Erra Fazira jatuh motosikal
*Courtesy of Dy & Sty - KRUeRealm.cjb.net

Apabila diberitahu mengenai berita artis jelita Erra Fazira terjatuh dari motosikal Selasa lalu, Pancaindera terus menghubungi telefon bimbitnya. Ketika menyambut salam panggilan itu, jelas suara Erra seperti sedang menahan kesakitan. Kata Erra, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan yang berat, sebaliknya hanya kesan-kesan lebam.

"Cepatnya dapat berita, mana tahu berita ni?" katanya terperanjat ketika Pancaindera menghubunginya beberapa jam selepas insiden itu berlaku. Erra terjatuh dari motosikal Harley Davidson berkuasa 1100cc petang Selasa lalu ketika dalam perjalanan pulang selepas menjalani latihan di studio ERA di Bukit Jalil.

Menurut artis yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem Janji Diana, ketika insiden tu berlaku, dia tidak dapat memberi tumpuan ketika mengunggang motosikal.

"Ketika itu Erra sedar Erra dalam keadaan penat dan tidak dapat memberi tumpuan. Mungkin juga keadaan ini berlaku kerana malam sebelum itu Erra pulang lewat pagi kerana penggambaran habis lambat," katanya sambil memberitahu tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai keadaan dirinya.

Ekoran insiden itu, Erra berkata, dia ingin berehat di rumah. Pancaindera difahamkan, teman lelaki Erra, Yusry (KRU) yang mendapat berita mengejut mengenai kekasihnya itu berasa dalam keadaan serba salah dan tidak senang duduk. Sekejap-sekejap Yusry menghubungi telefon bimbit buah hatinya.