MMP bekerjasama dengan Erra dan KRU


``Prinsip saya kalau tidak ada wang sekalipun, perniagaan mesti dijalankan kerana berniaga adalah kerja saya. Saya sama sekali tidak akan lari daripada kerja walaupun saya rugi juta-juta dalam berniaga,'' demikian kata David Teoh,

Beliau dikenali sebagai seorang yang lantang memberikan pendapat dan sering tidak pernah mengambil kira hati dan perasaan orang lain. Apabila ditanya reaksinya, David secara spontan memberitahu, sebagai ahli perniagaan apa yang paling penting ialah setiap filem terbitannya dapat menarik perhatian peminat-peminatnya.

``Apa guna buat filem jika orang tidak mahu tonton,'' katanya penuh tegas.

David Teoh, ialah Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG). MIG menerusi syarikat produksi Metrowealth Movies Production (MMP) merupakan antara syarikat penerbitan filem bukan Melayu yang terlampau aktif menerbitkan filem-filem Melayu.

Menjelaskan kenyataannya itu, David memberitahu, sepanjang aktif menerbitkan filem, beliau pernah mengalami kegagalan yang besar sehingga menyebabkan syarikatnya kerugian RM3.7 juta berikutan tiga buah filem terbitan MIG iaitu 'Syukur 21', 'No Problem' dan 'Mendam Berahi' tidak mendapat sambutan.

``Saya mahu menyahut seruan kerajaan menerbitkan banyak filem,'' katanya menjawab pertanyaan mengapa MIG terlalu ghairah menerbitkan banyak filem Melayu.

Sehingga kini MIG yang baru berjinak-jinak dalam industri filem Melayu bermula dengan filem 'Syukur 21' sudah menerbitkan hampir lapan buah filem termasuk yang terbaru 'Cinta Kolestrol'. Jika selama ini David hanya menerbitkan filem itu seorang diri, kali ini menerusi Cinta Kolestrol akan menyaksikan kerjasama antara syarikat produksi Erra Fazira Entertainment (EFE), KRU Motion Picture (KMP) dan MMP. Kerjasama ini kata David, sebagai memberi peluang kepada syarikat milik artis terkenal, Erra Fazira dan kumpulan KRU mendedahkan diri secara langsung kepada penerbitan filem.

``Adalah penting untuk memiliki barisan pelapis yang akan menerbitkan filem dan kerana itu saya memberi peluang ini kepada Erra Fazira dan KRU,'' kata David lagi.

'Cinta Kolestrol' yang menelan kos penerbitan RM1.5 juta sekali lagi akan menyaksikan gandingan pasangan kekasih, Erra Fazira dan Yusry (KRU) sebagai pelakon utama. Filem arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen itu dijangkakan akan menjadi filem Melayu pertama yang akan menggunakan kepakaran luar negara untuk perkhidmatan solekan khas dari Pinewood Studio, London. Sementara itu, Norman Abdul Halim yang mewakili KMP memberitahu, KRU gembira kerana mendapat kepercayaan untuk menjalin kerjasama ini.

Menurut Norman, penglibatan ini akan memberi peluang kepada mereka untuk berkecimpung secara langsung dalam industri penerbitan filem.

``Selain daripada itu, kami juga melihat penerbitan 'Cinta Kolestrol' mempunyai kelainan pada jalan cerita dan itu antara sebab mengapa kami tidak teragak-agak untuk menerima tawaran kerjasama ini,'' ujar Norman lagi.

Erra Fazira pula berpendapat, peluang untuk bergelar penerbit filem merupakan antara cita-citanya semenjak dari awal penglibatannya sebagai pelakon lagi.

``Saya mengharapkan kerjasama ini akan memberi peluang kepada saya untuk mengorak langkah yang lebih jauh dalam dunia penerbitan filem,'' kata Erra lagi. 'Cinta Kolestrol' selain menyaksikan gandingan Erra dan Yusry turut menampilkan pelakon lain seperti Rita Rudaini dan Ezad Exists.

Filem ini mengetengahkan kisah seorang wanita yang memiliki tubuh badan yang besar dengan seorang jejaka lulusan universiti luar negara. Dalam filem ini, Erra yang memegang watak utama sebagai wanita gemuk itu akan ditampilkan sebagai wanita yang memiliki berat badan 150 kilogram.

'Cinta Kolestrol' dijangka akan menjalani penggambaran di sekitar bulan Mac depan.