Lesap selepas pratonton Soalnya Siapa?
'KEHILANGAN' ERRA JADI TANDA-TANYA

Beberapa wartawan yang menghadiri pratonton filem 'Soalnya Siapa?', di panggung One Utama, Damansara, Selangor hampa apabila pelakon dan penyanyi Erra Fazira menghilangkan diri sejurus tayangan filem tersebut berakhir. Menurut Penerbit filem bercorak komedi itu, Habsah Hassan, Erra terpaksa bergegas ke sebuah lagi majlis yang berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, segelintir wartawan berpendapat, Erra kemungkinan cuba melarikan diri daripada isu pertunangannya yang dikatakan bakal berlangsung pada 2003. Ini berikutan satu laporan baru-baru ini yang mengesahkan keluarga Yusry termasuk ibu (Zarina Abdul Wahab Fenner) dan ayahnya (Abdul Halim Kamal) berkunjung ke rumah keluarga Erra di Taman Tun Dr Ismail untuk merisik. Ia dikatakan genap seminggu kedua-dua artis popular itu bertolak ke Mekah (10 November) untuk menunaikan Umrah.

Kunjungan keluarga Yusri telah disambut kira-kira 12 keluarga Erra termasuk nenek artis popular itu Hajah Siti Zubaidah Haji Jalin. Kedua-dua pihak kemudiannya telah bersetuju untuk menyatukan Erra dan Yusry dengan hantaran kahwin sejumlah RM33,333.33. Tarikh pertunangan kedua artis popular itu dijangka akan berlangsung pada 8 Mac 2003, tetapi ada pihak mendakwa tarikh tersebut mungkin berlangsungnya pernikahan.

"Saya sebenarnya langsung tak tahu menahu mengenai perkara tersebut. Malah Erra sendiripun tak memberitahunya secara berdepan mengenai perkembangan terbaru itu melainkan saya membacanya melalui akhbar sahaja.

"Jadi dalam hal ini, saya tak dapat mengesahkan yang cerita itu benar atau tidak. Bagi saya, soal Erra akan bertunang atau berkahwin bukanlah satu isu yang kemungkinan membuat penonton dingin ke pawagam untuk menonton filem terbarunya ini," ujar Habsah ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

Pendapat Habsah turut disokong oleh Pengarah filem itu Hafsam yang menyifatkan Erra masih mempunyai peminat setia terutamanya wanita. Oleh yang demikian, dia tak nampak populariti Erra akan terjejas selepas berkahwin malah dia berani mengatakan Erra masih boleh diketengahkan dalam sambungan filem tersebut sekiranya ia disambung lagi.