Gabungan Aziz / Yusof jayakan Gila-Gila Pengantin

Kepercayaan yang diberi oleh Skop Productions yang diterajui oleh Yusof Haslam terhadap syarikat penerbitan Aziz M. Osman amat berharga bagi pengarah muda itu. Gabungan tersebut berjaya melancarkan filem pertama antara kedua-dua penerbit dan pengarah berbakat itu yang diberi judul Gila Gila Pengantin.

Majlis pelancaran filem tersebut telah diadakan di Dataran Finas, Hulu Klang, Selangor dengan penuh kesyukuran. Paluan kompang dan persandingan pengantin telah dilangsungkan bagi menandakan bermulanya adegan pertama filem tersebut yang dilakukan oleh jurukamera filem terkenal Badar.

Dalam ucapan Aziz, dia mengucapkan ribuan terima kasih pada Yusof Haslam kerana memberi kepercayaan pada syarikatnya untuk menerbitkan filem pertamanya itu. Malah dia turut lega kerana Erra Fazira sudi membintangi filem Gila Gila Pengantin setelah sekian lama dia mengimpikan pelakon itu berlakon di bawah arahannya.

"Tanpa sokongan Yusof, saya rasa impian saya ini tidak akan kesampaian. Oleh yang demikian, saya berjanji akan mengetengahkan yang terbaik untuk tontonan peminat filem Melayu yang bencikan VCD cetak rompak," ujarnya berseloroh.

Sementara Yusof pula menyeru agar penerbit dan pengarah filem tempatan agar jangan menjadi seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang hanya gah setelah beliau meninggal dunia. Tetapi ketika hayatnya, beliau pernah merajuk dengan wartawan hiburan kerana mengkritik filem-filem arahan beliau... dan itulah lumrah hidup namanya, ujar Yusof.

"Malah apa yang lebih menyedihkan, karya-karya Allahyarham yang kita banggakan bukanlah milik beliau, tetapi milik orang lain. Jadi ingatan saya pada rakan-rakan semua, janganlah hanya bekerja untuk keuntungan orang lain... tetapi berusahalah untuk menghasilkan karya untuk diri sendiri bagi tatapan anak cucu kita," ujarnya.


Tambah penerbit dan pengarah jutawan itu, dia kini mulai sedar yang wang bukanlah segala-galanya dalam hidup ini. Ia berikutan serangan penyakit perut yang dihadapinya baru-baru ini yang memaksanya banyak berehat bagi menjaga kesihatan.

Dalam temuramah yang dilakukan oleh pemberita myartis, Yusof mengakui dia akan menjalani pemeriksaan X-ray bagi menentukan penyakit yang dihidapinya. Melalui rawatan awal, katanya dia diberitahu oleh doktor yang dia mengidap penyakit dalam perut yang memerlukan rawatan lanjut.

Sinopsis Gila-Gila Pengantin

Filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Aliah yang pernah mengalami tragedi pelamin roboh. Disebabkan tragedi tersebut, dia telah menjadi fobia untuk naik pelamin dan mengalami kesukaran mencari pasangan hidup.

Dalam masa yang sama, seorang lagi lelaki mengalami peristiwa dan masalah yang sama dan fobia naik pelamin. Walaupun mereka berdua duduk berasingan dan tak pernah bertemu, namun melalui alam siber... mereka berkenalan dan chating bersama setiap hari.

Masalahnya sekarang, mereka berdua mempunyai teman hidup masing-masing yang tidak memenuhi kehendak mereka. Dan akhirnya bila tiba masa bersanding, fobia untuk menaiki pelamin datang kembali dan mereka harus membuat keputusan bijak samaada meneruskan perkahwinan atau memilih pasangan siber yang mereka kenali.

Apakah keputusan yang harus mereka buat? Sama-sama kita nantikan filem ini di pawagam tahun hadapan yang memaparkan pelbagai adegan lucu yang pastinya mencuit hati. Antara pelakonnya ialah Erra Fazira, Norman Hakim, Hairie Othman, Syanie, Salleh Yaakop, Osman Kering dan ramai lagi.