Bagaimana kalau tak ada jodoh antara Yusry dan Erra?
Oleh: Huzz
Kisah cinta artis - pasangan kekasih Erra Fazira dan Yusry KRU boleh dikatakan yang paling hot di tahun 2002! Sana sini peminat berteka teki... adakah mereka berdua serius bercinta?
Al-maklumlah, Erra sebelum itu memberikan kenyataan di beberapa akhbar seakan 'main tarik-tarik tali' apabila ditanya tentang hubungan cintanya dengan Yusry. Pengakuannya masih menjadi tanda tanya. Bagaimanapun majalah Mangga awal tahun ini mulai terdapat pengakuan Erra danYusry. Begitu juga di merata akhbar dan majalah... kebelakangan ini mela menampakkan kemesraan dan pengakuan cinta mereka.
Tetapi bagaimana kesudahannya nanti ya... kalau sudah kecoh kisah cinta di sana sini... tiba-tiba tak jadi kahwin. Bagaimanakah perasaan kedua-duanya kalau sudah tidak ada jodoh antara mereka?
Jom ikuti pengakuan mereka kepada Huzz.
Erra tak serik bercinta dengan artis.
Kata Erra Fazira: Sebab tu laa sedari awal lagi Erra takut nak mengaku cerita cinta ni. Takut tak jadi (kahwin). Siang-siang lagi Erra cuba mengelakkan daripada soalan wartawan apakah kami bercinta. Pada Erra semasa kami mula-mula rapat tahun lalu... Erra cuba menjadikan dia kawan baik dulu. Tapi ke mana Erra pergi ada saja yang bertanya. Erra tak menafikan dengan mengatakan ia kami berkawan rapat. Bagaimanapun bagi yang nampak dan tahu... tahulah. Macam Huzz nak tanya apa lagi, Huzz pun dah tahu kan.
Yang sebetulnya setakat ini Erra rasa Erra dah banyak tahu perangai Yusry sepanjang kami berkawan rapat. Itu perlu dalam berkawan. Biasalah tu... ada kala kami tak sependapat. Soal cemburu... Erra bukan jenis cemburu buta, tapi Erra tak suka kepercayaan yang diberi dikhianati.
Okey setakat ini di antara kami tak ada masalah. Cakap pasal jodoh tu Erra berserahlah pada takdir. Memanglah mana-mana pasangan bercinta ada matlamatnya. Macam Erra sekarang sudah memikirkan soal masa depan iaitu perkahwinan. Namun dalam soal berkahwin biarlah datang dengan kejujuran dan keikhlasan, bukan paksaan.
Apa yang boleh katakan ialah... kalau tak ada jodoh Erra tetap bersyukur. Manalah tahu kut-kut ada hikmah di sebaliknya. Mungkin Erra akan ditakdirkan bertemu dengan yang lain, tapi kalau lambat lagi atau tak ada jodoh... apa boleh buat. Tu dah takdir. Memang kita ni semua merancang... Allah menentukan.
Macam pasangan lain yang pernah gagal bercinta... Erra pernah juga bercinta sebelum ini.... tapi tangoklah tak ada jodoh. Bagaimanapun kalau tak jadi juga berkahwin... Erra tak akan serik nak bercinta lagi.Bagi Erra kita tak boleh menghukum dengan mengatakan tak akan bercinta lagi sesama artis kalau tak ada jodoh. Hidup mesti diteruskan kalau cinta tidak kesampaian.
Mengenai godaan lain, biasalah tu... tapi kita kena jujur dengan diri kita. Erra memang dapat banyak bunga daripada peminat dan ada yang menunjukkan minat pada Erra. Bagi Erra, hati Erra tahu siapa Erra nak pilih untuk dijadikan kekasih. Bukanlah Erra ni jenis mudah dibeli dengan wang ringgit dan harta.
Jangan cakap macam tu - Yusry
Kata Yusry pula: Aduh Huzz, jangan laa cakap macam tu! Nanti masin mulut Huzz kami tak ada jodoh pulak. Saya pun macam Erra berserah kepada takdir. Doakanlah kebahagiaan kami. Apapun setakat ini Yusry harap doakanlah kami bahagia dan ke jinjang pelamin.
Mengenai serik atau tidak bercinta dengan artis, pada saya kalau tak jadi juga cinta dengan Erra sampai ke jinjang pelamin, saya tak akan serik bercinta lagi. Adakah selepas ini masih artis pasangan saya? Itu tak boleh la nak cakap. Ni semua soal hati dan perasaan. Kalau dah suka dengan yang baru... dan kalau dia tu artis juga, apa nak buat?
Tapi setakat ini tak ada laa yang lain. Mengenai hubungan dengan Erra bohonglah kalau dikatakan tak pernah bergaduh. Tapi setakat ini kami menganggap semua itu macam ujian dalam percintaan. Dalam bab itu soal mengalah atau memujuk tak timbul... pandailah salah seorang cuba menenangkan suasana. Bagaimanapun, setakat saya berkawan dengan dia, tak pernah laa saya ni ringan tangan kepadanya.
Betul ke cerita kalau marah atau merajuk dengan Erra, Yusry sampai menghentakkan kepala ke dinding?
Jawab Yusry: Apa ni Huzz... mana ada! Pernah terlanggar dinding ada laa...
Filem lakonan you berdua - 'Mr. Cinderella' dapat sambutan. Ramai tengok you berpasangan dalam filem. Adakah selepas ini Yusry akan mahu digandingkan lagi dengan Erra?
Kata Yusry: Tak ada sebarang kewajipan produser dan pengarah mesti mengambil saya untuk jadi hero Erra. Tu terpulang pada skrip. Saya pun tak nak nanti orang kata... kalau asyik kami selalu bergandingan. Tapi kalau dah ada permintaan ramai... tu lain lah.
Kata Erra: Macam Erra pula tak kisah... tapi biarlah skripnya ada perbezaan dengan filem sebelum ini. Bagaimanapun Erra tidak meletakkan syarat... siapa nak ambil Erra kena ambil Yusry sama berlakon. Tak betul tu.
Apakah persamaan Yusry dan Erra?
Kata Yusry: Persamaan antara kami? Rasanya tak banyak yang sama. Jadi kot itu menyebabkan kami bertahan lama. Macam saya ni suka makan nasi ayam... Erra pulak tidak. Dia makan tak menentu. Kalau malam ni keluar makan dengan dia, tengok dia makan kuetiaw goreng, esok nanti dia order lain. Tak menentu.
Macam dia ada kalanya suka naik motor kalau dia merasa dah terlewat nak ke destinasi yang nak dituju. Saya pulak memandu motor pun tak tahu. Tapi saya ada kala kesian tengok dia ni... badan kurus, tapi nak bawa motor besar. Kadang kala saya pulak risau takut dia terjatuh.
Saya ni aktiviti riadah atau junggle trekking tu kurang minat, tapi Erra suka pula bab macam tu. Kalau yang sama shopping aje la kot. Tapi dalam tak sama minat pun, kami boleh berkawan rapat. Jadi saya rasa kot kerana itulah kami bertahan dalam bercinta.
Kempen payu dara... Yusry sokong Erra
Erra mengaku sekarang dia sibuk mendalami pengetahuan mengenai payu dara dan penjagaan tubuh badan perempuan. Erra yang menjadi model kosmetik Avon akan turut bersama seorang doktor dan pihak Avon membuat kempen payu dara dan kanser. Erra kena mendalami pengetahuan mengenai masalah kanser payu dara dan macam mana nak mencegahnya.
Katanya: "Sebenarnya lima tahu lalu Erra dah buat pemeriksaan pada kedua payudara Erra ni. Emak Erra sejak dulu cukup menjaga soal kesihatan dan menasihatkan Erra kena jaga makan minum.
"Erra ni dulu suka makan kulit ayam, tambah-tambah kalau makan ayam goreng. Tapi kata emak, tak elok makan kulit ayam tu. Rupanya betul kata emak antara pemakanan yang patut dielakkan oleh kaum wanita untuk mengelakkan kanser ialah jauhi kekerapan atau kesukaan makan kulit ayam dan organ dalaman lembu.
Kita kena banyak makan buah-buahan atau mengamalkan minuman air jus buah. Syukurlah setakat ini Erra terselamat. Bagaimanapun Erra kena menjalani pemeriksaan selalu dan buat senaman yang sesuai untuk payu dara dan tubuh badan.
Erra juga akan membawa sama nenek dan emak ke majlis kempen dan pengetahuan kanser payu dara ini.
Kata Yusry: "Saya bersetuju kalau Erra membantu sama kempen untuk kesedaran kanser payu dara ini. Sebenarnya sebagai artis antara pendekatan kita dengan peminat bukan melalui seni dan hiburan saja. Kalau kita bersama-sama mereka memberitahu baik buruk permakanan untuk kesihatan macam kempen kanser tu memang bagus.
"Apatah lagi kanser payu dara bukan saja menyerang perempuan tapi juga
lelaki sekarang ni. Jadi, kita golongan artis ni kenalah memberikan kerjasama
untuk kempen begini. Saya dan KRU juga akan memberi sokongan terhadap usaha
seumpama ini jikalau memerlukan kami."