Peminat sokong gandingan Erra-Awie

NAMPAKNYA berita yang SS tulis dalam keluaran lalu mengenai ura-ura Kuasatek Pictures menggandingkan Awie dan Erra Fazira dalam Mrs. Cinderella, belum kesudahan.

Kalau kelmarin, ada peminat yang tak setuju dengan gandingan itu, semalam SS terima lagi e-mel berpendapat sebaliknya.

Pengirim yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi berpangkalan di Pulau Pinang ini, mahu peminat-peminat kedua-dua artis itu supaya bersikap terbuka dan profesional.

Seterusnya petikan yang SS ambil daripada pengirim tadi:

“Saya ada terbaca dalam ruangan Soseh Soseh Khamis lalu dan tertarik dengan reaksi seorang peminat yang tak suka Awie dan Erra berlakon bersama. Sebagai manusia kita patut terima apabila mereka diambil berlakon bersama, malah saya rasa ini mampu melariskan filem Mrs. Cinderella.

“Mengenai hubungan mereka, itu cerita lama, kita mesti profesional dalam hal kerja. Dalam Islam pun kata, tak baik bermusuh, dan saya yakin Awie dan Erra mesti profesional dalam hal ini. Ambil yang jernih buang yang keruh.

“Dalam hal ini, apa yang peminat itu risaukan, Erra dan Yusry dalam membina jalan ke arah perkahwinan. Kalau ada kesetiaan, ia tak ke mana, lagipun Awie pun sudah dapat anak kedua.

“Kita sebagai peminat harus terima, kerana pasaran filem bergantung kepada strategi pemasaran, dan saya tahu Datuk Yusoff dan Mohd Noor Kadir tahu apa yang terbaik, malah yang pasti filem ini meletup kalau Awie dan Erra digandingkan bersama.

“Mana tahu mungkin melebihi kutipan rekod RM6 juta filem Sembilu. Kalau peminat itu tak mahu tengok, duduk sajalah di rumah. Malaysia ada 22 juta rakyat, setakat sekerat dua itu termasuk peminat tadi, tak akan menjejaskan filem ni.”