Kelemahan 'Mr. Cinderella' akan diperbaiki

FILEM 'Mr. Cinderella' gandingan Erra Fazira dan Yusry KRU mendapat sambutan hangat semasa ditayangkan awal tahun lalu. Sambutan itu meyakinkan penerbit untuk meneruskan kesinambungannya.

Walaupun berjaya mencuri hati peminat, namun filem itu tidak lari daripada kritikan. Apatah lagi ia ditangani oleh pengarah muda, Ahmad Idham.

Lazimnya apabila sesebuah filem disambung, pengarah yang sama turut diberi tanggung jawab. Bagaimanapun, 'Mr. Cinderella 2' nampaknya tidak mengikut kelaziman itu.

Filem terbitan Kuasatek Pictures itu baru memulakan penggambaran dengan sentuhan baru apabila turut bertukar pengarah.

Pengarah drama bersiri 'Cinderella', Din CJ diberi tanggung jawab mengarah filem tersebut sekaligus meningkatkan gelarannya sebagai pengarah filem.

'Mr. Cinderella 2' bukanlah baru baginya kerana beliau pernah mengarah puluhan drama terbitan Kuasatek. Malah, filem 'Mr. Cinderella' sebenarnya beliau turut ditawarkan sebagai pengarah. Namun, kerana masalah tertentu dia tidak mengarah filem tersebut.

``Saya akui mengarah filem sambungan memberi cabaran yang lebih besar apatah lagi filem asalnya mendapat sambutan menggalakkan,'' kata Din.

Beliau harus menghasilkan filem yang lebih baik berbanding 'Mr. Cinderella' dalam pelbagai aspek apabila dipertanggungjawabkan oleh penerbitnya.

``Tugas saya untuk membaiki kelemahan yang ada dalam 'Mr. Cinderella','' kata Din lagi.

Din juga dikenali dengan menghasilkan drama yang sering membuatkan penonton menangis dan elemen itu akan diserapkan di dalam 'Mr. Cinderella 2'.

``Saya teruskan konsep komedi romantik dengan memasukkan aksi, suspen dan drama di dalamnya,'' kata Din lagi.

Filem itu digagahkan lagi dengan kehadiran superstar Anita Sarawak yang akan muncul sebagai pelakon undangan khas.

Anita hanya akan muncul dalam tujuh adegan sahaja menerusi wataknya sebagai setiausaha kepada Puteri Megawati lakonan Erra Fazira.

Ditanya pemilihan Anita, kata Din pada awalnya penerbit Mohd. Nor Kadir bergurau memintanya mengundang Anita berlakon.

``Saya jadikannya sebagai cabaran dan membuktikan dapat membawa Anita ke dalam filem ini,'' kata Din lagi.

Beliau hormat Anita yang bersikap profesional dalam segala hal dan dia sendiri harus lebih profesional.

'Mr. Cinderella 2' bermula selepas pertunangan antara Hakimi (Yusry) dan Puteri Megawati. Setelah bertunang Puteri sedar banyak kelemahan Hakimi dan dia berusaha mendidiknya menjadi lebih bertanggungjawab.

Kehadiran Anis (Maya Karin) dalam hidup Hakimi menimbulkan konflik. Puteri mengatakan ingin memutuskan pertunangan tanpa niat.

Ayahandanya benar-benar memutuskannya apabila dia diberitahu Hakimi adalah lelaki homoseksual yang menjalin hubungan dengan Kumin (Opie Zami).