Lagi-lagi Erra dengan Yusry

Judulnya diubah sedikit. Pelakon-pelakonnya masih sama. Diterbitkan juga oleh syarikat penerbitan yang sama. Bezanya, filem 'Mr. Cinderella 2' akan diarahkan oleh orang lama tetapi baru kali pertama diberi tanggungjawab mengarah filem iaitu Din CJ. 'Mr. Cinderella 2' sebenarnya merupakan kesinambungan kepada filem 'Mr. Cinderella' arahan pengarah muda, Ahmad Idham.

Kuasatek Pictures Sdn. Bhd., syarikat penerbitan filem berkenaan membuat keputusan untuk mengadakan sambungan sebagaimana tradisi rakan kongsinya, Datuk Yusof Haslam. Masa depan 'Mr. Cinderella 2' sukar untuk diramal kerana filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu hanya baru menjalani penggambaran.

Apa yang menarik mengenai 'Mr. Cinderella' untuk diperkatakan pada masa ini ialah gandingan kali kedua pasangan kekasih, Yusry dan Erra Fazira. Selepas 'Mr. Cinderella 2', pasangan merpati dua sejoli ini akan sekali lagi ditemukan dalam filem 'Cinta Kolestrol'.

Apakah kisah panas percintaan mereka menjadi tarikan utama penerbit dan pengarah menawarkan kedua-dua mereka peluang berlakon? Atau apakah itu merupakan syarat utama yang diletakkan oleh mereka andai kata ada penerbit dan pengarah yang mahu menawarkan peluang berlakon? Itulah yang terus diperkatakan.

Menjawab pertanyaan ini, Erra Fazira berkata, setiap tawaran yang diajukan kepadanya merupakan rezeki. Dalam hal ini, Erra memberitahu, ada kalanya dia sendiri berada dalam keadaan serba salah untuk menolak tawaran daripada penerbit mahupun pengarah.

``Semenjak dahulu lagi saya sudah berlakon. Jadi penerbit dan pengarah tahu kerjaya saya selain menyanyi saya juga aktif berlakon. Apabila tawaran tersebut menarik ditambah dengan jalan cerita yang saya minat, tidak ada sebab saya tidak menerimanya. Kebetulan pula, Yusry turut ditawarkan watak dalam filem itu. Tidak timbul soal syarat atau kehendak kami berdua,'' Erra mempertahankan pendiriannya.

Erra turut mengakui, keserasian antara dia dengan Yusry memang wujud setiap kali mereka di lokasi penggambaran.

``Oleh yang demikian kerja menjadi semakin mudah,'' ujarnya sambil berseloroh.

Sementara itu, Yusry pula berpendapat, bidang lakonan sudah semakin menyeronokkan. Lantaran itu, Yusry tidak menafikan, dia akan aktif dengan dunia lakonan selagi ada tawaran yang diberikan kepadanya.

``Sudah lama saya tinggalkan lakonan. Apabila ada tawaran, saya fikirkan ini kesempatan terbaik untuk saya menggilap semula bakat lakonan,'' jelas Yusry lagi.

Mengenai gandingannya dengan kekasihnya pula, Yusry menceritakan, dia dan Erra berterima kasih dengan setiap tawaran yang diberikan oleh pengarah dan penerbit.

``Masyarakat mungkin tidak tahu kami memikul tanggungjawab yang besar daripada penerbit dan pengarah. Saya mengakui ketika di lokasi saya dan Erra punya chemistry dan senang untuk bekerjasama,'' kata Yusry lagi.

Bagi pengarah 'Mr. Cinderella 2', Din CJ pula, kerjasama beliau dengan Kuasatek Pictures bukanlah baru kerana sebelum ini, hubungan antara mereka berdua sudah lama terjalin. Din CJ mempunyai rekod mengarahkan berpuluh drama terbitan syarikat yang diterajui oleh Mohd. Noor Kadir.

``Pada saya ini satu tanggungjawab yang besar kerana mengarah filem sambungan memberi cabaran yang hebat apatah lagi filem terdahulu mendapat sambutan menggalakkan,'' kata Din. Din tidak menolak hakikat bahawa dia seharusnya menghasilkan filem yang lebih baik berbanding 'Mr. Cinderella' dalam pelbagai aspek.

Dalam menyempurnakan tanggungjawab ini juga, Din akan memasukkan pelbagai unsur yang boleh menarik perhatian penonton. 'Mr. Cinderella 2' yang juga bakal menjalani penggambaran di New Zealand turut menyaksikan kemunculan bintang ternama, Anita Sarawak yang sudah lama menyepikan diri dari dunia lakonan.

Superstar yang mewarisi darah seni ibu dan ayahnya, Allahyarham Siput Sarawak dan Allahyarham Datuk S. Roomai Noor akan muncul sebagai pelakon undangan khas dalam 'Mr. Cinderella 2'. Difahamkan, Anita hanya akan muncul dalam tujuh adegan sahaja menerusi wataknya sebagai setiausaha kepada Puteri Megawati lakonan Erra Fazira.

'Mr. Cinderella 2' akan mengupas rentetan pertunangan antara Hakimi (Yusry) dan Puteri Megawati. Setelah bertunang Puteri sedar banyak kelemahan Hakimi dan dia berusaha mendidiknya menjadi lebih bertanggungjawab. Kehadiran Anis (Maya Karin) dalam hidup Hakimi menimbulkan konflik. Puteri mengatakan ingin memutuskan pertunangan tanpa niat. Ayahandanya benar-benar memutuskannya apabila dia diberitahu Hakimi adalah lelaki homoseksual yang menjalin hubungan dengan Kumin (Opie Zami).