Tiga jelitawan bicara tentang cantik
KITA mempunyai banyak artis cantik, bergaya dan popular. Artis popular seperti Erra Fazira, Camelia dan Maya Karin adalah antara jelitawan yang mewarnai dunia hiburan. Susuk artis terbabit adalah antara penampilan yang menjanjikan perhatian di mata peminat. Populariti mereka bukan sekadar sebagai artis yang mempunyai bakat tetapi juga jelitawan yang sentiasa mengundang sensasi dalam dunia hiburan.
Sama ada dalam dunia muzik mahupun lakonan hingga ke modeling mereka mempunyai segudang prestasi yang cukup memuaskan. Apatah lagi apabila wajah-wajah tersebut sentiasa menjadi idaman banyak pengeluar produk terutamanya kecantikan.
Camelia yang juga seorang model popular masa ini misalannya pernah bergelar antara 100 personaliti paling cantik di Asia. Sementara pada tahun lepas, pelakon dan penyanyi Maya Karin dipilih oleh sebuah majalah popular sebagai antara celebrity wanita paling cantik di dunia. Erra pula yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia juga tidak kalah kehebatannya. Jika tidak masakan dia bergelar pelakon paling laris pada masa ini.
Namun apabila berbicara tentang kejelitaan, setiap artis terbabit memiliki definasi mereka yang tersendiri. Bukan sekadar jelita atau cantik luaran, mereka berpendapat cantik dalaman mampu membawa persepsi yang lebih baik bagi mereka.
``Saya ingin lebih dikenali sebagai seorang berpersonaliti `cantik','' komen Camelia.
Erra yang bakal tampil dalam filem 'Cinta Kolestrol' dan 'Mr Cinderella 2' itu juga percaya bahawa pakej kejelitaan yang terbaik bagi setiap individu merangkumi kecantikan luaran dan dalaman. Komen tersebut adalah sebahagian daripada luahan hati artis terbabit dalam rancangan bual bicara XY terbitan stesen tv ASTRO.
Rancangan yang ke udara di saluran Astro Ria buat pertama kalinya berpeluang menggandingkan tiga artis cantik dan berbakat tanah air. Topik `Jelitawan Hebat' dipilih oleh penerbit untuk menyelami pendirian artis tersebut tentang perkara tersebut. Bukan itu saja melalui rancangan yang diacara oleh pengacara Fahrin dan Ida, malah mereka membicarakan tentang isi hati masing-masing berhubung dengan topik itu.
Pelbagai perkara berkaitan diperdebatkan daripada perbelanjaan kosmetik hingga ke pembedahan plastik dalam rancangan tersebut yang menjadikan ia lebih hangat. Selain mengulas definasi kecantikan mereka berhubung dengan topik Jelitawan Hebat itu, artis tersebut juga mengakui bahawa kecantikan adalah antara pakej terbaik untuk mereka bergelar artis.
``Apabila jadi artis memang kena cantikkan diri juga,'' komen Maya yang akan sibuk menjalani penggambaran filem Mr Cinderella 2 tidak lama lagi.
Kejelitaan mereka itu pasti dikaitkan dengan perbelanjaan tertentu yang terpaksa disediakan setiap masa untuk menjaga penampilan mereka agar sentiasa kelihatan bergaya terutamanya di khalayak ramai. Artis tersebut sebenarnya memiliki cara tersendiri.
Kata Erra, dia sememangnya mempunyai perbelanjaan tertentu dalam soal kecantikan daripada alat solek sehingga ke vitamin untuk menjaga kesihatan diri.
``Tetapi saya akan menyediakan peruntukan yang berpada-pada dalam soal tersebut,'' akuinya.
Maya juga demikian tetapi artis itu mengakui bahawa dia agak cerewet dalam mengeluarkan wang untuk perkara tersebut.
``Saya kedekut sikit,'' kata Maya yang mengakui bahawa dia gemar mempelbagai gunakan alat soleknya.
Pembedahan plastik mungkin bukan sesuatu yang luar biasa di luar negara namun bagi artis tempatan ia tetap sesuatu yang terlarang.
Apatah lagi kebanyakan daripada artis kita mengakui bahawa mereka lebih gemar kepada kecantikan semula jadi.
``Pembedahan plastik itu cuma layak digunakan untuk sesuatu yang lebih serius seperti kecacatan bukan untuk menukar apa yang kita tidak suka.
``Saya sentiasa bersyukur tentang apa yang saya ada. Bagi saya apa yang dijadikan oleh Tuhan mempunyai keunikan tersendiri walaupun kedutan di muka,'' kata Camelia.
Bagi Maya, perkara tersebut juga dikaitkan dengan keyakinan dari dalam diri masing-masing.
``Mereka yang berbuat demikian mungkin berasa tidak yakin dengan diri sendiri atau cerewet. Bagi saya apa yang penting adalah mencarinya dalam diri kita sendiri,'' tambahnya.
Apabila dipersoalkan tentang kecantikan yang sentiasa menjadi pertaruhan sebagai artis, mereka tidak menafikan hal tersebut. Namun ia tetap bukan sandaran utama, artis terbabit juga berpendapat bahawa bakat mereka dalam bidang masing-masing juga penting. Perkara itu yang menjadikan mereka istimewa. Kata pepatah cantik itu subjektif, ketiga-tiga artis tersebut memang memiliki pesona tersendiri yang sentiasa menjadi idaman ramai.
Walaupun mereka tidak sehebat bintang Hollywood atau Bollywood, mereka tetap mempunyai keistimewaan tersendiri. Rancangan bual bicara XY tersebut mula disiarkan di Astro Ria sejak Mei tahun lepas. Ia mengutarakan perbincangan di antara pengacara dan tiga tetamu jemputan mengenai isu sosial dalam dunia lelaki dan wanita. Bagi musim pertama, XY akan membabitkan 26 episod daripada pelbagai topik berkait dan topik Jelitawan Hebat tersebut adalah episod ke-25 XY yang ke udara setiap Sabtu pukul 10.30 malam.