Mr. Cinderella - Erra dan Yusry daya penarik
Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin


Pengarah filem Mr. Cinderella, Ahmad Idham menaruh harapan yang tinggi agar kisah cinta pelakon Erra dan Yusry KRU yang didedahkan dalam majalah membantu mempromosi filem ini.

Mr. Cinderella merupakan gandingan pertama Yusry dan Erra sebagai pelakon utama dalam filem. Dalam dunia hiburan ketika ini, Yusry dan Erra antara personaliti yang popular kerana kisah cinta mereka.

``Saya berharap kisah cinta mereka akan memberi tempias kepada filem ini seterusnya menjadi daya penarik untuk membawa peminat ke pawagam,'' kata Ahmad Idham ketika ditemui selepas pratonton filem Mr. Cinderella di GSC Mid Valley, Bangsar Khamis lalu.

Ini juga merupakan filem pertama terbitan Kuasatek Pictures milik Mohd Noor Kadir yang sebelum ini terkenal dengan drama-drama melankolik di TV3.

Daripada sudut pasaran, Mr. Cinderella menepati formula filem Malaysia yang membariskan banyak artis popular sebagai pelaris dan penentu kutipan di pawagam.

Menurut Ahmad Idham, filem Mr. Cinderella dihasilkan bagi memberi sepenuh hiburan kepada penonton dan sebagai pengarah beliau lebih senang sekiranya dapat memberi sesuatu yang menepati kehendak penonton.

``Bagi saya filem mesti menghiburkan. Ada mesej yang ingin diutarakan tetapi bergantung kepada keupayaan pemikiran penonton sendiri untuk mentafsirkannya,'' jelas Ahmad Idham.

Ahmad Idham berkata, filem ini bukanlah kayu ukur yang tepat untuk menilai kebolehannya sebagai pengarah filem generasi baru negara ini.

Sebaliknya beliau meminta diberi lebih banyak masa sebelum bakatnya sebagai pengarah dinilai oleh penonton.

``Ini adalah langkah pertama saya dalam pengarahan dan beberapa kekurangan telah berlaku,'' katanya lagi.

Kerjasama antara Ahmad Idham dan Mohd. Noor yang terjalin sejak sekian lama dulu membuat gaya drama-drama Kuasatek Pictures meresap dalam filem ini.

``Kerana itu filem ini tidak banyak berbeza daripada konsep seperti drama-drama terbitan Kuasatek sebelum ini,'' tegas Ahmad Idham.

Dalam tugasnya sebagai pengarah, Idham menjelaskan, beliau diberi peluang untuk mewarnakan Mr. Cinderella mengikut acuannya sendiri. Mr. Cinderella bertolak daripada mitos Cinderella yang cukup popular yang telah diubahsuai tetapi kelihatan mahu memanfaatkan pengaruh cerita rakyat itu selain bergantung kepada kisah cinta Yusry KRU dan Erra.

Dalam Cinderella, ceritanya mengenai gadis miskin yang jelita akhirnya berkahwin dengan putera raja setelah tertinggal kasut di istana.

Dalam filem Mr. Cinderella, Puteri Megawati lakonan Erra telah diselamatkan oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya semasa terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Lelaki itu tertinggal sebelah kasutnya di tempat kejadian yang membuatkan Megawati yakin akan bertemu dengan Mr. Cinderella.

Filem ini juga menampilkan pengarah Aziz M. Osman dan Umie Aida sebagai pelakon undangan. Aziz berlakon sebagai `Cina buta' untuk membolehkan rakan baiknya sendiri, Hakimi berkahwin semula dengan bekas isterinya, Melor setelah tiga kali bercerai.

Antara pelakon lain yang terlibat di dalam filem ini ialah Sherina Redzuwan, Khatijah Ibrahim, M. Rajoli, Opie Zami dan Helmi Harun.