Berbalah kerana Erra
DEK kerana Erra Fazira, ada penerbit filem kita mula berbalah. Memang tepatlah gelaran ratu filem dilabelkan pada Erra. Boleh dikatakan hampir kebanyakan penerbit minat ambil dia berlakon.
Filem tempatan seolah-olah lesu di pawagam jika tak dibintangi Erra. Sejajar dengan status, tentulah Erra ada banyak pilihan. Dalam memenuhi pelbagai tuntutan, pada waktu sama Erra harus fikirkan masa depannya kerana putaran bidang lakonan tak semestinya dia ada di atas.
Perbalahan penerbit pasal Erra berpunca kerana dia terima tawaran berlakon filem 'Cinta Kolesterol'. Nak salahkan Erra dalam hal ini, kalangan penerbit perlu bertanya diri sendiri mengapa melariskan filem tumpuan cuma diberi pada seorang artis.
Untuk Erra saja, filem lakonannya sedang ditayangkan 'Soalnya Siapa?', akan menyusul 'Gila-Gila Pengantin', 'Janji Diana', akan memulakan penggambaran 'Mr Cinderella 2' dan 'Cinta Kolestrol'.
Melalui filem dihasilkan, penerbit sepatutnya boleh melahirkan seberapa ramai ratu bagi memeriahkan industri perfileman tanah air. Apabila ratu cuma ditumpukan pada yang satu, jangan pula terasa hati tiba masa ratu yang satu itu sudah mula bersikap kepala batu.
Bukan nak kata dalam melahirkan bintang, ada orang akhbar dan majalah lebih sensitif. Ada ketika melilau di pasar malam, kompleks atau ke pusat hiburan, berselisih dengan seorang dua awek yang melecun parasnya, kad bisnes mula dihulurkan bagi mengadakan temu janji.
Sesudah wajah dipaparkan, tak kurang agensi iklan, penerbit filem dan drama menelefon. Di Harian Metro sendiri melalui ruangan personaliti berpuluh artis, sama ada pelakon dan penyanyi, termasuk Fazira Wan Chik kini dikenali Erra Fazira sendiri pernah muncul dalam ruangan itu.
Dah jadi kelaziman, apabila personaliti itu bergelar bintang atau selebriti, tak ada seorang pun sanggup meluahkan, Dia tu, dia ni aku perkenalkan dulu.
Memadai artis itu menghargai langkah pertamanya dalam bidang seni adalah hasil sentuhan pena. Untuk itu, tiba masanya penerbit kita memikirkan untuk lahirkan seberapa ramai ratu, namun jangan lupa lahirkan raja sekali kerana tak indah perfileman jika cuma ada ratu, tanpa raja di sisi.
ADAM: Terkenang Rehana Mohd Yassin, heroin 'Gila-Gila Remaja'.