putus tunang suatu ketika dulu dan saya enggan sejarah silam berulang lagi.

``Oleh yang demikian, biarlah sampai waktu yang tepat baru kami akan umumkan kepada semua orang,'' janji Erra.

Menurut Erra, seboleh-bolehnya dia enggan memukul canang dan memberitahu bahawa dia kini bahagia di samping Yusry kerana bimbang perkara itu akan mengundang suasana yang tidak elok.

Pada masa yang sama Erra turut memberitahu, dia ada mendapat maklum balas negatif mengenai hubungannya itu.

``Tidak semua orang suka saya berkawan dengan Yusry. Ada yang memberi reaksi positif dan tidak kurang yang memberikan reaksi negatif.

``Itu ialah antara faktor yang menyebabkan sukar untuk saya meramalkan hubungan ini,'' katanya tanpa berselindung.

Seperti Erra yang terkunci mulutnya, begitu juga Yusry yang menegaskan sehingga hari ini ibu dan bapanya tidak pernah bertanyakan bila dia akan menamatkan zaman bujangnya dengan bintang Lux itu.

Kata Yusry, ibu dan bapanya menyerahkan kepada kebijaksanaannya dan Erra untuk menentukan masa depan mereka.

``Sebenarnya saya juga sukar untuk memberitahu bagaimana kesudahan hubungan kami berdua kerana semuanya masih di peringkat awal,'' kata Yusry.

Kesibukan dia dan Erra, kata Yusry, turut membataskan peluang untuk mereka keluar bersama seperti pasangan kekasih lain.

``Mana kami ada dating? Kalau keluar makan memang ada, itu pun sekali-sekala sahaja,'' tegasnya sambil memberitahu mereka lebih banyak menghabiskan masa berbual di telefon.

Mengenai personaliti Erra, Yusry, 29, berkata, Erra sering mengambil berat mengenai dirinya.

Menyentuh tentang usia pula, Yusry memberitahu, walaupun usia mereka semakin meningkat namun ia tidak mendorong mereka untuk terburu-buru mempercepatkan urusan membina mahligai perkahwinan.

Kata Yusry, dalam hubungan cinta atau perkahwinan, apa yang mustahak ialah kebijaksanaan pasangan dalam menangani setiap ujian dan dugaan.

``Memang benar usia kami semakin meningkat tetapi persediaan yang lengkap juga amat penting. Selepas berkahwin saya juga seperti orang lain mahu menikmati sebuah kehidupan yang sempurna dan itulah yang sedang saya usahakan pada masa ini,'' Yusry menyambung bicara.

Kata pepatah ikan di laut asam di darat, dalam kuali bertemu juga barangkali menjelaskan kepada umum mengenai nasib cinta si dara dan teruna yang bernama Erra Fazira dan Yusry.