Erra, Yusry sepakat
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

SEKALIPUN berat badan pelakon, model dan penyanyi cantik, Erra Fazira mencecah 160 kilogram, cinta Yusry KRU terhadapnya takkan berubah walau seinci pun.

Menarik bukan? Dan semua ini akan dapat anda saksikan menerusi filem terbaru mereka, 'Cinta Kolesterol' arahan ketujuh Prof Madya Abdul Razak Mohaideen.

Kisah komedi ringan yang digarap sejak 1997 bakal melenyapkan pandangan sesetengah pihak yang menganggap Erra tidak bersedia wajahnya ‘dicomotkan’.

Malah, ia juga akan membawa perubahan besar kepada dunia perfileman tanah air apabila mengundang pakar solek dari Pine Wood Studio, London yang bertanggungjawab mengubah bentuk badan dan wajah Erra kepada gemuk.

Apa yang menarik, untuk merealisasikan filem yang menelan belanja RM1.5 juta ini, KRU Motion Pictures dan Erra Fazira Entrtaiment (EFE) turut membantu melengkapkan perjuangan Metrowealth Movies Production (MMP) menghasilkan filem berkualiti.

Apa yang membuatkan Erra dan Yusry menerima filem ini sebagai pelakon dan rakan kongsi? Ikuti temubual bersama Harian Metro.

Apakah yang membuatkan anda tertarik menghidupkan watak ini?

Yusry: Tentulah skripnya bagus. Cuba bayangkan Erra dengan berat badan 160 kilogram, macam mana hah? Faktor utama yang saya terima tentulah watak Yusry yang perlu saya dihidupkan iaitu seorang ego, pemilih dan kebaratan. Paling penting, nilai murni dan sifat kemanusiaan yang ditonjolkan dalamnya. Selain itu, ini kali pertama saya berlakon komedi.

Erra: Sebelum ini orang kata Erra enggan berlakon watak-watak yang sebegini. Mereka salah, kerana Erra tak pernah dapat watak macam itu kecuali filem hantu. Bukan, Erra tak nak terima peranan itu, bayangkan tengok cerita hantu pun Erra tak pernah, inikan pula jadi hantu, Erra takut.

Apapun, filem ini mencabar kemampuan Erra kerana perlu membawa dua peranan iaitu Fazira ketika gemuk dan ketika kurus. Selalunya Erra tampil baik dan cantik dalam filem namun kali ini sebanyak 60 peratus Erra berbadan gemuk. Erra sudah bersedia sekalipun tak dapat bayangkannya.

Cuma Erra nak tegaskan di sini, cerita ini tidak bermaksud memperkecilkan orang berbadan besar sebaliknya memberi semangat pada mereka menerusi inisiatif Fazira menurunkan berat badannya dan mengajar kaum lelaki yang menghina wanita berbadan besar.

Bagaimana watak dan perkembangan jalan cerita ini?

Yusry: Yusry, seorang graduan luar negara yang suka wanita cantik dan kebaratan. Sebaik kepulangan di tanah air, ibu-bapanya ingin menunaikan janji bersama keluarga Fazira untuk menyatukan mereka berdua. Sebaik bertemu Fazira, Yusry tak dapat menerima keadaan Erra yang dianggap tidak menepati wanita pilihan bermula dari itu dia cari jalan dan sengaja menyakiti hati Fazira.

Erra: Fazira seorang yang naif dan tidak tahu kehidupan luar kerana terlalu taat pada keluarganya. Sekalipun berbadan besar, dia mempunyai hati yang murni. Dipendekkan cerita, sakit hati yang amat sangat kerana penghinaan Yusry, dia bertekad mengambil cercaan itu sebagai cabaran menurunkan berat badan. Sewaktu kurus itu ramai jejaka menggilainya termasuklah Yusry. Tapi Yusry tak tahu yang itu Fazira, gadis yang pernah dicacinya kerana dia menggunakan nama Erra, sengaja mengaburi mata Yusry. Kalau nak tengok macam mana Erra ajar Yusry jangan lupa tonton cerita ini.

Yusry: Tapi Yusry bukannya jatuh cinta pada Erra kerana paras rupanya saja malah, dia tertarik dengan kata-kata Erra yang mengingatkan pada kata-kata Fazira.

Erra: Sudahlah awak, jangan coverline.

Erra sudah bersedia jadi gemuk dan apakah reaksi Yusry sekiranya perkara ini di alam realiti. Adakah anda tetap menerima Erra?

Yusry : Oppps sensitif!

Tak takut ke nanti peminat berbadan besar terasa?

Yusry: Itulah, yang Erra katakan tadi, cerita ini tidak memperkecilkan mereka sebaliknya memberi semangat. Lebih penting, dalam cerita ini pengarah menggambarkan orang berbadan besar berhati mulia sebagaimana kebanyakan mereka di luar.

Kenapa guna nama sendiri?

Erra: Kami, pengarah Razak dan penerbit, David Teo sudah bincangkan hal ini dan kami bersetuju.

Adakah, pelaburan anda berdua dalam filem ini salah satu perancangan masa depan atau sudah sedia hidup bersama?

Yusry: Jangan salah faham persetujuan ini bukan saya seorang kerana keputusan di tangan Norman serta kerjasama Edry. Sebelum ini, KRU sudah terbabit dalam kesan khas (special effect) dalam filem 'Mistik' terbitan MMP juga dan kami harap pembabitan ini dapat memberi ruang kepada kami bergiat secara serius untuk mempertingkatkan taraf pembikinan filem atau drama negara.

Erra: Tolong, bukan soal cinta. Lebih lima tahun menubuhkan EFE, Erra belum pernah terbabit dalam produksi seratus-peratus. Jadi, Erra terfikir untuk memperkembangkan lagi sayap syarikat ke tahap lebih tinggi.

Anda yakin usaha ini berbaloi?

Yusry/Erra: Yakin, kami sudah menilai pelbagai aspek dan cerita ini mampu diterima penonton. Bagaimanapun, semuanya kami serahkan pada peminat. Lagipun, kami tak keluarkan modal, cuma membantu dari segi teknikal saja serta promosi.

Memandangkan, cerita ini ditayangkan tahun hadapan, anda tak takut bersaing dengan diri sendiri maklumlah ada beberapa filem yang turut anda bintangi misalnya 'Mr. Cinderella 2'?

Yusry: Memang benar tarikh tayangannya agak dekat. Tapi saya melihat sudut positif kerana inilah waktunya membuktikan kemampuan kerana dua-dua watak berlainan. Kalau sama saja, saya pun tak mahu. Saya juga anggap ia sebagai cabaran kerana dalam masa tiga bulan saya perlu menjiwai dua watak. Lagipun, saya tak nampak apa-apa halangan selagi konsep cerita berlainan antara satu dengan lain.

Erra: Bagi Erra ada keburukan dan kebaikannya. Yang buruknya, terlalu banyak filem di pawagam yang membabitkan Erra antaranya, 'Gila Gila Pengantin', 'Mr. Cinderella 2', 'Janji Diana' dan 'Cinta Kolesterol' akan membuatkan orang jemu. Tapi seperti kata Yusry, setiap cerita berlainan dan dari itu peluang membuktikan bakat. Apa yang pasti, 'Cinta Kolesterol' ini, terlalu menarik untuk Erra tolak.

Bila mula penggambaran?

Yusry: 16 Mac 2003 dan kami tak sabar menjayakannya.

Apa harapan anda?

Erra: Semoga cerita ini diterima dan dapat mencetuskan kreativiti kepada penggiat perfileman.