'Gila-gila Pengantin' Menghiburkan

FILEM: Gila-gila Pengantin

PELAKON: Erra Fazira, Norman Hakim, Juliana Banos, Hairie Othman, Salih Yaacob, Syanie

PENGARAH: Aziz M Osman

GENRE: Komedi

JUDULNYA saja sudah cukup menunjukkan filem terbaru arahan Aziz M Osman, 'Gila-gila Pengantin' (GGP) ialah filem komedi walaupun senarai pelakon utamanya bukan bintang komedi sebagaimana tiga filem lakonan Senario yang dihasilkan Aziz.

Jangan terkejut melihat penampilan Erra Fazira, Norman Hakim, Julaiana Banos dan Hairie Othman dalam filem yang dihasilkan bersama oleh Skop Production (Datuk Yusof Haslam) dan Ace Motion Pictures (Aziz).

Dari segi cerita, GGP dihasilkan untuk memberi hiburan kepada penonton melalui tema cinta dan mesej bahawa kalau sudah jodoh tidak ke mana. Kisahnya mengenai Aleya dan Johari pernah melalui pengalaman ngeri ketika menghadiri satu majlis persandingan ketika kecil (usia 7 tahun).

Ketika itu pelamin runtuh menyebabkan majlis kelam kabut tetapi Aleya dan Johari terselamat. Masa silih berganti, Aleya dan Johari sudah dewasa. Aleya (Erra) menjadi guru tadika manakala Johari (Norman) membuka klinik gigi.

Dalam mencari jodoh, Aleya dan Johari ada syarat iaitu tidak mahu bersanding di pelamin. Johari juga berusaha mencari Aleya yang pernah menyelamatkan dirinya. Hendak dijadikan cerita, Aleya dan Johari sudah saling mengenali tetapi melalui Internet menggunakan nama samaran.

Aleya dengan nama Cinderella manakala Johari (Putera Idola) tetapi seseorang sudah kacau daun menyamar sebagai Putera Idola dan mengatur pertemuan dengan Cinderella.

Johari tidak putus asa, terus menjalin persahatan dengan Cinderella dengan nama baru, Putera Idaman tetapi kali ini Aleya tidak berani bersemuka dengannya dan meminta bantuan sepupunya, Wanda (Juliana).

Ternyata Putera Idaman seorang yang kacak dan baik menyebabkan Wanda tertarik padanya, walaupun sudah bertunang dengan Harun (Hairie).

Hendak menjadikan keadaan lebih kecoh, Aleya ditangkap basah dengan Harun dan keluarga mendesak mereka berkahwin walaupun Harun membantah kerana menyintai Wanda sedangkan Wanda mabuk cinta dengan Johari.

Johari pula menyangka Wanda adalah Aleya yang menyelamatkannya 15 tahun dulu, lalu melamarnya. Mereka berkahwin pada hari yang sama dengan Aleya dan Harun kerana keluarga Wanda dan Harun sudah melakukan persiapan perkahwinan Harun-Wanda.

Pada saat genting beberapa minit sebelum dinikahkan, Johari mengetahui Cinderella sebenarnya ialah Aleya dan bukannya Wanda yang akan dikahwininya. Apakah Johari terlambat untuk menghalang Aleya dimiliki Harun? Saksikan sendiri kerana filem ini sudah ditayangkan di pawagam tanah air sejak semalam.

Keseluruhannya, GGP sebuah filem menghiburkan dan mampu menarik penonton yang inginkan hiburan ringan. Penampilan Erra, Norman, Juliana dan Hairie tidak mengecewakan untuk watak komedi.

Sekalung tahniah kepada pelakon komedi seperti Salih Yaacob, Syanie, Osman Kering dan M Rajoli kerana berjaya menggamatkan lagi keadaan.

Bagaimanapun sedikit kecacatan GGP ialah perkiraan matematik mengenai tempoh dan umur watak utama. Difahamkan Johari dan Aleya terpisah selama 15 tahun ketika usia mereka sekitar 7 tahun. Maknanya usia mereka sekitar 22 tahun tetapi Johari bergelar doktor gigi, malah dinyatakan usianya 27 tahun ketika sedang berkenalan dengan Aleya menerusi Internet.