Filem 'Mr. Cinderella' stereotaip


Judul: Mr. Cinderella
Arahan: Ahmad Idham
Lakon Layar: Ahmad Idham
Pelakon: Yusry KRU, Erra Fazira, Opie Zami, Serina Redzuan, M. Rajoli, Khatijah Ibrahim, Helmi Gimik dan lain-lain.


Menerusi cerita klasiknya yang asal, ia mengisahkan seorang putera raja jatuh hati kepada seorang gadis jelita yang misteri selepas satu pesta tarian.

Gadis itu menghilangkan diri tetapi sebelah sepatunya tertinggal sebagai bukti untuk putera raja itu yang kemudian cuba mengesannya. Ceritanya berliku, antara kekejaman dan kemanusiaan, penipuan dan kejujuran, dan kritikan tentang soal dua darjat keturunan, tetapi akhirnya ditamatkan dengan kegembiraan.

Kisah 'Cinderella' telah difilemkan dalam pelbagai bentuk untuk terus menjadi sebuah kisah cinta di antara dua darjat yang begitu popular dan juga telah menjadi begitu stereotaip.

Filem 'Mr. Cinderella' mengangkat semula kisah klasik ini ke dalam sebuah kisah dengan latar zaman moden. Watak utamanya telah ditukar. Memodenkan kisah klasik dengan pendekatan yang baru sesuai dengan suasana dan periodnya adalah pendekatan yang menarik.

Contohnya kisah tragedi klasik yang ditulis oleh Euripides telah banyak diberikan tafsiran dan pendekatan baru yang lebih kontemporari. Hasilnya segar dan memikat. Bagaimanapun, adakah 'Cinderella' ini memberikan tafsiran dan pendekatan baru yang sesuai?

'Mr. Cinderella' adalah filem sulung arahan Ahmad Idham daripada karya yang ditulis oleh Mohd. Noor Kadir yang selama ini begitu banyak menghasilkan drama-drama swasta untuk televisyen. Apa yang mahu dipersembahkan oleh Mohd. Noor Kadir ialah sebuah komedi romantik ringan dengan mengambil kisah klasik itu sebagai dasarnya.

Kerana kecenderungan untuk menampilkan sebuah kisah komedi yang ringan dengan hiburan yang mudah, maka filem ini cenderung untuk mengambil subjeknya secara simplistik dan mudah.

Struktur naratif filem ini setia mengikut kisah klasik tersebut. Jika dalam kisah klasik yang asal watak 'Cinderella' adalah seorang gadis ayu maka dalam filem ini hanya menukar kepada watak lelaki, Hakimi (Yusry KRU) seorang penulis skrip drama dan watak putera raja ditukar kepada seorang puteri raja iaitu Puteri Megawati (Erra Fazira) dari negeri Inderapuri Darul Kasih.

Watak yang cuba mengambil kesempatan dalam cerita ini adalah kawan karib Hakimi iaitu Kumin yang dimainkan oleh Opie Zami dengan mengaku dialah yang sebenarnya menyelamatkan puteri tersebut.

Untuk menghasilkan sebuah komedi yang kelihatan ringan tidak bermakna mempermudahkan subjek dan olahannya. Komedi yang baik selalunya mengambil subjeknya dengan serius dan olahannya memberikan lapisan makna dan kritikan sosial yang halus dan tajam. Lihat bagaimana filem ini menggerakkan plotnya.

Kasut yang menjadi bukti penting kepada seorang puteri raja yang terlantar di hospital antara kemalangan dan persoalan kecederaan dari kemungkinan cubaan membunuh boleh dibawa ke hospital. Mudah pula sorang wartawan penyiaran wanita merapati seorang puteri raja dalam menyelesaikan misteri tuan punya kasut yang telah menyelamatkan nyawa puteri tersebut.

Kenapa tidak dicari pendekatan yang lebih canggih dan meyakinkan sesuai dengan period kontemporari yang menjadi latar cerita filem ini. Malah sub-plot dalam hubungan antara Bob (Aziz M. Osman) dan Melur (Umie Aida) sebagai pasangan nikah cina buta hanya mengganggu plot utama filem.

Ini kerana ia sekadar hendak menunjukkan yang Hakimi 'gila talak' tetapi soalnya mengapa Hakimi perlu gila talak dan mengapa mereka bercerai?

Mengambil dasar sebuah cerita klasik untuk sebuah cerita baru adalah pendekatan yang baik, tetapi tanpa tafsiran baru dan pendekatan yang berbeza ia hanya memaparkan sebuah cerita yang telah diketahui dan dapat dijangka penonton. Apatah lagi tanpa unsur-unsur dramatik yang baik, naratif filem ini terasa begitu mendatar.

Arahan seni dalam filem ini juga perlu perincian. Negara fiksyen Inderapuri Darul Kasih, bukan Kuala Lumpur. Oleh itu tidak wajar pasukan pancaragam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digunakan. Sedikit kreativiti pereka kostum tentu dapat memberikan unifom baru kepada pasukan ini. Begitu juga imej jelas bangunan tertentu di Kuala Lumpur boleh ditiadakan untuk menentukan identiti berbeza kota Inderapuri.

Bagaimanapun sama ada disedari atau tidak, 'Mr. Cinderella' telah mengulangi gambaran stereotaip dalam filem-filem Melayu. Ini adalah sesuatu yang menarik. Lihat sahaja bagaimana keluarga Diraja Inderapuri Darul Kasih diberikan. Kemewahan yang luar biasa, lampu cendaliar, kelengkapan kristal, istana yang hebat dan sejumlah kereta mewah serta pembantunya yang ramai. Selebihnya kosong.

Gambaran keluarga diraja yang mudah dipermainkan oleh Kumin dan sejumlah menteri yang kelihatan melucukan merupakan adegan satira yang menarik dan kritikan yang halus.

Imej-imej begini banyak dilakukan oleh P. Ramlee dalam filem-filemnya yang menyindir golongan bangsawan. Begitu juga Hakimi sebagai penulis yang diberikan establishment dengan syot longgokan buku-buku yang tidak pun ditunjukkan yang ia digunakan.

Sebaliknya Hakimi menulis tentang kisah seorang puteri ala 'Cinderella' dengan gambaran dari apa yang diceritakan dan pertemuannya dengan Puteri Megawati. Ini adalah gambaran artifisialiti dalam masyarakat. Dan ini adalah suatu gambaran yang cukup menarik.

'Mr. Cinderella' muncul di pawagam di celah-celah keriuhan filem Embun. Filem ini kemudian ternyata mendapat sambutan baik para penonton.