Kontroversi sudah selesai

Penyertaan Erra dan penerbit filem, Metrowealth Movies Productions (MMP) untuk menghasilkan filem 'Cinta Kolestrol' mencetuskan kontroversi. Difahamkan syarikat penerbitan filem Kuasatek Pictures Sdn. Bhd. dan Skop Productions Sdn. Bhd. yang diterajui oleh Mohd. Nor Kadir dan Datuk Yusof Haslam berkecil hati dengan Erra.

Mohd. Nor dan Yusof berkecil hati dengan Erra kerana mereka mendakwa, pada awalnya artis wanita popular itu sepatutnya memberikan komitmen kepada penerbitan 'Mrs. Cinderella'. Bagaimanapun, Erra dan Yusry (KRU) membuat keputusan menerima tawaran MMP dan sudah menandatangani kontrak dengan disaksikan oleh Mohd. Nor sendiri beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu. Sebaik kontrak ditandatangani, cerita kontroversi semakin dibesar-besarkan dan saya bertemu Erra baru-baru ini dan cuba mendapatkan penjelasan daripadanya.

Apa kesudahan cerita kontroversi mengenai kerjasama Erra dalam filem 'Cinta Kolestrol'?

Semuanya dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Semuanya berlaku kerana salah faham beberapa pihak iaitu antara Kuasatek Pictures, Skop Productions dan pihak saya. Semuanya sudah saya terangkan kepada Mohd. Nor Kadir (Kuasatek) dan Datuk Yusof (Skop Productions). Tidak ada apa yang perlu digembar-gemburkan lagi.

Bagaimana dengan rancangan penerbitan filem 'Mrs. Cinderella'?

Saya dan Yusry baru sahaja pulang dari sesi membaca skrip dan nampaknya semua berjalan lancar. Kami akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Bagaimana hubungan Erra dengan Mohd. Nor Kadir dan Yusof Haslam pula?

Baik. Semua baik. Saya mengharapkan selepas ini, tidak akan ada sebarang kontroversi lain pula.

Sudahkah Erra bersedia menjadi wanita gemuk untuk 'Cinta Kolestrol'?

Sudah. Saya sendiri tidak sabar untuk melihat bagaimana badan saya dengan berat 150kg. (merenung jauh). Sukar untuk saya gambarkan pada masa ini. Saya tidak bayangkan saya perlu disolek selama empat jam hanya semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan seorang wanita gemuk.

Orang beranggapan setiap kali di layar perak, Erra sentiasa kelihatan jelita, tetapi dalam 'Cinta Kolestrol' personaliti Erra akan berubah. Apa komen Erra?

Saya hanya melakonkan watak yang ditawarkan kepada saya dan tidak pernah saya memberitahu penerbit yang saya hanya akan berlakon andai kata saya kelihatan jelita. Saya perlu menjelaskan keadaan ini kerana saya tidak mahu nanti ada orang tersalah anggap lagi.

Bahkan saya ada menerima tawaran untuk berlakon filem Pontianak arahan Shuhaimi Baba, cuma saya tidak menerimanya.

Kenapa Erra menolak tawaran Shuhaimi?

Saya menolak Pontianak sebab saya sendiri takut menonton filem-filem seram. Jika menonton pun takut, apatah lagi untuk berlakon watak itu.

Tahun ini sahaja, beberapa buah filem lakonan Erra akan ditayangkan kepada umum, tidakkah Erra melihat ia sebagai persaingan kepada diri Erra sendiri?

Tidak sama sekali. Sebaliknya, saya memberi peluang kepada penonton dan peminat-peminat menilai lakonan saya dalam filem-filem yang berbeza.

Tidakkah bimbang akibat banyak filem, penonton akan jemu dengan Erra?

Sebetulnya, pada peringkat awal, saya diberitahu bahawa antara filem-filem lakonan saya, semuanya akan mempunyai jarak antara tiga bulan tayangannya.

Maksudnya, masih ada masa untuk penonton filem Melayu dan peminat melupakan lakonan saya sebelum itu dan ia sudah tentu boleh mengelakkan mereka bosan (ketawa). Saya mengharapkan janji penerbit untuk tayangan semua filem lakonan saya di pawagam akan kekal selepas tiga bulan sesebuah filem ditayangkan kepada umum.

Mengapa sekarang baru Erra berani mengadakan kerjasama dengan MMP?

Matlamat Erra ialah untuk menimba pengalaman baru dalam dunia penerbitan filem. Erra fikirkan, sudah tiba masanya untuk Erra melibatkan diri secara langsung, bukannya kerana mahu mengejar banyak peluang. Itu bukan prinsip saya.

Asyik sibuk dengan filem, bila masanya pula Erra tumpukan kepada album?

Kalau tidak ada aral melintang, sekitar bulan April nanti Erra akan berikan perhatian kepada album Erra bersama Sony Music. Erra sendiri pun sudah tidak sabar untuk muncul dengan album baru. Erra tahu peminat-peminat Erra pun sudah lama bertanyakan hal yang sama.

Baru-baru ini saya ada menonton filem 'Sembilu II' lakonan Erra di TV3, ada Erra menontonnya?

Tidak. Kebetulan saya agak sibuk ketika itu. Kenapa bertanyakan saya hal itu? (senyum sinis).

Erra sedar atau tidak, dalam filem itu Erra nampak lain dan naif sangat?

Sedar sangat. Tetapi, itu cerita dulu. Erra percaya semua orang pernah melalui pengalaman yang serupa.

Apakah Erra akan mengelak daripada menonton filem-filem lakonan Erra dahulu?

Tidak pula. Tidak ada sebab mengapa Erra perlu mengelak. Kalau sudah di depan mata, tengok sahajalah. Mungkin ketika menonton filem itu, Erra dapat ketawa sendirian melihat kekurangan Erra.