![]() |
![]() |
![]() |
Cinta Sesama Artis: "Hari-hari jumpa, lama-lama jatuh hati" Erra
Fazira
Oleh: Aniff Ghani
Jg: Baki Ali
Sebut sahaja nama Erra Fazira, pasti nama Yusry KRU dikaitkan dengannya. Apa tidaknya, dewasa ini kisah cinta mereka seringkali dibicarakan. Biarpun persoalan demi persoalan diajukan tentang hubungan mererka itu, namun acapkali kita diberi jawapan yang sama, mereka hanya berkawan. Tambahan pula, mereka perlu bekerjasama untuk mempromosikan filem terbaru mereka 'Mr Cinderella' arahan Ahmad Idham yang akan ditayangkan pada bulan Ogos nanti. Apapun jawapan mereka, kadang-kadang kisah cinta Erra dan Yusry itu membuat peminat bosan dan muak. Ini kerana di dada majalah atau akhbar, acapkali cerita tersebut menjadi perbualan dan topik hangat yang dibentangkan. Minggu ini MH cuba lari daripada membicarakan kisah cinta Erra Fazira. Nak tahu apa cerita terbaru Erra, kita ikuti temubual bersamanya.
Sesi fotografi untuk cover MH minggu ini diadakan di Sarawak ketika Aniff mengikut rombongan Erra yang mempromosikan album terbarunya, 'Sampai Bertemu' di sana. Paling menariknya, sesi fotografi itu kami ambil dari tingkat atas bilik hotel di mana Erra menginap. Dari sudut atas sahaja, kita sudah nampak latarbelakang menarik beberapa tempat di Sarawak. Sudut menarik yang menjadi perhatian kami adalah Sungai Sarawak.
Setelah jurugambar kami, Baki Ali merakamkan gambar polaroid Erra berlatarbelakangkan Sungai Sarawak dari sudut atas, kesemuanya kagum dengan hasil gambar itu.
"Wow, cantik dan indahnya permandangan Sungai Sarawak ni, ambillah gambar polaroid kita lagi bang, nak simpan untuk kenang-kenangan," ujar Erra kepada jurugambar kami, Baki Ali.
Bukan Erra sahaja yang bergambar berlatarbelakangkan Sungai Sarawak petang itu, malah semua krew yang ada tidak ketinggalan bergambar kenangan.
Ternyata, kreativiti dan semangat yang ada ketika di set sesi fotografi membuahkan kepuasan sebenar. Malah, Erra yang sepatutnya bergegas untuk persembahan di kompleks Tun Jugah petang itu sanggup meluangakan masa bergambar asalkan hasil gambar itu berkualiti dan nampak kalainan.
Secara keseluruhannya, kami cukup senang bekerja dengan Erra dan dia juga sering berfikiran terbuka dalam apa jua perkara. Perbincangan dan permuafakatan membuatkan sesi fotografi kami berjalan lancar walaupun hanya setengah jam.
Kenapa Erra pasang ramai pengurus?
MH: Bagaimana sambutan album terbaru Erra, dengar ceritanya agak lembab
sedikit jika dibandingkan dengan album-album sebelum ini?
ERRA: Itu Erra tidak nafikan dan sejak dari awal lagi, sambutan album Erra
agak slow tapi ia tidak 'mati' begitu sahaja. Sebaliknya penjualan album
Erra masih berjalan dari semasa ke semasa biarpun dalam jangka waktu yang panjang.
Alhamdulillah, peminat masih lagi setia meyokong Erra. Munkin album Erra agak
lembab di pasaran disebabkan kesibukan dan tumpuan terhadap filem. Yelah kekadang
tu, faktor begini juga memainkan peranan penting. Walaupun tak ada masa tapi
Erra cuba-cuba juga untuk meluangkan masa demi karier Erra sebagai penyanyi.
MH: Filem pula... Betul ke Erra akan bergandingan dengan Norman Hakim dalam
'Gila-gila Pengantin' arahan Aziz M. Osman seperti yang digembar-gemburkan.
Bagaimana pula dengan filem 'Pontianak Harum Sundal Malam' arahan Shuhaimi Baba
tu? Khabarnya Erra menolak tawaran filem tersebut kerana belum yakin untuk berlakon
dalam filem bercorak artistik...
ERRA: Memang betul Erra akan berlakon dengan Norman Hakim dalam 'Gila-gila
Pengantin' dan penggambaran filem itu sudahpun bermula pada 15 Julai lalu. Tentang
filem Shuhaimi Baba tu, bukannya Erra menolak tawaran itu atau tak yakin dengan
filem-filem macam tu. Tahun ini, jadual berlakon Erra penuh dan tak boleh nak
buat apa. Memang Erra inginkan kelainan pada watak Erra dan nak melakonkan watak
tersebut tapi masa tak mengizinkan.
Watak tersebut mungkin seram dan Erra pula tak tengok filem seram tapi Erra
boleh mencuba. Tak kisahlah orang nak panggil Erra ni lemah semangat ke atau
apapun, yang penting semangat seni Erra tetap tebal. Kalau seseorang itu ingin
bergelar pelakon terbaik, mereka harus berfikiran terbuka dan jangan berada
di takuk yang lama, tapi harus ada pembaharuan sedikit demi sedikit pada mutu
lakonan mereka. Kalau terlalu drastik perubahan yang Erra buat, nanti orang
tak boleh terima, Erra juga yang susah. Jadi, kenalah ikut peringkat demi peringkat.
Erra tahu filem 'Pontianak' tu bagus tapi Erra kena menumpukan perhatian satu
persatu tawaran yang Erra terima. Erra tak mahu nanti yang dikejar tak dapat,
yang dikendong pula berciciran. Erra sering tertanya-tanya pada diri Erra, kenapalah
tak ada pengarah yang berani buat filem macam 'Nang Nak' tu (filem Thailand).
Erra kepingin nak berlakon filem macam tu dan kalau ada peluang, Erra terus
terima tapi biarlah 'Nang Nak' versi orang kita dan tidak keterlaluan.
MH: Pada penghujung tahun nanti, kami difahamkan Erra akan muncul dengan
filem baru arahan Yusof Haslam bergandingan dengan Rosyam Nor... Apakah Erra
sudah menerima tawaran itu dan tak takut ke orang beranggapan Erra terlalu tamak
dalam menerima tawaran berlakon, sedangkan hasil beberapa filem yang masih tunggu
tayangan belum menampakkan kejayaannya. Mungkin Erra ada target tersendiri untuk
meletakkan sasaran dalam masa setahun, berapa filem yang akan Erra jayakan...
ERRA: Ya, memang Erra akan bergandingan dengan Rosyam Nor dalam filem abang
Yusof nanti dan judulnya, 'Keranamu Maria'. Tentang soalan tamak tu, sepanjang
Erra bekerja tidak pernah timbul perkataan tersebut dalam diarihidup Erra. Apa
yang ada, Erra harus berusaha untuk mencapai setiap kejayaan yang diburu. Kebiasannya,
Erra hanya menerima satu filem sahaja dalam masa setahun tapi tahun ini, Erra
kena langsaikan janji Erra. Inilah kali pertama Erra bertindak macam ni dan
kalau Erra tamak, dah lama Erra terima semua tawaran berlakon yang diberikan
kepada Erra. Untuk 3 filem tahun ini, Erra tak boleh nak elak lagi. Kalau ikutkan
hati Erra nak tak ambil tiga tawaran itu dalam masa setahun kerana banyak komitmen
lain yang perlu Erra selesaikan. Erra dah berjanji dan Erra kena tunaikan. Pertama,
seperti filem kak Chah, 'Soalnya Siapa' yang diarah oleh Othman Hafsham, ia
adalah kesinambungan filem 'Soal Hati'. Jadi Erra diperlukan sebagai pendukung
utama untuk terus menerajui watak Nur Ain. Kedua pula, filem abang Aziz, dia
dah banyak kali panggil Erra untuk filem arahannya sebelum ini, tapi ketika
itu Erra manolak disebabkan kesibukan dengan aktiviti seni lain dan Erra berjanji
akan berlakon di bawah arahan abang Aziz untuk tahun ini. Jadi, Erra berjaya
menunaikan janji itu dan untuk tidak menhampakan abang Aziz, Erra terima tawaran
berlakon dalam 'Gila-gila Pengantin'. Ketiga, sepatutnya dalam 'Gerak Khas The
Movie 2', Erra berlakon tapi disebabkan beberapa masalah, Erra menolak tawaran
itu dan tahun ini, Erra juga dah berjanji pada abang Yusof untuk membintangi
filem terbarunya, 'Keranamu Maria'. Tak sangka pula, semuanya berlaku secara
kebetulan pada tahun ini dan nasib baik tak bertindih dengan jadual Erra yang
lain. So far, Erra dapat membahagikan masa dengan baik kerana susunan
serta perancangan kerja Erra yang dibuat dengan terperinci. Insya-Allah, Erra
akan berehat sepuas-puasnya dan menumpukan sepenuh perhatian pada bidang nyanyian
bila ketiga-tiga filem ini selesai proses dubbing dan penggambarannya.
MH: Bagaimana pula dengan drama, kalau tak silap MH, Erra pernah menyatakan
pada akhbar atau majalah bila Erra sudah membintangi lebih 10 filem, Erra akan
berlakon drama...
ERRA: Memang benar Erra akan berlakon drama kalau Erra dah membintangi lebih
daripada 10 buah filem tapi itupun jika ada kesempatan. Setakat ini, belum ada
kesempatan nampak gayanya. Kalau nak tahu, Erra kepingin sangat nak menjadi
pengarah drama tapi impian itu belum terlaksana lagi. Banyak yang perlu Erra
pelajari dan kejar kalau nak menuju ke tahap itu. Insya-Allah, di mana ada kemahuan
di situ ada jalan.
MH: Kalau Erra berlakon pasti filem itu memaparkan tema percintaan, tidaklah
Erra ingin lari daripada filem yang seringkali memaparkan tema tersebut... Kebiasaannya
watak Erra berada di takuk yang lama dan ada pula yang melabelkannya
'stereotaip'. Kalau ada perubahanpun hanya sedikit... Apakah Erra mempunyai
perancangan dan strategi untuk mencuba watak yang lain atau selektif dalam pemilihan
watak...
ERRA: Cuba kita lihat watak yang dijayakan oleh Julia Robert dan Meg Ryan,
terlalu simple dan mereka kerap melakonkan watak komedi ringan. Takkan Julia
nak jadi askar atau detektif dalam filem secara mengejut, ia perlukan keserasian
pada diri seorang pelakon.
Kalau seorang pengarah itu merasakan Erra sesuai membawa watak dalam skrip mereka
dan temanya percintaan, mereka akan tawarkan kepada Erra. Tidak boleh tidak
Erra terima juga kerana itulah tema dan plot yang dihasilkan oleh pengarah untuk
Erra. Erra akan cuba tukar watak Erra mengikut keselesaan Erra, mungkin tak
tukar secara drastik dan Erra akan ikut peringkat demi peringkat. Segala-galanya
perlu bermula dari akar umbi dan Erra tak mahu terus mencipta pembaharuan watak
tanpa belajar dari kesilapan. Kebiasaannya, Erra akui tema percintaan acapkali
diselitkan dalam filem lakonan Erra tapi itulah aspek yang sentiasa menjadi
perhatian untuk filem Erra berjaya dan peminat enjoy menontonnya. Kalau diikutkan
ramai lagi pelakon lain yang inginkan pembaharuan pada watak mereka dan mungkin
dah takada pilihan lain, hanya kisah percintaan menjadi trademark dalam industri
filem kita, jadi mereka terima kerana itu adalah sumber rezeki mereka. Kalau
Erra buat filem sendiri, mungkin Erra boleh syok sendiri atau buat karektor
sendiri. Kesimpulannya, setiap watak yang Erra terima lebih kurang dan orang
yang memberi tawaran itu mungkin sudah judge sendiri watak yang sesuai untuk
kita. Kalau ada watak orang jahat, dah lama Erra terima tapi sesuai atau tidak
dengan kita, itu juga faktor yang perlu kita titikberatkan.
MH: Melihat karektor Erra, Erra bukan sahaja sesuai melakonkan watak serius
tapi ramai beranggapan watak komedi juga serasi dengan Erra, tidakkah Erra kepingan
membawa watak tersebut... Kalau diberi peluang, siapakah artis komedi yagn Erra
ingin bekerjasama...
ERRA: Memang Erra ada berlakon dalam filem separa komedi seperit 'Soal Hati'
dan 'Soalnya Siapa' tapi komedi yang diketengahkan tidak memerlukan Erra sebagai
pelakon komedi. Sebaliknya Erra memegang watak serius disamping watak komedi
yang dijayakan oleh pelakon sekeliling. Bukan watak yang menjadi ukuran tapi
penonton yang menilai kita sama ada sesuai atau tidak Erra membawa watak komedi.
Kalau diberi peluang, memang Erra ingin memcuba watak tersebut dan bergandingan
dengan Salleh Yaakob. Macam Afdlin, Erra suka juga lakonannya dan Erra banyak
mempelajari watak komedi daripadanya.
MH: Kalau diikutkan Erra merupakan artis Malaysia yang paling ramai pengurus...
Difahamkan Erra sering bertukar pengurus. Kenapa Erra berbuat demikian. Tidakkah
Erra bimbang pertukaran pengurus akan menyebabkan timbul perkara negatif (tidak
diingini) sepertimana yang berlaku pada sesetengah artis kita...
ERRA: Setahu Erra bukan Erra sahaja yang sering bertukar ganti pengurus.
Malah ramai artis tempatan kita yang begitu. Kalau diikutkan, masih boleh dibilang
berapa orang pengurus Erra. Bermula dari abang Jamil dan bila dia bercadang
untuk menumpukan perhatian pada perniagaannya, Erra lepaskan dia. Kemudian Aida,
bila dia bersalin dan berpantang, dia tak boleh menguruskan Erra lagi. Lepas
tu, Erra ambil seorang lagi pengurus wanita dan bila dia berpindah ke Brunei,
Erra terus mengambil Razak dan sampai sekarang Razak masih bekerja dengan Erra.
Razak menguruskan urusan dalam pejabat, manakala hal ehwal di luar, Erra melantik
seorang lagi pengurus iaitu Syed untuk menguruskan bahagian pemasaran. Semua
pengurus yang tidak bekerja dengan Erra lagi ada alasan tersendiri bila berhenti.
Is membabitkan hal keluarga dan ingin bekerja sendiri. Erra tak menghalang mereka
kalau itu keputusan yang dibuat untuk masa depan mereka. Tentang penyelewengan
atau perkara negatif yang selalunya kita dengar mengenai sesetengah pengurus
itu, Erra tak nafikannya. Ada juga yang tak boleh buat kerja tapi Erra tak suka
mengundang musuh. Apapun berlaku kita selesaikan cara matang.
MH: Erra Fazira seringkali digosipkan dengan artis lelaki. Tidakkah Erra
muak atau bosan bila kerap kali dikaitkan dengan artis. Atau apakah golongan
artis adalah taste Erra yang sebenar...
ERRA: Siapa yagn tak sedih bila kerap digosip tambahan lagi dengan artis.
Erra tak nafikan, muak dan bosan kalau gosip yang sama seringkali diperkatakan.
Terus-terang Erra katakan, kadang-kadang tu sampai nak tebal muka ni menahan
gosip yang dilemparkan dan tak larat nak mendengar atau membacanya. Erra tak
salahkan sesiapa dalam soal ini, mungkin apa yang berlaku satu kebetulan. Lagipun
Erra tak ada masa nak keluar berjumpa dengan kenalan baru sebab komitmen terhadap
kerja.
Kalau berjumpapun, pasti kenalan artis yang juga sama bidang dengan Erra. Yelah
pusing sana pusing sini, orang seni juga jadi perhatian. Berjumpapun bukan nak
bercinta sebaliknya nak mengeratkan tali silaturrahim untuk berkawan. Tak lebih
daripada tiu. Memang kita perlukan teman tapi kalau dah hari-hari pergi ke majlis
tertentu jumpaartis yang sama, tersuka artis jagu nak buat macam mana, kenalah
terima kalau dah jodoh. Setakat ini, semuanya kawan dan Erra tak terfikir soal
kahwin lagi, itu Erra serahkan pada keluarga dan suratan takdir. Kadang-kadang
pergaulan itu menpengaruhi juga dan kita sendiri kena pandai dalam memilih kawan.
Kita tak boleh nak kata, jodoh kita dengan artis ke atau orang biasa. Tak semestinya
bila Erra berkawan rapat dengan artis, taste Erra hanya di kalangan orang
seni sahaja, nak lari ke manapun kita tetap bergelumang dalam dunia arts. Inilah
rutin kehidupan kita
Rahsia di sebalik nama ERRA FAZIRA
E - Era ni nampak lembut tapi awas bila Erra marah.
R - Rambut palsu menjadi pilihan sehingga rambut betulpun orang tak tahu.
R - Rahsia cintanya sering menjadi perhatian.
A - Asyik dengan kerjaya hingga tidak ada masa memikirkan soal rumahtangga.
F - Fesyen yang ditampilkan sering berubah mengikut moodnya.
A - Asam menjadi teman ketika memandu dan shooting.
Z - Zaman kanak-kanak Erra dikenali sebagai 'Lanun' kerana sikap tomboynya.
I - Ibunya selalu menjadi inspirasi untuk menguatkan semangat di kala
berduka.
R - Rupanya ayu tapi dia seorang yang agresif dan lasak.
A - Azamnya ingin menaikkan martabat anak seni sekaligus diri dan keluarganya.