Cinta hebat Erra, Yusry

TARIKH pertunangan pasangan sensasi Erra Fazira dan Yusry KRU terus jadi spekulasi peminat tetapi dalam filem 'Mr. Cinderella 2' mereka sudah bertunang tetapi menghadapi halangan dan rintangan sebelum menempuh gerbang perkahwinan.

Filem kedua Kuasatek Pictures Sdn Bhd yang juga sambungan daripada 'Mr. Cinderella' yang mencatat kutipan box-office tahun lalu sedang rancak menjalani penggambaran sejak 18 Januari dan dijangka selesai awal Mac ini.

Harian Metro berpeluang mengikuti penggambaran filem ini di rumah orang kenamaan di Shah Alam, Selangor membabitkan adegan ‘hebat’ antara Hakimi (Yusry) dengan Puteri Megawati (Erra). Hebat di sini kerana penyediaan set dan props membabitkan kos lebih RM10,000 hanya untuk satu adegan iaitu majlis hari jadi Puteri Megawati.

Kolam renang dihias indah dengan lampu-lampu, mock-up kek tiga tingkat, pentas khas yang dibina di tengah-tengah kolam renang untuk dua kekasih meraikan majlis itu diiringi alunan muzik lembut daripada tiga pemuzik.

Tidak cukup dengan itu, tiga kereta mewah disediakan iaitu kereta Ferrari kelabu berharga RM1.6 juta yang dipandu Hakimi, kereta Daimler yang mempunyai pendaftaran Negeri Inderapuri dan juga kereta Rolls-Royce sebagai kenderaan rasmi diraja.

Sejak jam 8.30 malam, krew sibuk menyiapkan set manakala Erra dan Yusry hebat bergaya dengan pakaian tajaan Euro Moda (Yusry) dan Nazleen Noor Creation (Erra). Sementara menunggu penggambaran bermula, Erra dan Yusry menghafal skrip dan merakamkan dialog bersama Ainina Ahmad B selaku Pembantu Skrip.

Menurut produsernya, Mohd Noor Kadir, pembikinan 'Mr. Cinderella 2' cukup teliti dan ini dibuktikan melalui penggunaan peralatan, props, set, pelakon dan juga lokasi hingga ke luar negara kerana matlamatnya untuk menghasilkan filem blockbuster.

“Apa yang mampu saya janjikan ialah filem kedua ini lebih hebat baik dari segi cerita, shot, lakon layar dan sinematografi untuk menunjukkan kemewahan hidup Puteri Megawati.

“Kalau dulu pengarah mampu menghasilkan empat hingga enam adegan sehari tetapi untuk filem kedua ini, dapat menyiapkan tiga adegan pun sudah cukup baik. Saya sedar Din CJ memikul tanggungjawab berat untuk melaksanakan harapan ini tetapi saya yakin dengan kemampuannya.

“Ceritanya juga lebih padat dan menarik iaitu gabungan komedi sebanyak 30 peratus manakala romantik dan dramatik masing-masing 35 peratus. Saya mahu penonton menyaksikan filem ini kerana kehebatan ceritanya sebagaimana orang menyebut-nyebut drama 'Cinderella' kerana ceritanya dan bukan kerana pelakonnya sebagaimana dikatakan ramai atas kejayaan 'Mr. Cinderella',” katanya.

Mohd Noor yang sentiasa berada di lokasi untuk memastikan segalanya berjalan lancar, turut memuji kejelitaan Erra pada malam itu kerana lebih cantik daripada selalu.

Erra sendiri mengakui setakat ini keadaan terkawal dan tiada masalah, begitu juga Yusry rasa lebih selesa kerana sudah melalui pengalaman ketika penggambaran 'Mr. Cinderella' arahan Ahmad Idham.

“Mungkin kerana setakat ini penggambaran hanya diadakan di rumah ini dan saya tiada masalah. Cabaran lebih hebat menanti selepas ini kerana penggambaran disambung hingga ke luar negara,” kata Erra.

Penggambaran malam itu bermula dengan ketibaan Yusry dengan kereta Ferrari serta disambut Puteri Megawati di kolam renang. Tanpa usul periksa, Hakimi terus meniup lilin walaupun keliru kerana hari itu bukanlah harijadinya.

Ini menimbulkan kemarahan Puteri Megawati kerana malam itu hari istimewanya dan mahu diraikan bersama Hakimi. Jika di negaranya di Inderapuri, harijadinya menjadi cuti umum dan sultan menanti kepulangannya untuk meraikan harijadinya di istana.

“Di sinilah bermulanya konflik Puteri Megawati dan Hakimi. Hakimi juga secara tidak sengaja mencabar Puteri Megawati mengatakan mahu meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Megapuri Berhad.

“Bagi Puteri Megawati, dia sanggup membelakangkan negara dan keluarga kerana sayangkan Hakimi tetapi Hakimi tidak pernah serius. Keadaan ini mengecewakan Puteri kerana dia cuba membimbing Hakimi menjadi lelaki bertanggungjawab dan berwawasan sebagai persediaan apabila berkahwin nanti,” kata Mohd Noor yang juga penulis skrip filem ini.

Selain Erra dan Yusry, filem ini turut dimantapkan lagi dengan kehadiran Anita Sarawak dan Maya Karin. Anita menjadi setiausaha Puteri Megawati serta mempunyai perwatakan unik hingga dikatakan bakal mencuit hati penonton manakala Maya sebagai Anis yang menaruh hati dengan Hakimi tetapi dia menjadi mangsa penjahat.

Selepas seminggu menjalani penggambaran di Shah Alam, krew 'Mr. Cinderella 2' meneruskannya ke lokasi di sekitar Kuala Lumpur sebelum berlepas ke New Zealand pertengahan bulan depan.