Jelitawan
dedah rahsia
TIGA jelitawan yang juga artis terkenal tanah air, Erra Fazira, Camelia dan Maya Karin di undang khas menjayakan rakaman rancangan terbitan Astro, XY. Kehadiran mereka amat bertepatan dengan tajuk yang dipilih penerbit iaitu Jelitawan Hebat.
Sebagai artis ketiga-tiganya bukan saja jelita, mereka juga berbakat dalam bidang masing-masing. Tentunya Erra, Camelia dan Maya yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat mempunyai rahsia tersendiri mengekalkan kecantikan, personaliti dan imej yang boleh dikongsi bersama penonton XY.
Rancangan yang hoskan oleh Norlida Mohd Ariff (Ida) dan Fahrin Ahmad itu mencungkil cara mereka menjaga penampilan diri di khalayak ramai dan benarkah tanggapan sesetengah pihak artis dikekang dengan kehidupan penuh kepura-puraan demi menjaga imej yang dibentuk selepas bergelar artis.
Seperti Erra dan Camelia yang menjadi duta barangan kecantikan, adakah tanggungjawab itu menghalang mereka keluar rumah di pagi minggu dengan hanya mengenakan kemeja t, berseluar lusuh dan rambut basah seperti wanita biasa lain. Dan apakah definisi jelita bagi mereka bertiga.
Erra, Camelia dan Maya berkongsi pendapat yang kecantikan luaran mesti disertakan kecantikan hati dan budi.
Tiada makna berwajah jelita tetapi berhati busuk kerana kecantikan yang dipamerkan tidak serinya. Kalau hati baik secara tidak langsung senyuman yang dilemparkan tampak ikhlas dan wajah yang sedia jelita semakin naik serinya, ujar Erra.
Camelia pula lebih suka dikenali sebagai manusia berjiwa mulia dan berpendapat kalau baik budi dan tingkah laku seseorang itu akan nampak jelita.
Dari segi penjagaan kejelitaan, Maya tidak berhabis wang ringgit demi menjaga kejelitaan kerana dia lebih suka bersederhana dalam segala hal. Bagaimanapun dia mengakui selepas bergelar artis dia perlu menjaga ketrampilan, tutur kata dan perlakuan.
Saya tidak memperuntukkan banyak wang untuk membeli alat solek dan pakaian serta tidak begitu mementingkan jenama asal bersesuaian kulit dan penampilan saya beli, katanya yang semakin petah berbahasa Melayu berbanding ketika mula menjadi artis.
Menurut penerbit rancangan, Adnan Awaluddin, XY yang mula disiarkan di Astro Ria pada Mei 2002, mengajukan soalan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap responden lelaki dan wanita. XY adalah simbol kepada kromosom X dan Y yang melambangkan jantina lelaki dan perempuan. Rancangan yang 26 episod ini disiarkan setiap Sabtu jam 10.30 malam selama setengah jam dan diulang siaran ulangannya pada Ahad jam 4 petang