Sah hantaran Yusry kepada Erra RM33,333.33!
AKHIRNYA laporan yang pernah Huzz umumkan di ruangan ini pada akhir tahun lalu yang Erra dan Yusry KRU akan bertunang pada 3.3.03 dengan hantaran RM33,333.33 adalah benar! Walaupun ada akhbar lain menafikan laporan itu dengan menganggap itu cuma gosip saja... akhirnya wartawan akhbar itu pun nampaknya kena menulis di diarinya hari ini mengenai majlis Erra dan Yusry esok!
Huzz sekali lagi menyiarkan pengumuman pertunangan Erra dan Yusry dalam majalah Mangga (Mac 2003) yang sudah dipasarkan dua minggu lalu untuk mengingatkan peminat akan majlis besar dua pelakon popular di Malaysia itu.
Dalam majalah itu ada foto-foto eksklusif terbaru Erra dan Yusry ketika menyambut hari lahir Erra awal Februari lalu di Putrajaya... serta pengakuan mereka mengenai rancangan selepas bertunang.
Isnin lalu sebagaimana yang dijanjikan oleh Norman KRU kepada Huzz sebelum ini, dia menjawab soalan-soalan Huzz untuk majlis esok. Erra dan Yusry pada minggu lalu masih di New Zealand kerana penggambaran filem 'Mr. Cinderella 2'.
Kata Norman: ``Betul apa yang Huzz dah tulis sebelum ini mengenai tarikh tunang Yusry dan Erra. Esok insya-Allah kami sekeluarga akan menghantar rombongan ke rumah Erra di Kuala Lumpur (Damansara).''
Macam mana dengan jumlah ahli keluarga yang akan hadir dari pihak keluarga Yusry?
``Kesemuanya 33 orang. Sanak saudara termasuk datuk dan nenek kedua-dua belah pihak emak dan ayah akan turut serta.
``Hah... sesuai dengan angka 3.3.03, jumlah rombongan kami pun adalah 33 orang. Kami akan sampai pukul 3 petang. Seperti yang dipersetujui... hantarannya ialah RM33,333.33. Pihak Yusry membawa tujuh dulang dan Erra membalas dengan sembilan dulang.''
Baju warna apa you all nak pakai?
``Ya, kami sekeluarga akan memakai pakaian serba merah. Yusry mahukan semua ahli keluarga yang nak meminang Erra memakai pakaian yang berwarna merah. Yusry saja akan pakai baju warna lain.''
Khabarnya akan ada kawalan ketat juga ya?
``Kami tidak mengundang wartawan secara rasmi, tapi kalau ada yang datang di mana yang kami kenal itu... kami akan jemputlah masuk. Lagipun kami bukan tuan rumah... kerana tuan rumah itu ialah Erra.''
Benarkah majlis nikahnya ialah pada hari lahir Yusry pada Julai depan?
``Hmmm itu belum dibincangkan. Tunggulah jawapannya esok.''
Kepada Erra dan Yusry sekali lagi (setelah membuat ucapan kepada mereka bulan lalu ketika fotografi) Huzz mengucapkan selamat bertunang! Semua peminat Erra dan Yusry marilah bersama-sama kita mendoakan selamat bahagia untuk kedua-dua mereka di dunia dan akhirat!
Huzz tumpang gembira kerana sejak membongkarkan kisah cinta kedua-duanya dalam majalah Mangga tahun 2001... akhirnya kini kedua-duanya akan bertunang. Dari usik-mengusik, merisik khabar akhirnya kedua-duanya membuktikan pada dunia hiburan cinta mereka serius. Tengoklah foto-foto loving mereka dalam Mangga Mac 2003 (sudah dijual dua minggu lalu... lekas sebelum habis di pasaran)... betapa romantisnya mereka! Hah Norman itu pula bila? Jadi ke dengan orang Perlis tu? Berapa pula hantarannya? Nanti Huzz pasang teropong Huzz ya. Ehem ehem... jangan sorok-sorok. Norman nak tunang dan kahwin nanti... Yusry pula kena jadi spy Huzz OK!