ASSALAMUALAIKUM! Masih dalam suasana tahun baru? Saya berkobar-kobar ingin mengekalkan azam baru... Bukan apa, sekadar menyuntik semangat dalam diri untuk menggandakan usaha. Harap-harap apa diimpikan mencapai matlamat... Insya-Allah.
Membuka tirai 2003, nampaknya makcik saya yang paling rapat dan sebaya dengan saya selamat bertunang dengan cik abangnya. Segala-galanya selamat dan berjalan dengan baik. Alhamdulillah.
Tahniah kepada Linda dan Azrul. Dalam sibuk membuat persiapan pertunangan makcik, bukan saya, kepala saya mula diisi skrip baru untuk saya lakonkan dalam filem 'Mr Cinderella 2'.
Hmmm... dah lama tak terima data (skrip) baru, terkejut sikit nampaknya otak ini, jenuh saya menghafal dialog sebelum mata terlelap. Sebaik terjaga esoknya, habis hilang semua data. Mungkin kena delete dek mimpi agaknya. Tapi seronok!
Saya cuba mendapatkan kembali jiwa Puteri Megawati yang lebih setahun hilang sejak habis penggambaran Ogos 2001. Watak Puteri harus disuntik pula dengan sedikit kematangan seperti dikehendaki dalam skrip terbaru.
Dan nampaknya "Mr Cinderella" pun tengah pening kepala memikirkan konsep Hakimi ala korporat... Insya-Allah, saya percaya dengan usaha dan kerjasama pasukan baru 'Mr Cinderella 2', segala-galanya akan berjalan dengan lancar.
Bercakap soal filem, saya sedar, ada suara-suara yang berbaur tidak puas hati mengenai ketidaksanggupan saya berlakon dalam satu dua filem yang ditawarkan. Maafkan saya. Saya bukan tidak menghargai kepercayaan diberi, jauh sekali menanam sikp berlagak atau jual mahal. Bukan juga saya tak mahu mencuba watak lebih mencabar dan menerima kelainan dalam lakonan.
Kalau boleh, saya ingin menyempurnakan harapan yang ada, tetapi saya benar-benar tidak mampu. Apa yang saya rancangkan dari awal hingga pertengahan 2003, tidak dapat saya uraikan lagi. Saya harus berlaku adil kepada pihak syarikat rakaman dan cinta saya kepada dunia nyanyian.
Saya benar-benar mengharap tindakan saya tidak menimbulkan kebencian di hati pihak mengundang. Saya tahu, ada yang tersinggung dan berjauh hati hingga mengatakan saya hanya bekerja dengan produser sama dan berjaya. Percayalah, jika diizinkan Tuhan, tiada sebab saya sengaja mahu menolak rezeki.
Saya berdoa, 2003 menjadi tahun yang meninggalkan kenangan paling manis dalam kerjaya dan kehidupan. Kalau boleh, tidak mahu gosip, tidak mahu isu panas, tidak mahu ada musuh, tidak mahu sengketa, tidak mahu masalah ... nak aman, bahagia dan berjaya! Amin. Boleh tak? Boleh la....
Bertemu lagi minggu depan.