Pertanyaan kahwin membosankan

Ramai yang tidak tahu bahawa artis terkenal Erra Fazira yang sentiasa menjadi tumpuan ramai Cuma mempunyai pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kelebihannya ialah, beliau mula menceburi tumpuan apabila memenangi pertandingan Ratu Cantik Malaysia pada 1992.

Dalam usia 28 tahun, Erra Fazira kini menghampiri kemuncak kejayaan. Beliau semakin laris di kalangan penerbit filem dan juga album nyanyiannya. Peminat pula sentiasa tertunggu-tunggu filem lakonan Erra yang dikatakan mampu membawakan sebarang watak dengan berkeasn terutama sebagai kekasih yang kecewa dalam percintaan.

Dalam pertemuan dengan wartawan RAMLI ABDUL KARIM, Erra berkongsi banyak pengalamannya sepanjang menjadi seorang celebrity. Erra juga tangkas memberi pandangannya terhadap berbagai persoalan daripada isu peribadi, masalah-masalah artis Malaysia dan isu semasa dalam dan luar negara.

SIAPA Erra Fazira di sebalik penyanyi dan pelakon popular tanah air?

ERRA FAZIRA: Saya adalah gadis kampung dan saya sangat kekampungan. Sebab itu saya mempunyai banyak batasan hidup. Orang nampak saya moden, tetapi pemikiran saya sangat kemelayuan. Walaupun saya tinggal dalam arus moden dan glamour namun saya masih berjaya mempertahankan nilai-nilai orang melayu dan masih tebal dengan cirri-ciri gadis kampung.

Selama ini orang kenal kerana kerja saya iaitu sebagai penyanyi, pelakon dan penyumbang industri seni tempatan. Tetapi saya mahu dikenali kerana bakat saya. Sebagai pelakon, saya tidak bawa diri saya yang sebenar di lokasi penggambaran. Begitu juga sebagai penyanyi. Di atas pentas, saya memikul amanah untuk menghiburkan orang ramai tetapi di luar, saya ada karakter sendiri.

Erra selesa menjadi celebrity?

ERRA FAZIRA: Selesa? Sebenarnya ia tidak seindah yang disangkakan. Ada baik dan ada buruknya kita dikenali ramai. Namun saya tidak anggap ini sebagai bebanan. Sejak awal lagi iaitu sebelum saya menjejak kaki ke bidang ini, saya sudah bersedia menghadapi apa juga situasi.

Selepas sedekat menjadi artis, apakah Erra fikir bahawa kerjaya sekarang sebagai pilihan yang tepat?

ERRA FAZIRA: Ya. Ia tepat mengikut minat dan kemahuan saya. Saya tidak minat dengan kerja-kerja rutin seperti bekerja pejabat.

Tidak menyesal memilih kerjaya ini?

ERRA FAZIRA: Sama sekali tidak. Bagaimana mungkin saya menyesal melakukan apa yang saya minati. Walaupun bidang ini turun naiknya tetapi apa yang terjadi sekalipun, saya tidak akan menyesal. Inilah semangat yang saya pupuk sejak membabitkan diri dalam bidang seni.

Siapa yang berpengaruh dalam kehidupan Erra?

ERRA FAZIRA: Saya sendiri. Kalau saya silap langkah sekali pun, ia berpunca daripada saya sendiri bukan orang lain. Saya tidak suka menyalahkan orang lain. Dari segi keluarga, peranan mereka ialah sebagai pendorong dan pemberi semangat kepada saya. Saya hidup berjuang dan bekerja….hasilnya untuk keluarga kerana saya ada tanggungjawab kepada mereka.

Susah ke menjadi popular seperti Erra?

ERRA FAZIRA: Tidak. Tetapi kalau kita sudah set minda sendiri bahawa kita ni popular, sudah tentu susah untuk kita bergerak dan melakukan apa saja. Saya kawal pemikiran dan minda saya supaya tidak ambil tahu dan tidak kisah mengenai apa orang ramai anggap iaitu sama ada saya popular atau tidak. Saya selalu fikir bahawa saya tidak sepopular mana, ada orang lebih popular. Saya masih orng biasa. Dengan set minda begini saya tidak tension. Sesetengah orang tension menjadi popular sebab mereka sendiri anggap diri mereka popular.

Bagaimana dengan privacy Erra?

ERRA FAZIRA: Saya sedar, sedikit sebanyak privacy saya tergugat. Tetapi saya pegang satu peribahasa melayu. Emak selalu ingatkan mengenainya iaitu 'kalau takut dilambung omak, jangan berumah di tepi pantai'. Saya tahu sebaik saja kaki melangkah ke bidang ini, privacy saya akan terjejas, baik buruk ditanggung sendiri.

Benarkah menjadi artis sangat mudah tidak perlu sijil atau kelayakan?

ERRA FAZIRA: Saya setuju. Tetapi bidang seni ini berlainan dengan yang lain kerana kita mesti ada bakat. Anda belajar di kelas mana sekali pun tetapi jika tidak ada bakat, anda tidak boleh ke mana.

Maksud Erra, kalau saya ada diploma, ijazah atau ijazah sarjana dalam bidang seni, itu belum menjamin masa depan saya jika ingin menjadi orang seni?

ERRA FAZIRA: Tidak. Saya bukan bermaksud begiru. Kalau saudara ada ijazah saya percaya kejayaan dalam lapangan sebenar bergantung kepada nasib. Saya akui kelayakan pendidikan formal yang saudara miliki itu amat penting. Saya juga masih pecaya bahawa tanpa bakat, saudara tidak akan ke mana. Kedua-dua seiring. Lainlah kalau saudara memang berbakat, ditambah pula ijazah yang saudara ada, tentunya kerjaya dan bakat saudara lebih senang berkembang. Ilmu pengetahuan memang penting buat artis. Kalau mengharapkan bakat semata-mata saja, kita juga akan terus berada di takuk lama. Tanpa ilmu juga senang dipermain.

Kepada Erra sendiri…

ERRA FAZIRA: Saya mengaku tidak ada sijil untuk dibanggakan Cuma setakat SPM. Tetapi saya tidak pernah berhenti sebaliknya terus belajar dari semasa ke semasa. Mungkin ia tidak formal dan tidak ada sijil. Saya sentiasa mencari bimbingan dan belajar daripada orang yang lebih berpengalaman. Saya fikir yang ilmu juga berharga.

Tidak bercadang melanjutkan pelajaran?

ERRA FAZIRA: Masalah saya sekarang ialah dihambat masa yang sangat terhad. Malah masa untuk diri sendiri pun kurang. Beberapa tahun lagi apabila saya dapat mengurangkan aktiviti nyanyian dan lakonan, saya mahu sambung pelajaran. Buat masa ini tidak boleh, saya bukan saja aktif sebaliknya hyper active.

Bagaimana kalau ditawarkan belajar oleh mana-mana universiti?

ERRA FAZIRA: Sudah tentu saya terima. Tetapi saya peril kobankan salah satu bidang kerjaya saya sama ada nyanyian atau lakonan. Saya tidak boleh belajar sambil mempunyai dua bidang kerjaya iaitu menyanyi dan berlakon…. Mungkin saya pilih meninggalkan seketika bidang lakonan.

Bagaimana pengiktirafan umum termasuk universiti tempatan terhadap sumbangan artis Malaysia?

ERRA FAZIRA: Saya ada dengar seorang dua diberi pengiktirafan oleh universiti sama iaitu menerusi anugerah ijazah doctor kehormat dan lain-lain. Itu memang langkah yang bagus. Tetapi secara keseluruhannya, pengiktirafan lebih banyak ditumpukan kepada bidnag lain.

Di Malaysia, saya sedih kita tidak memandang seni sebagai sesuatu yang berat dan serius walaupun ternyata banyak artis yang begitu banyak sumbangannya kepada negara menerusi seni. Soalnya, siapa lagi yang mengangkat martabat seni dan artis tanah air kalau bukan orang kita sendiri?

Apa perasaan Erra apabila orang asyik bertanyakan tentang perkahwinan?

ERRA FAZIRA: Bosan, sangat membosankan. Kadang-kadang rasa terkilan. Saya bekerja siang malam, menyanyi dan berlakon untuk menaikkan taraf industri kita tetapi itu orang tidak pandang. Mereka lebih berminat dengan cerita peribadi. Saya terkilan, terkilan, terkilan.

Terus terang dan jujur saya katakan dan akui bahawa mentality orang kita belum sampai ke tahap menyumbang kepada industriu seni tempatan. Mereka lebih suka cerita gosip perkahwinan, pecerian dan ceruta peribadi yang lain. Ini tidak menyeluruh, ramai juga yang berpandangan positif.

Apa maksud perkahwinan bagi Erra?

ERRA FAZIRA: Ia gandingan hidup perempuan dan lelaki yang memerlukan banyak pengorbanan selain mengembangkan zuriat kita. Lelaki dan perempuan mempunyai pendapat serta cara berbeza. Kita kena tahu bagaimana menggabungkan supaya dapat kesesuaian. Menerusi perkahwinan umpama mendapat kerajaan, kita tadbir sendiri dan semua bergantung kepada kita.

Poligami….

ERRA FAZIRA: Ia memanglah sah dan di benarkan dalam islam. Kalau hendak dilarang pun, ini perbuatan halal. Tetapi saya akui ia sesuatu yang bukan manis untuk perempuan. Pada masa yang sama, ia sesuatu yang bukan mudah untuk lelaki.

Kalau Erra terpaksa bermadu…

ERRA FAZIRA: Ya Allah, harap dijauhkan. Kalau sudah ditakdirkan, itu namanya jodoh dan terpaksa akur. Tetapi kalau saudara Tanya hari ini, sudah tentu saya tidak bersedia. Saya rela mengundurkan diri. Namun, siapa tahu apa berlaku pada masa depan, kita cuma mampu merancang.

Pada usia berapa Erra mahu berkahwin?

ERRA FAZIRA: Matlamat saya sudah terlajak. Cita-cita saya hendak berkahwin selewat-lewatnya pada usia 25 tahun, sekarang usia sudah 28 tahun. Kini sasaran berkahwin tidak lagi menjadi isu dalam hidup saya.

Ada artis mencari nama dengan peristiwa ditangkap berkhalwat. Apa komen Erra?

ERRA FAZIRA: Bagi saya artis itu berpandangan singkat dan cetek. Biarlah nama meletup dengan cara sihat. Buat apa tiba-tiba nama kita melonjak di seluruh Malaysia kalau isunya negative. Saya percaya artis seperti ini tidak ke mana. Orang Malaysia mempunyai batasan dan mereka tidak suka artis begini walau sebaik mana laokanan atau nyanyiannya.

Setakat mana Erra mengikuti perkembangan semasa di dalam dan luar negara?

ERRA FAZIRA: Saya bukanlah memburu berita sebegitu. Tetapi saya mengikutinya melalui akhbar atau melalui orang di sekelilin. Saya sentiasa mengambil tahu sedikit sebanyak tentang isu semasa terutama isu dalam negara.

Artis sepatutnya memperkayakan tamadun seni. Sudahkah artis Malaysia melaksanakan peranan itu?

ERRA FAZIRA: Kita ada segelintir artis yang memperjuangkan seni kebudayaan kita seperti penyanyi Noraniza Idris. Kita perlu akui bahawa kita masih tidak ada pun lagu beridentiti sendiri berbanding lagu-lagu Arab atau Bollywood yang ada unsure budaya dan tradisional mereka. Kita tidak boleh salahkan sesiapa tetapi sama-sama membuka minda memikirkannya. Kita patut malu dengan filem dan lagu orang lain yang ada indentiti tetapi kita tidak.

Namun kita juga perlu ada pihak yang mengikut perkembangan seni antarabangsa. Kalau semua sibuk hendak mengembangkan bidang ini (tamadun seni tempatan), kita seolah-olah ketinggalan. Kita perlu seimbang.

Artis-artis Hollywood dan negara lain termasuk Britain dan Australia sudah mengadakan protes membantah cadangan Amerika Syarikat (AS) mahun menyerah Iraq. Bagaimana Erra mentafsir isu ini?

ERRA FAZIRA: Saya benci perang, lebih-lebih lagi kalau ada unsur perang atas nama agama. Saya tidak bersetuju dengan tindakan AS yang beria-ia mahu menyerang Iraq. Saya yakin artis-artis Malaysia juga berpandangan sama iaitu tidak sukakan peperangan. Cuma mereka seolah-olah tidak mengambil berat isu-isu begini sebaliknya sibuk dengan aktiviti hiburan kerena kita sendiri tidak memberi peluang kepada mereka menyurakan pendapat dan menyertai kempen protes yabg di jalankan.

Kempen protes ke atas AS perlu dilakukan menerusi inisiatif persatuan-persatuan, seperti yang dilakukan di luar negara. Masalahnya, persatuan di Malaysia hidup di kala ia diperlukan, kalau tidak diketuk, tidak bergerak. Saya sendiri menganggotai persatuan artis. Tetapi sebagai ahli biasa, saya tidak boleh memaksa persatuan menggerakkan kempen protes yang disebutkan tadi jika pimpinan persatuan sendiri tidak memulakannya.

Apakah AS akan menyerang Iraq?

ERRA FAZIRA: Tidak. Saya rasa dengan campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara lain yang membantah peperangan, agak sukar untuk AS melancarkan perang sewenang-wenangnya. Syaratnya, biarlah semua orang, semua negara membantah tindakan AS.

Apa perasaan Erra sebagai bekas Ratu Cantik Malaysia apabila sekarang wanita Islam dilarang menyertai pertandingan seumpama itu?

ERRA FAZIRA: Sebagai bekas peserta pertandingan ratu cantik pada sama yang sama orang islam, saya tidak membantah larangan itu. Saya masuk pertandinganitu pada tahun 1992 semasa usia saya 17 tahun, masih terlalu mudah. Kalau sekarang ditanya sama ada saya mahu masuk pertandingan lagi, jawapan saya ialah tidak.

Kalau diberi peranan sebagai birokrat bidang seni filem dan muzik, apa yang Erra hendak lakukan?

ERRA FAZIRA: Saya akan pastikan industri perfileman Malaysia berkembang maju dan dihormati. Biarlah filem-filem kita mampu membuka minda khalayak untuk menerimanya sebagai tontonan berkualiti. Saya juga mahu supaya ramai penerbit asing dipanggil membikin album artis tempatan untuk pasaran luar negara. Untuk memasuki pasaran dunia, masyarakat antarabangsa sendiri sebenarnya lebih melihat kepada kualiti berbanding kandungan.

Bagaimana Erra mahu membela artis?

ERRA FAZIRA: Saya sedang memperjuangkan supaya ada caruman kepada tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk artis-artis. Artis tiada jaminan masa depan. Saya kerap bangkitkan soal KWSP ini. Walaupun kami tidak ada gaji dan majikan tetap tetapi kami ada kontark tetap dengan syarikat rakaman mahupun syarikat penerbit filem. Di dalam kontrak ini patut disyaratkan caruman syarikat dan caruman pekerja untuk KWSP.

Ikhlas Dari : Ayu Rosniza
(Jelapang Jadi AS Kedah)