Erra, Yusry berjaya pikat hati peminat

PEMENANG ANUGERAH PERSONALITI HIBURAN 2002
* Bakat Baru Penyanyi: Elyana

* Bakat Baru Pelakon: Liza Hanim

* Penyampai Radio & Pengacara TV Sensasi: Sarimah Ibrahim

* Pelakon Drama: Rosyam Nor

* Pelakon Filem: Erra Fazira

* Personaliti Bukan Melayu : Janet Khoo

* Kumpulan/Solo Rock: Ella

* Artis Lelaki (Solo/Berkumpulan): Anuar Zain

* Artis Perempuan (Solo/Berkumpulan): Siti Nurhaliza

* Pasangan Hero & Heroin: Erra Fazira & Yusry - 'Mr. Cinderella'

* Personaliti Artis Kacak: Yusry (KRU)

* Personaliti Artis Jelita: Erra Fazira

* Artis Serba Boleh: Senario

* Anugerah Khas Personaliti Hiburan Lelaki: KRU

* Anugerah Khas Personaliti Hiburan Wanita: Siti Nurhaliza

SELAIN bakat yang menjadi sandaran utama untuk artis terus mengekalkan diri dalam persada seni, sokongan peminat juga penting. Kuasa mutlak peminat itu dapat dilihat sewaktu majlis Anugerah Personaliti Hiburan 2002 (APH2002) yang disiarkan secara langsung menerusi RTM2, malam kelmarin.

Anugerah ini bukanlah menekankan kepada kredibiliti dan keupayaan artis menyalurkan bakat mereka, tetapi sekadar memeriahkan dunia seni. Meskipun ada yang berpendapat pilihan peminat tidak sebijak para juri profesional, namun keputusan mereka tidak boleh dipertikaikan.

APH2002 anjuran majalah Media Hiburan dan RTM mempertandingkan 13 kategori yang kebanyakannya lebih cenderung kepada populariti, telah memperlihatkan Erra Fazira dan Yusry memenangi banyak anugerah. Erra, ratu filem masa kini dipilih sebagai Personaliti Pelakon Filem mengalahkan Yusry, Abby Abadi, Afdlin Shauki dan Lan Pet Pet.

Selain itu Erra juga turut memenangi Anugerah Personaliti Artis Jelita, di mana tahun lepas dipegang oleh Siti Nurhaliza. Bersama Yusry, Erra turut memenangi kategori Personaliti Pasangan Hero & Heroin menerusi filem 'Mr. Cinderella'.

Menurut Erra, kejayaan yang diperolehinya di luar dugaan. Erra sudah tidak hairan kerana sejak anugerah anjuran majalah tersebut diadakan pada 1996, boleh dikatakan setiap tahun Erra akan menang. Itu menunjukkan betapa berpengaruhnya kuasa peminat dalam menentukan populariti seseorang artis.

``Saya hanya mewakili wanita-wanita jelita di Malaysia. Lagi pun negara kita memang ramai wanita jelita. Kejayaan ini adalah untuk anda semua,'' katanya.

Yusry yang turut dipilih sebagai Personaliti Artis Kacak menganggap kemenangannya itu sebagai satu kejayaan untuk suka-suka. Selain Erra, Siti Nurhaliza yang baru sahaja memenangi anugerah MTV Asia untuk kategori Artis Pilihan Malaysia, juga merupakan seorang selebriti yang menjadi pilihan peminat tempatan. Dalam APH2002, Siti dipilih sebagai Personaliti Artis Perempuan dan turut menerima Anugerah Khas Personaliti Hiburan Wanita.

``Setiap kejayaan yang menjadi milik Siti adalah datang daripada-Nya dan atas sokongan peminat. Apa yang Siti lakukan dalam bidang seni adalah sebahagian daripada tanggung jawab sebagai anak seni. Sebagai artis Siti cuba tonjolkan sesuatu yang terbaik dan berharap apa yang Siti perolehi ini bakal menjadi motivasi kepada generasi baru,'' katanya yang sentiasa bersikap rendah diri.

Kumpulan KRU dipilih menerima Anugerah Khas Personaliti Lelaki di atas pencapaian mereka dalam bidang seni dan menjadi idola kepada peminat seni. Pilihan pemenang APH2002 dibuat oleh pembaca majalah tersebut menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS), laman web dan borang yang disiarkan dalam majalah.

Majlis anugerah yang dikendalikan oleh Sharifah Norhazleenda (Lynn) dan adiknya, Sharifah Shahirah berjaya menghibur penonton.