Tayangan filem bergantung pada tuah
Bersama Erra

ASSALAMUALAIKUM. Jumpa lagi. Sepanjang dua minggu ini, saya betul-betul sibuk dengan penggambaran filem arahan Datuk Yusof Haslam, 'Janji Diana', yang turut dibintangi rakan seangkatan, Rosyam Nor, Faizal Hussein serta pendatang baru, Intan Sarafina, Sarimah dan Fazley.

Bayangkan! Mula penggambaran seawal jam 8 pagi tamat 6 pagi esoknya. Walaupun penat bagai nak mati, saya rasa hilang stress di lokasi apabila pelakon lain memberikan komitmen tinggi dan sentiasa ceria. Banyak adventure yang saya lalui dalam filem ini, antaranya adegan kena pukul sampai sakit-sakit badan. Yang pasti, kemunculan kali ini berlainan daripada filem yang pernah saya bintangi sebelum ini.

Dalam sibuk-sibuk tu, saya tak ketinggalan mengikuti perkembangan industri seni tanah air, manalah tahu ada berita gempar. Tapi setakat ini cerita yang paling menarik perhatian saya ialah Festival Filem Asia Pasifik ke-47 (FFAP47) di Seoul, Korea Selatan.

Saya kecewa dan tak faham kenapa filem Malaysia tak ditayangkan di sana, kenapa ya? Apakah filem kita tidak bermutu ataupun tak memenuhi kriteria. Tak mungkin ini alasannya, kerana saya yakin Perbadanan Filem Malaysia (Finas) tahu filem mana layak dipertandingkan.

Bagaimanapun, saya difahamkan oleh orang kuat dalam industri sendiri, bukan filem kita tak bermutu atau tidak memenuhi kriteria, sebaliknya filem yang ditayangkan di sana mengikut kehendak juri. Saya juga dengar, filem yang ditayangkan mempunyai jalan cerita ringan seperti cinta. Ada juga mempertaruhkan filem epik dan sejarah yang digarap hebat, tetapi tak ditayangkan. Ini semua bergantung pada ‘tuah’ dan rezeki.

Mungkin, tahun ini filem kita tiada rezeki untuk diketengahkan, namun sebagai anak seni, saya tetap berbangga dengan garapan pengarah berbakat Aziz M Osman menerusi filem kekeluargaan (Idola) dan Bada yang mempertaruhkan isu semasa menerusi 'KL Menjerit' dan Erma Fatima dengan filem epik, 'Embun'.

Secara peribadi, saya mengharapkan filem 'Embun' membawa pulang sesuatu. Tak apalah, mungkin tiada rezeki. Yang penting, jangan sekali-kali kita patah semangat. Ini bagaikan satu amaran buat penggiat seni serta karyawan tanah air untuk bangun dan menghasilkan produk lebih bermutu supaya dapat memartabatkan industri perfileman Malaysia, bukan saja di negara sendiri, malah peringkat antarabangsa.

Sebut pasal memartabatkan industri seni tanah air, saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada badan-badan tertentu yang menganjurkan anugerah yang mengangkat karya anak seni seperti Anugerah Era 2002 di Arena Of Stars, Genting Highlands, 28 September lalu.

Tahniah kepada yang menang, begitu juga kejayaan radio Era menganjurkan anugerah itu dengan begitu kemas serta berteknologi. Saya lihat barisan finalis juga mantap dan memang berbakat. Harap usaha ini diteruskan pada masa akan datang. Saya juga mahu berterima kasih pada peminat dan stesen radio itu yang mencalonkan saya selaku finalis, antaranya dalam kategori Penyanyi Wanita Pilihan, Vokal Wanita Pilihan dan Artis Berkumpulan/Duo Pilihan.

Sebenarnya saya sendiri tak sangka terpilih, lebih-lebih lagi untuk kategori Vokal Wanita Pilihan. Maklumlah, tahun ini saya memang beri tumpuan lebih pada bidang lakonan berbanding nyanyian. Tak sangka nama saya tetap tercalon. Ini semua kerana sokongan peminat, InsyaAllah album baru nanti, saya akan memberi nafas baru dalam industri seni suara. Selepas Anugerah Era, Anugerah Bintang Popular - Berita Harian (ABP-BH) 2002, pula menyusul.

Diharap ia berlangsung dengan jayanya setanding Anugerah Era atau mana tahu, lebih baik. Yang penting usaha ini dapat memeriahkan lagi industri biarpun banyak gejala kurang sihat berlaku. Kalau kita bersatu, InsyaAllah semuanya dapat diatasi. Hidup industri seni!!!

Jumpa lagi, Assalamualaikum.