ASSALAMMUALAIKUM. Alhamdulillah, rombongan MC2 selamat sampai di tanah air dengan membawa kenangan tersendiri. Ada yang seronok di sana hingga tidak mahu pulang, ada juga tidak sabar hendak balik kerana sebab-sebab tertentu.
Penggambaran dapat diselesaikan dengan sempurna dan mengikut masa ditetapkan. Terpancar kepuasan pada wajah setiap anggota kerja MC2 apabila berjaya menyiapkan tugas yang dipertanggungjawabkan di bahu masing-masing.
Saya selaku pelakon terbabit tidak berdepan apa-apa masalah. Kalau ada pun, mungkin cuaca yang tidak menentu. Kadang-kala panas, adakalanya sejuk menggigil. Saya bukan tahan sangat cuaca sejuk. Kalau tengok gaya saya berpakaian mengalahkan musim sejuk, sedangkan di Christchurch sekarang musim panas.
Nak buat macam mana, inilah dinamakan kulit jati orang Malaysia.
Sepanjang 12 hari di sana, banyak perbezaan saya amati. Suasana mahupun gaya kehidupan berbeza dengan cara kita.
Jika saya sentuh keindahan Christchurch, perlu saya katakan negara kita tidak kalah dengan pemandangan indah. Malah, saya berani katakan Kuala Lumpur lebih membangun dan corak kehidupan di sini lebih berwarna-warni, berbanding Christchurch.
Di sana, jauh lebih tenang dan suasana akan senyap sunyi menjelang malam. Rasanya orang Christchurch suka beriadah di rumah dan tidur awal. Jangan harapkan hendak membeli-belah sampai ke malam seperti di Kuala Lumpur. Jam 5 petang hampir semua kedai tutup. Orang Malaysia yang suka makan lewat malam akan menghadapi masalah jika tiada bekalan makanan sendiri (itulah yang terjadi kepada kami).
Kesimpulannya, dari pandangan mata kasar saya, orang Malaysia lebih aktif dan proaktif. Saingan tinggi dengan kemajuan teknologi terkini membuatkan orang kita kuat bekerja dan tidak suka duduk diam. Hendak lihat Kuala Lumpur lengang, tunggu hari Ahad. Tetapi di Christchurch, boleh dikatakan hari-hari tenang dan lengang.
Mungkin antara sebabnya jumlah penduduk hanya 500,000 dengan keluasan tanah besar. Di Kuala Lumpur, keluasan kecil tetapi penduduknya lebih tiga juta.
Apa pun, pengalaman di Christchurch tetap dalam ingatan. Segala kenangan pahit dan manis akan saya semadikan dalam lipatan sejarah. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menambah asam garam dalam kehidupan saya. Hanya Tuhan dapat membalasnya.
Terima kasih kepada wira-wira MC2 yang berhempas pulas menyiapkan tugas dan memberi yang terbaik dalam kerja masing-masing. Saya percaya hasilnya kelak tidak mengecewakan. Saya yakin Encik Mad Nor Kadir dan Datuk Yusoff Haslam boleh tidur lena sementara menanti filem ini menemui penonton kelak. Semoga menjadi filem blockbuster seperti kehendaknya.
Sampai di sini dulu bicara kita. Insya-Allah minggu depan kita akan bicara dengan topik lain pula. Sampai bertemu.