![]() |
![]() |
Tayangan Amal Mr Cinderella di PWTC
Atas dasar prihatin pada warga emas yang banyak menyumbang terhadap kemajuan negara, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) bercadang mendirikan Teratak Warga Emas bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Ia adalah sebagai persediaan bagi mengatasi masalah golongan tersebut sekaligus membantu mengangkat martabat dan maruah wargatua sebagai golongan masyarakat yang seharusnya dihormati dan disayangi.
Oleh yang demikian, pembinaan TWE oleh LKPIM merupakan satu usaha penting
untuk menanggani masalah yang akan dihadapi oleh wargatua pada masa akan datang.
Mengikut statistik, dalam tempoh lima tahun akan datang jumlah penduduk tua
negara akan meningkat 7 peratus setiap tahun.
Sementara menjelang tahun 2025 pula, jumlah penduduk tua dijangkakan bertanbah sebanyak 12.15 peratus. Tahun-tahun akan datang pula bagaimana? Yang pastinya jumlah ini akan bertambah sepanjang masa, ujar Pengerusi Teratak Warga Emas, YTM Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz ketika menjelaskan fungsi LKPIM.
"Perjuangan LKPIM akan diteruskan. Antara agenda terkini untuk mengisi
tabung TWE ialah dengan mengadakan tayangan amal Mr. Cinderella arahan Ahmad
Idham bagi pembinaan teratak tersebut yang akan memenuhi keperluan kerohanian,
sosio ekonomi dan fizikal wargatua.
"Bagi mereka yang ingin menderma sambil beramal, mereka bolehlah mendapatkan tiket untuk menonton filem ini yang bakal diadakan pada 12 Ogos 2002 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC, Kuala Lumpur. Filem Mr. Cinderella kami pilih untuk mengisi tabung ini adalah berdasarkan keupayaan penerbitnya Mohd. Noor Kadir dan para pelakon filem itu sendiri seperti Yusry KRU dan Erra Fazira," ujarnya.
Sementara Mohd. Noor Kadir pula ketika diminta mengulas mengenai tayangan
amal itu menyatakan rasa terharunya kerana dapat berganding bahu dengan LKPIM
membantu warga emas. Dengan wujudnya kesedaran seperti itu, dia berharap warga
emas negara ini akan mendapat pembelaan sewajarnya dari semua pihak.
"Pencarian LKPIM untuk mendapatkan filem yang sesuai untuk mengisi tabung
TWE kena pada masanya. Bagi pihak Kuasatek Picture Sdn Bhd, kami memang mengalu-alukan
usaha murni tersebut dan tidak teragak-agak untuk menghulurkan sebarang sumbangan
yang diperlukan," ujarnya.