Pereka fesyen teman artis
Oleh RAMLAH ZAINAL

DUNIA selebriti yang penuh glamor memang tidak dapat dipisahkan dengan dunia fesyen yang sering berubah-rubah mengikut perkembangan trend terkini dari dalam dan luar negara. Tidak hairan kebanyakan selebriti popular tempatan memiliki pereka fesyen pilihan sendiri bagi memastikan kehadiran mereka di majlis tertentu menyerlah, tampil anggun dan menarik serta meninggalkan kenangan tersendiri di hati peminat.

Kebanyakan selebriti ingin tampil dengan gaya tersendiri mengikut majlis dan konsep yang dikehendaki dalam majlis berkenaan. Sebagai selebriti popular, sudah pasti mereka tidak ingin tampil sumbang dengan fesyen yang ketinggalan zaman atau tidak kena dengan majlis dihadiri. Sebab itu, gabungan idea artis dan pereka fesyen penting dalam menghasilkan rekaan menarik mengikut kesesuaian majlis tertentu.

Setiap selebriti juga ada idea dan pandangan tersendiri mengenai fesyen yang ingin digayakan dalam sesuatu majlis yang dihadiri. Mereka juga memiliki pereka fesyen pilihan sendiri, lebih-lebih lagi selebriti popular yang ada nama dan ingin menjaga imej serta penampilan di hati peminat, lebih-lebih lagi di majlis rasmi, promosi album, pertunjukan pentas dan anugerah berprestij anjuran pihak tertentu yang selalunya menampilkan tema tertentu.

Kehadiran ramai pereka fesyen terkenal tanah air, yang sebahagian besarnya mendapat pendidikan dan pengalaman di luar negara, membuktikan dunia fesyen memerlukan sentuhan kreatif mereka bagi memastikan artis popular tampil anggun dan sentiasa mengikut perkembangan fesyen terkini.

Ikuti temubual wartawan METRO AHAD dengan beberapa selebriti popular tanah air seperti Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Ning Baizura dan Syafinaz yang bercakap mengenai pereka fesyen pilihan mereka. Walaupun kebanyakannya memilih rekaan dan sentuhan pereka terkenal Michael Ong, tetapi masing-masing masih menyalurkan idea sendiri kepada pereka mengikut apa yang sesuai dengan imej dan usia mereka.

ERRA FAZIRA

Erra juga selesa dengan rekaan Michael Ong dan mula mendapatkan khidmatnya kira-kira lima tahun lalu kerana sesuai dengan citarasa dan penampilan Erra yang inginkan sentuhan menarik dan tersendiri mengikut majlis dihadiri. Erra mengenakan sentuhan Michael, terutama jika ada pertunjukan pentas, majlis rasmi, promosi album serta anugerah rasmi anjuran pihak tertentu.

Selalunya Erra akan berbincang terlebih dulu dengan Michael mengenai konsep yang Erra suka, selain memberikan idea mengenai konsep dan majlis yang Erra akan hadiri untuk disesuaikan dengan rekaannya. Sebagai contoh, pakaian yang Erra pakai sempena Konsert Merdeka sebelum ini adalah gabungan idea Erra dan Michael.

Biasanya, Michael akan mengambil masa seminggu menyiapkan rekaan untuk Erra dan ia bergantung kepada konsep yang dikehendaki. Jika Erra ingin tampil anggun dan penuh glamor, sudah pasti ia akan mengambil sedikit masa. Bagi Erra, idea kedua-dua pihak, iaitu pereka fesyen dan artis, penting untuk menghasilkan sentuhan terbaik bagi kepuasan bersama.