Mr. Cinderella kutip RM1.2 juta
Oleh Abie Abdullah

CUMA dalam masa empat hari tayangan filem sulung terbitan Kuasatek Pictures, Mr. Cinderella berjaya membuat kutipan yang amat memberangsangkan, RM1.2 juta, sekali gus memperkuatkan lagi ‘situasi’ trend penonton sekarang yang sukakan filem ringan bercorak hiburan.

Angka itu juga melegakan hati produsernya, Mohd Noor Kadir serta warga kerja filem Mr. Cinderella, termasuk pengarahnya, Ahmad Idham.

Menurut Mohd Noor, biarpun yakin dengan kekuatan elemen dalam Mr. Cinderella itu, namun perasaan takut tidak diterima penonton masih menyelinap dalam dirinya. Bagaimanapun kutipan yang dibuat hujung minggu lalu itu membuatkannya gembira dan menarik nafas lega.

“Saya tak menjangkakan kutipan sebanyak itu dalam masa yang singkat. Saya bersama Idham dan Yusry ‘melawat kawasan’ (pawagam) di KLCC dan MidValley Megamall (Kuala Lumpur) untuk melihat reaksi penonton. Kami masuk panggung selepas semua orang masuk.

“Alhamdulillah, panggung penuh. Saya tersentuh dan bangga ketika di TGV KLCC, saya melihat pada skrin di kaunter tiket, satu-satunya filem Melayu ditayang ketika itu bersaing dengan filem asing, tetapi filem Melayu tiket habis dijual,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Noor berkata lagi, dia diberitahu Datuk Yusof Haslam yang turut melabur dalam pembikinan Mr. Cinderella dan berpengalaman dalam pemasaran filem, biasanya kutipan itu mungkin berkurangan sehari dua ini dan akan kembali meningkat pada hari Rabu dan hujung minggu serta musim cuti sekolah minggu depan.

Mr. Cinderella sebuah cereka romantik komedi membariskan nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti Erra Fazira, Yusry KRU, Serina Redzuawan, Umie Aida dan Opie Zami.

“Saya memilih untuk membuat filem ringan kerana penonton filem di pawagam mahu melepaskan ketegangan selepas seharian berhadapan dengan masalah peribadi dan tempat kerja. Mereka tak mahu memikirkan masalah dalam filem dan yang mereka cari hanyalah hiburan.

“Namun ini tak bermakna penonton yang ke pawagam untuk menonton Mr. Cinderella misalnya, tidak pandai menilai mana yang bagus atau sebaliknya, tetapi mereka tak mahu dibebankan dengan masalah lain.

“Kalau saya buat filem hiburan ringan, ini tidak bermaksud saya menidakkan sesuatu yang berilmu. Kalau nak cari ilmu, baik mereka ke gedung ilmu,” katanya.

Ditanya mengenai karya-karyanya sebelum ini yang mengutarakan isu yang agak berat di kaca televisyen, Mohd Noor memberitahu: “Kalau saya nak berkarya yang berat-berat, saya akan ‘bawa’ pawagam kepada penonton yakni menerusi televisyen. Tetapi kalau saya nak bawa penonton ke pawagam, saya kena cari ‘istilah’ yang ringan dan menghiburkan.

“Itulah trend yang penonton kita mahukan. Jual apa yang mereka mahukan, macam buka restoran, mesti masak ikut selera pelanggan bukan ikut selera kita. Kalau orang dah suka, barulah kita ‘masak’ yang berat-berat.

“Kalau ditanya mengenai filem popular dan filem seni, beginilah, saya sebagai pelabur yang mengeluarkan duit dari poket sendiri dan adalah sesuatu yang aneh jika saya tak fikirkan keuntungan.”

Mohd Noor yang sudah tujuh tahun pengalaman dalam penerbitan telefilem, tidak menafikan Erra menjadi antara daya penarik utama Mr Cinderella, namun katanya Yusry juga mempunyai kekuatan tersendiri.

“Tambahan pula elemen percintaan mereka di luar lokasi, menarik perhatian penonton ke pawagam. Malah penting juga kenapa Yusof sanggup dan berani membuat pelaburan dalam filem ini, mungkin ada sesuatu yang menarik.

“Secara tak langsung, penonton filem Skop Productions turut ikut menonton filem ini,” katanya.

Kejayaan awal ini, menyuntik semangat kepada Md Noor untuk merealisasikan rancangannya menyambung Mr. Cinderella dengan tajuk Mrs. Cinderella.

Katanya, setakat ini skrip sudah ditulis sebanyak 25 peratus dan akan membabitkan penggambaran di Auckland, New Zealand yang dirancang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan dan menampilkan Maya Karin sebagai seorang lagi watak utama.

“Kalau Mr. Cinderella mengemukakan 70 peratus komedi dan 30 peratus romantik tetapi Mrs. Cinderella memberatkan percintaan 60 peratus dan selebihnya komedi. Hanya 30 peratus penggambaran dilakukan di New Zealand.

“Secara kasarnya, Mrs. Cinderella bermula dengan Puteri Megawati yang keguguran dan fobia untuk hamil lagi sehingga hubungannya dengan Hakimi renggang dan ini menyebabkan suaminya itu kecewa dan cuba mencari ketenangan di luar.

“Hakimi yang mempunyai syarikat, Mega Puri Berhad, bertemu dengan Anis (Maya), anak kepada rakan perniagaannya (Yusof). Anis bijak, cantik dan berbudi pekerti tinggi akhirnya membuatkan Hakimi tertarik tetapi Anis cuba menolak kerana menghormati Hakimi sudah beristeri,” katanya.

Menurutnya, dalam urusan perniagaan di New Zealand, Megawati yang turut serta ditimpa kemalangan dan ‘mayatnya’ tidak dijumpai. Hakimi sedih tetapi dia tak tahu yang Megawati diselamatkan oleh seseorang dan hilang ingatan.

Cerita makin menarik apabila Hakimi menikahi Anis dan setahun kemudian, Megawati muncul dan terkejut dengan tindakan Hakimi. Megawati menggunakan pengaruhnya untuk memporak-perandakan Mega Puri sehingga menyebabkan Hakimi menjual sahamnya.

Hakimi tertanya-tanya siapa di sebalik semua angkara dan apabila tahu orang itu Megawati, dia terkejut kerana tak sangka isterinya itu masih hidup. Megawati pula tiba-tiba kasihan pada suaminya itu tambahan pula cinta mereka masih kuat.

“Hakimi dalam dilema sama ada untuk menerima Megawati semula dan dia tiada sebab untuk menceraikan Anis. Siapa Mrs. Cinderella Hakimi, kita tunggu,” kata Mohd Noor.