Cinta Erra
Oleh: Wanda Idris, Rosmawati Mion & Azimah Omar
Erra Fazira dan kisah cinta ibarat tidak boleh dipisah. Erra, 28, sendiri mengakuinya. Biar kadangkala rimas dengan kedaan itu namun katanya, dia tidak mahu perkara itu membuatkan dirinya terbelenggu.
Sekalipun kini dikatakan hangat bercinta dengan anggota KRU yang paling kacak da mempunyai ramai peminat, Yusry Abdul Halim, Erra tidak pula pernah mengia atau menafikan hubungan itu.
"Buat masa sekarang, apa yang boleh Erra katakan ialah kami berkawan. Susah nak ulas lebih kerana nanti kalau bercakap lebih, takut tak menjadi pula. Cukuplah sekali pengalaman. Dan Erra pun tak mahu dikata perigi mencari timba.
"Erra akui yang Erra ramai berkawan dan dia antara teman yang terapat dengan Erra sekarang. Tapi tentang masa depan bersama, Erra tak boleh kata apa-apa," jelas Erra tanpa berselindung.
Apabila ditanya tentang kahwin pula, kata Erra sambil ketawa, "Siapa yang tak nak kahwin, tapi 'deadline'nya asyika terlajak saja. Jadi sekarang Erra dah tak mahu tetapkan tarikhnya. Kalau dia (jodoh) nak datang, datanglah...
"Sebenarnya dah dua kali Erra terlajak dari 'deadline'. Pertama kali Erra ingat nak kahwin umur 25 tahun. Kemudian 28. Tapi nampaknya tahun ni tak juga...
"Kalau nak tahu 'tension' juga bila orang asyik tanya bila kahwin. Ingat kita tak nak ke? Cuma impian belum terlaksana. Ada juga yang ingat Erra ni pemilih sangat. Tidak... Erra senang dengan orang yang serba sederhana.
"Erra tak nak orang yang kaya sangat. Tak mahu yang 'handsome' sangat. Erra cuma nak lelaki yang sederhana dari segala segi. Tapi biarlah punya ciri kepimpinan. Paling penting dia boleh menerima Erra dan keluarga Erra.
"Erra juga suka lelaki yang boleh dibawa ke tengah ke tepi. Seorang yang bertanggungjawab dan tak berlagak. Dia harus ikhlas kerana Erra tak suka dia berkawan dengan Erra kerana Erra ni seorang artis.
"Erra ni sebenarnya jenis senang berkawan tapi sangat susah untuk jatuh cinta. Sebab kalau Erra jatuh cinta, bak kata Nasseir Wahab dalam lagunya, sekali aku jatuh cinta, cintaku tak pernah berubah!
"Itu sebabnya susah nak cari cinta. Kalau nak berkawan, Erra perlu selidik segala-galanya. Apa yang Erra tahu, sekarang zaman untuk ceria... Zaman untuk bekerja, cari duit dan cari pengalaman."
Bersara Lima Tahun Lagi
Memang melihat jadual kerjanya, pasti kita terasa semput. Apatah lagi dirinya. Namun, kata Erra, dia seronok melakukannya kerana dia memanh meminati dunia seni. Biar bermula sebagai model dan pernah bergelar Ratu Malaysia/Dunia 1992, kata Erra, glamor dunia peragawati sudah lama terkubur.
"Modelling hanya minat zaman sekolah namun cita-cita sebenar ialah mahu menjadi seorang penyanyi. Erra akui bidang seni beri kepuasan kepada diri Erra," katanya yang kini sibuk dengan promosi album dan berlakon filem.
Kini dia sedang mengadakan promosi 'single' terbarunya, Perpisahan Hanya Waktu daripada album solo keduanya bersama Sony Music, Sampai Bertemu. (Erra sudah memiliki lima album solo.)
"Promosi album sudah berjalan sejak April lagi namun dihentikan sementara waktu pada Mei kerana Erra harus menjalani penggambaran filem Soalnya Siapa? (bergandingan dengan Afdlin Shauki) selama sebulan setengah.
"Selesai 'shooting', itu yang terus buat promosi album kembali. Selepas ini Erra akan menjalani penggambaran filem Gila-Gila Pengantin (arahan Aziz M. Osman) pula. Tamat 'shooting', Erra akan mengadakan promosi lagi.
"Tapi kali ini bukan untuk album sebaliknya filem Mr. Cinderella (bersama Yusry). Itulah jadual kerjaya Erra sehingga Ogos depan. Kalau tengok memang takut. Tapi bagi Erra inilah periuk nasi," beritahunya.
Menurut Erra, inilah masanya untuk dia bekerja keras dalam bidang seni sebelum mengundurkan diri. Dia tidak mahu terus berada di takuk lama dan ingin mencari perubahan baru.
"Erra bagi tempoh lima tahun lagi untuk dalami selok-belok dunia seni sebelum Erra mengucapkan selamat tinggal atau dalam erti kata sebenarnya bersara. Tapi Erra tidaklah meninggalkan terus bidang yang Erra minati in sebaliknya mahu bekerja hanya di belakang tabir.
"Takkan selama-lamanya nak berlakon. Teringin juga rasa nak duduk di kerusi pengarah. Takkan nak terus menyanyi di pentas. Tentu hati teringin jagu nak menerbitkan album orang lain," ujarnya yang pernah mengarah sendiri klip videonya untuk lagu Terserah Padamu.
Ulang Tahun Ke 10
Erra yang akan menyambut ulang tahun ke-10 penglibatannya dalam bidang seni tidak lama lagi memberitahu, biar banyak cabaran dan dugaan yang dihadapinya dalam bidang seni, sokongan keluarga, pihak media dan peminat tidak pernah dilupakan.
Malah biar teruk dilanda gosip, sehinggakan kata Erra, dia pernah mahu menjerit sekuat hati apabila timbul tohmahan dan cerita panas tentang dirinya, dia tetap bangga menjadi anak seni.
"Kalau nak kata tentang kerjayaan paling membanggakan, pada Erra, selagi filem meletup dan album diterima paminat, itu adalah satu kerjayaan buat Erra dan Erra amat berpuas hati. Anugerah hanya sekadar satu bonus kepada populariti.
"Erra rasakan bahawa tahun 1992 adalah tahun paling 'ong' buat Erra. Masa tu Erra baru berusia 18 tahun. Ketika itulah Erra mula menapak dalam dunia peragaan dan bidang seni.
"Selain menang dan mewakili negara untuk Miss Malaysia/World, tahun itulah juga Erra bergelar pelakon (filem pertamanya Sembilu) dan melahirkan album sulung (bersama Polygram berjudul Yang Terindah Hanyalah Sementara)," ceritanya.
Tambahnya, "Namun bukan semua kenangan indah belaka. Ada juga yang menyayat hati. Terutama di tahun-tahun 1998/1999 apabila terlalu banyak kisah peribadi Erra diperkatakan.
"Sampaikan rasaknya masa itu, kisah kerjaya tenggelam dek gosip panas yang membakar jiwa ini. Ikut hati mahu saja rasanya menjerit sekuat hati dan meraung. Masa tu nak jumpa orang pun rasa malu... Diri jadi bingung.
"Dituduh ditangkap khalwat... Masa itu juga kisah putus tunang jadi berita panas... Orang jadi lupa kisah menyanyi dan berlakon sebab terlalu banyak kisah peribadi yang dikeluarkan.
"Tapi apakan daya, ini mata pencarian Erra. Nak tak nak terpaksalah hadapi. Erra taklah menyalahkan gosip. Cuma kadang-kala tulisan tanpa menyelidik benar atau tidak membuatkan orang boleh memberi andaian sendiri.
"Hanya keluarga yang memberi semangat untuk Erra kuat menghadapinya. Erra kena realistik. Sebab Erra ni aset keluarga. Erra tempat bergantung mereka. Jadi kena kerja kuat mencari rezeki menampung keluarga.
"Erra tak boleh mengalah kerana perkara itu. Sebab Erra terlalu banyak tanggungjawab pada keluarga. Kerana semangat dan rasa tanggungjawab itulah Erra bangkit semula. Walau sakit, Erra kena bangun," tegasnya.
Biar menempuh banyak dugaan dan cabaran, Erra yang lebih senang duduk di rumah menulis novel kala fikiran berserabut, rasanya sudah boleh berbangga kerana kerjayaan yang dikecapinya hari ini.
"Tapi Erra harus terus kerja kuat. Soal remeh-temeh jangan difikirkan sangat. Erra mahu bahagia... mahu ceria menghadapi hidup," tambahnya.