Erra Fazira ratu filem masa kini

POPULARITI Erra Fazira memberi peluang kepada banyak penerbit menawarkan beliau untuk muncul dalam filem-filem terbitan mereka. Menariknya, setiap filem lakonan Erra memberi keuntungan kepada penerbitnya. Semua kutipan tiket bagi filem lakonan bintang ini melebihi RM1juta.

Terkini, Erra baru saja menandatangani kontrak untuk muncul di dalam filem 'Cinta Kolestrol' terbitan Metrowealth. Kali ini Erra lebih cerdik kerana selain sebagai pelakon utama, beliau melalui syarikatnya Erra Fazira Entertainment Sdn. Bhd. menjadi rakan kongsi bersama KRU Motion Pictures.

Sebelum itu Erra juga telah memberi lampu hijau kepada Kuasatek Pictures untuk muncul di dalam 'Mrs. Cinderella' sebagai sambungan filem awalnya, 'Mr. Cinderella'.

Bagi tahun ini juga peminat pelakon dan penyanyi cantik jelita ini berpeluang menonton lakonan manjannya menerusi filem 'Gila-Gila Pengantin' dan 'Janji Diana'.

Meskipun dua filem tersebut ditayangkan pada tahun baru ini, namun Erra tidak risau kerana tidak akan berlaku pertindihan tayangan di pawagam.

Melihatkan kekerapan Erra muncul di layar perak dengan gegarannya membolehkan kita memberikan beliau satu gelaran iaitu Ratu Filem masa kini.

``Kita tidak kekurangan pelakon wanita. Malah, pelakon wanita lebih ramai daripada lelaki. Namun, Erra bersyukur kerana masih menjadi pilihan utama para penerbit dan pengarah.

``Seperti pelakon lain, Erra juga ingin mencuba sentuhan ramai pengarah. Jadi bila ada tawaran dan kebetulan watak yang ditawarkan bersesuaian, Erra terima dengan senang hati,'' katanya semasa sesi fotografi di Utusan, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Bagaimanapun Erra tidak dapat menyembunyikan resah di hati apabila memikirkan penerimaan penonton terhadap kemunculannya di dalam 'Gila-Gila Pengantin'. Ini kerana sebelum itu beliau telah tampil menerusi filem 'Soalnya Siapa?'.

``Antara filem 'Soalnya Siapa?' dengan 'Gila-Gila Pengantin' berlaku back to back iaitu filem lakonan Erra ditayangkan terus menerus. Tiada tayangan filem lain yang menjadi pemisah kedua-dua filem itu.

``Itulah yang membuatkan Erra sedikit terkilan. Namun kedua-dua filem mempunyai jalan cerita yang berbeza,'' jelasnya.

Sebagai pelakon kata Erra, beliau berdoa agar kedua-dua filem lakonannya itu akan mendapat sambutan daripada peminat dan memberi pulangan yang setimpal kepada penerbit.

Menyentuh kerjasama dengan Metrowealth, Erra berkata apa yang dilakukannya adalah sebagai persiapan awal untuknya maju di dalam bidang perfileman.

Baginya tawaran syarikat tersebut sukar untuk ditolak tambahan pula watak yang ditawarkan amat berbeza.

``Sebenarnya, sebelum ini pun syarikat Erra terlibat di dalam pelaburan bidang ini tetapi tidak dihebahkan.

``Sekarang Erra rasa sudah tiba masanya untuk Erra memberitahu masyarakat dan peminat tentang keseriusan Erra menerbitkan filem,'' katanya menolak dakwaan yang mengatakan dirinya dijadikan batu loncatan untuk mengaut keuntungan.

Apabila telah berjaya menimba pengalaman begitu, beliau juga berazam untuk menerbitkan filemnya sendiri atau sebagai permulaan menghasilkan drama menerusi syarikatnya.

Melihat kepada perancangannya itu terbukti bahawa Erra yang lembut itu sebenarnya mempunyai wawasan yang besar dalam industri ini.