'Cinta Kolestrol' sentuhan pertama Erra.

'Cinta Kolestrol', sebuah filem bercorak komedi romantik bakal menjadi buah tangan ke-7 arahan Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen selepas kejayaan 'Mami Jarum' mengutip RM4 juta di pawagam.

Filem terbitan Metrowealth Movies Production dengan kerjasama KRU Motion Picture dan Erra Fazira Entertainment ini mendapat khidmat special effect dan make-up tenaga pakar luar negara iaitu dari Pine Wood Studio London, England.

Syarikat tersebut berpengalaman selama 11 tahun dan terbabit dalam penyelenggaraan kesan khas dan penyolekan beberapa filem hebat seperti 'Tomb Raider', 'Dungeons Dragons', 'Cyborg Cop', 'The World Is Not Enough' (James Bond), 'Highlander I & II', 'Aliens' dan banyak lagi.

Kakitangan syarikat terbabit akan tiba di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum penggambaran untuk make-up test artis denganmenggunakan bahan seperti latex-foam, iaitu sejenis bahan medical-grade berkualiti sama seperti yang digunakan oleh pihak produksi filem Hollywood.

Filem gandingan Erra Fazira, Yusry KRU, Rita Rudaini, Ezad Exist dan lain-lain ini akan memulakan penggambaran pada 16 Mac 2003. Sehingga ini, 'Cinta Kolestrol' yang dijangka menelan belanja sekitar RM1.5 juta itu masih di peringkat pre-production.

Difahamkan, dalam 'Cinta Kolestrol' ini, Erra akan memegang watak wanita gemuk yang berusaha mengurangkan berat badannya demi cinta. Sentuhan kesan khas dari tenaga pakar KRU Motion Picture akan turut digunakan bagi menjayakan filem tersebut.

Majlis menjelaskan penjanjian usahasama tersebut telah diadakan di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 26 Disember 2002. Dengan wujudnya perjanjian usahasama itu, ia merupakan projek pertama Erra Fazira Entertainment dalam industri perfileman yang melibatkan kerja-kerja penerbitan.