Konsert Suara Sensasi - Gabungkan Erra, Ella dan Ziana
Oleh Khadijah Ibrahim

TIGA orang penyanyi popular iaitu Erra Fazira, Ella dan Ziana Zain akan bergabung tenaga menjayakan Konsert Suara Sensasi 2002.

Konsert yang julung kali menggabungkan tiga penyanyi sensasi itu akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam, 26 Oktober depan.

Setiap seorang daripada mereka akan mengadakan persembahan selama setengah jam. Dalam setiap persembahan akan disertakan dengan acara gimik.

Konsert anjuran Mufira Resources dengan kerjasama D'Saji, Kojuta (Koperasi Jurukur Tanah Berlesen Berhad) sebagai agen tiket itu dijangka akan mendapat sambutan hebat daripada peminat ketiga penyanyi berkenaan.

Bagaimana semasa sidang media dan pelancaran konsert tersebut baru-baru ini, ketiga-tiga penyanyi wanita popular itu belum merancang konsep persembahan mereka pada malam itu.

Erra yang sedang sibuk menjalani penggambaran filem 'Janji Diana' akan meluangkan masa untuk mengadakan latihan bagi memantapkan konsert tersebut.

``Tarikh untuk konsert itu sudah lama saya terima. Cuma saya perlu mencari waktu latihan sahaja. Tak sangka pula konsert dibuat dengan begitu meriah. Ingatkan persembahan makan malam sahaja,'' kata Erra.

Bagaimanapun beliau tetap akan menampilkan persembahan yang mantap dengan iringan beberapa orang penari.

Kata Erra, beliau akan mendendangkan beberapa buah lagu popularnya dan menyelitkan sebuah lagu Inggeris.

Erra terkejut mendengar tiket-tiket dijual dengan harga RM250, RM200 dan RM150 berkata, golongan remaja yang meminatinya pasti tidak berkemampuan.

``Melihatkan harga tiketnya, Erra rasa sasaran penganjur bukan remaja tapi golongan korporat,'' katanya.

Menurut penyelaras konsert Rohaizat Othman, pihaknya tidak menganggap harga tiket itu terlalu mahal.

Rangkaian

Ini kerana tiket-tiket tersebut dijual di kalangan ahli Kojuta dan setakat ini hampir 50 peratus telah diedarkan di setiap rangkaian Kojuta di seluruh negara.

``Kami pasti konsert yang diadakan di dewan yang memuatkan lebih 2,000 orang itu tidak akan kosong. Ini kerana konsert yang dibuat bertujuan untuk memberi hiburan kepada penonton,'' katanya.

Sementara Ziana Zain yang kali terakhir mengadakan konsert secara besar-besaran di Brunei pada Jun lalu juga belum memastikan konsep yang akan dipersembahkan.

Kata Ziana, keputusan hanya akan dibuat bila beliau berbincang sekali lagi dengan pihak penganjur.

``Setiap daripada kami bebas tampil dengan gaya tersendiri. Walau apa pun konsep yang bakal ditampil terpulang kepada penganjur. Sebagai penyanyi, saya hanya mengikut sahaja kerana yang penting persembahan saya dapat menghibur penonton,'' katanya.

Bagi Ella yang terkenal dengan lagu-lagu rock itu, biar apa konsep yang bakal ditonjolkan oleh penganjur, beliau akan memberikan persembahan dengan gaya tersendiri.

Ella yang sedang popular dengan lagu Tinggal Tanda Tanya itu berkata, beliau akan mendendangkan lagu-lagu daripada album terbarunya dan juga medley lagu-lagu popular.

``Oleh kerana setiap artis diberi masa setengah jam sahaja, saya akan menggunakan tempoh itu sebaik mungkin kerana tidak mahu menghampakan penonton yang hadir,'' akuinya.