'Soalnya Siapa?' tidak mengecewakan

Arahan: Othman Hafsham
Lakon layar: Habshah Hassan
Pelakon: Afdlin Shauki, Erra Fazira, Zaibo, Khatijah Tan, Piee, Rashid Salleh, Ellie Suriaty, Wan maimunah dll.

KETIKA pembikinan filem tempatan menghadapi kemurungan, Serangkai Filem muncul dengan filem 'Soal Hati'. Sebuah komedi romantis, ringan dan menghiburkan dengan kualiti yang tidak mengecewakan. Filem itu mendapat sambutan hingga mendorong Habshah Hassan menyambungnya di dalam 'Soalnya Siapa?'.

Seperti 'Soal Hati', filem 'Soalnya Siapa?' masih memberi tumpuan kepada Nurul Ain (Erra Fazira) dan dilemanya yang diburu Ahmad Daniel (Afdlin Shauki) dan Johari (Rashid Salleh). Ahmad Daniel, seorang korporat yang jatuh hati pada keayuan dan kesopanan Nurul Ain.

Manakala Johari adalah bekas kekasih Nurul Ain yang meninggalkannya kerana berkahwin dengan wanita Barat dan terus menetap di sana. Kegagalan perkahwinannya menyebabkan Johari kembali ke tanah air dan ingin merebut kembali kasih Nurul Ain. Peristiwa silam yang pahit bukan sahaja melukakan hati Nurul Ain malah peristiwa itu menjadi dilema dalam hubungannya dengan Ahmad Daniel.

Seperti 'Soal Hati', filem 'Soalnya Siapa?' adalah jenis feel good movie, filem wanita yang mempunyai elemen romantis, humor, musik dan melodrama dengan konflik emosi yang dramatik dalam mise-en-scene dan binaan naratifnya. Genre filem wanita jangan disalah anggap sebagai filem feminis, tetapi genre ini mempunyai peranan dalam perkembangan filem-filem feminis.

Filem wanita bekerja dari reaksi penonton yang diransang oleh identifikasinya dengan bintang/pelakon dan pengaruh imejnya. Filem-filem begini memberikan kesenangan kepada kekuasaan wanita. Bagi pengkaji, filem-filem ini seharusnya dapat memahamkan mereka tentang kompleksiti hubungan antara penonton dengan filem popular.

Habshah dengan teliti meletakkan pandangan wanita melalui watak Nurul Ain. Dari wanita yang bekerja hanya sebagai pembantu kedai (jawatan yang rendah) dalam 'Soal Hati', watak ini ditingkatkan dengan kejayaan Nurul Ain memasuki universiti. Dari satu aspek peningkatan ini dapat dilihat sebagai satu peningkatan sosial.

Perlu diingat lelaki dan wanita yang memasuki pawagam adalah terikat sebagai subjek sosial. Bagaimanapun, senario peningkatan begini tidak memberikan kesan dramatik. Oleh itu, ia harus dimasukkan unsur pemangsaan (victimization) dan kesengsaraan (Suffering), elemen klise yang kerap kita tonton dalam filem melodramatik Hollywood 1940-an iaitu filem yang ditujukan kepada penonton wanita.

Dalam 'Soalnya Siapa?', Nurul Ain rupanya pernah mengalami peristiwa pahit dalam dirinya dan tambah kecewa bila ditinggalkan oleh Johari. Peristiwa pahit itu (yang tidak disebutkan dalam 'Soal Hati') mengganggu jiwa Nurul Ain hingga tindakannya cuba memutuskan hubungan dengan Ahmad Daniel dan kembali kepada Johari sukar difahami oleh Daniel.

Bagaimanapun, Nurul Ain mempunyai kuasa mengawal lelaki yang memburu kasih darinya. Sejak dari 'Soal Hati' hingga ke sambungannya, 'Soalnya Siapa?' watak Ahmad Daniel tidak berubah dan berkembang, dia tetap setia dengan Nurul Ain. Dengan latar pendidikan, pekerjaan dan kehidupan silam Daniel, wajar sahaja tindakannya dipersoalkan.

'Soalnya Siapa?' adalah komedi romantis yang sederhana, menghiburkan dan mengajak penonton untuk berfikir biarpun isunya tidak didebatkan secara serius. Naratifnya memang dijangka akan memenuhi kepuasaan penonton terutamanya wanita.

Erra Fazira tetap Erra Fazira tetapi filem ini dikuatkan oleh pelakon lain. Ellie Suriaty menghidupkan watak Prof. Soffia dengan cukup menarik. Othman selaku pengarah berjaya mengawal tempo dan komedi filem ini.

Aspek fotografi filem ini sederhana. Arahan fotografi dan cahaya tidak banyak membina mood dan sudut yang lebih kreatif. Ambilan close-up dalam adegan tertentu dilatari oleh latar yang kosong dan rata menjadikan shot itu tidak menarik.