'Gila-Gila Pengantin': Komedi tidak bodohkan penonton
MENGHASILKAN sebuah filem komedi dengan mengetepikan unsur yang boleh memperbodohkan
penonton adalah satu cabaran yang hebat. Dalam keghairahan pengarah filem tempatan
memilih komedi slapstik sebagai bahan untuk mengaut keuntungan, ada yang terlupa
untuk komited kepada faktor mesej, jauh sekali memberi sumbangan membina kepada
masyarakat.
Pengarah Aziz M. Osman turut mengakui bahawa menghasilkan sebuah filem komedi yang cerdik amat sukar dilakukan.
``Ia jauh lebih sukar kerana penonton kita tidak suka kepada sesuatu yang membuatkan mereka banyak berfikir ketika di panggung,'' katanya yang berjaya dengan filem komedi ringannya bersama kumpulan Senario. Bagaimanapun, filem terbaru arahannya, 'Gila-Gila Pengantin' cuba memberi penekanan yang berbeza sama sekali.
'Gila-Gila Pengantin' adalah filem yang lari daripada kebiasaan genre komedi apabila Aziz memilih mengetepikan pelawak dalam menghidupkan filem berkenaan. Dengan penampilan Erra Fazira sebagai pelakon utama, jelas Aziz, dia perlu memberi sentuhan berlainan di bandingkan dengan filem komedi arahannya sebelum ini.
``Erra Fazira dan pelakon lain dalam filem ini bukan seperti kumpulan Senario yang memang dilahirkan sebagai pelawak. Mereka ialah pelakon yang membawa watak lucu di layar. Justeru, perlu ada kelainannya dibandingkan dengan filem-filem komedi saya sebelum ini,'' katanya.
Aziz mengakui bahawa sebagai pengarah dia juga perlu lebih berhati-hati menggarap jalan cerita berkenaan kerana pelakon utamanya ialah aktres popular, Erra Fazira.
``Ini adalah filem Erra yang sedikit lain daripada biasa. Saya tampilkan Erra dengan watak yang ada unsur humor. Bagaimanapun, dalam menggarapkan skrip filem ini saya amat berhati-hati kerana antara kelucuan Erra Fazira saya perlu memastikan ia tidak sampai menghina peminat-peminatnya,'' kata Aziz.
Secara terus terang Aziz tidak menganggap filem terbaru arahannya itu sebagai sebuah filem komedi yang cerdik apatah lagi meletakkan filem pengarah lain di tahap yang lebih ke bawah.
``'Gila-Gila Pengantin' adalah filem komedi yang ringan, tanpa unsur slapstik yang keterlaluan. Saya buat filem untuk hiburan, bukannya menyesakkan kepala penonton untuk berfikir,'' katanya lagi.
'Gila Gila Pengantin' juga membuka lembaran baru dalam kehidupan Aziz sebagai penerbit dan pengarah. Gandingan pertama syarikat Aziz, Ace Motion dan Skop Production milik Datuk Yusof Haslam menurut Aziz adalah sesuatu yang sekian lama diharapkan.
``Sebelum ini saya sudah buat usaha sama dengan Grand Brilliance Sdn. Bhd. Bagaimanapun, habis tayangan di pawagam, syarikat saya tidak mempunyai sebarang hak lagi ke atas filem-filem itu. Kali ini berbeza dan Insya Allah, syarikat saya akan mendapat sama rata setiap keuntungan daripada segala segi melalui perjanjian dengan Skop Productions ini,'' katanya.
Menurut Aziz, beliau amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Yusuf Haslam dan menganggap jutawan filem itu sebagai karyawan yang benar-benar jujur di dalam membantu anak bangsanya sendiri. Kos penghasilan 'Gila-Gila Pengantin' ialah RM1.2 juta di mana di bahagikan kepada dua syarikat berkenaan.
'Gila-gila Pengantin' akan berada di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 30 Januari ini. Antara pelakon lain yang turut muncul dalam filem ini ialah Norman Hakim, Juliana Banos, Hairie Othman, Salleh Yaacob dan Syanie.