Insan seni wajar diiktiraf

SUMBANGAN besar karyawan seni dan kerabatnya dalam memartabatkan industri seni tanah air tidak dapat dinafikan. Sehubungan itu, inisiatif banyak pihak dalam menganjurkan pelbagai anugerah patut dipuji kerana insan seni wajar diberi pengiktirafan.

Jika sebelum ini insan seni diiktiraf dalam Anugerah Sri Angkasa, Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin TV3 dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), kini ia disusuli dengan Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik (AIM).

Bukan itu saja, kebelakangan wujud beberapa anugerah lagi, antaranya Anugerah Planet Muzik, Anugerah Personaliti Hiburan dan satu anugerah anjuran Akhbar Buletin Utama.

Cuma yang membezakan, Anugerah Bintang Popular Berita Harian diadili oleh pembaca sendiri menerusi borang disiarkan di akhbar Berita Harian/Berita Minggu pada waktu tertentu.

Begitu juga Anugerah Personaliti Hiburan yang memberi peluang kepada pembaca akhbar yang menganjurkan memilih pemenang, di samping SMS dan Internet.

Manakala anugerah lain, kebanyakannya diadili oleh ahli panel yang dilantik penganjur.

Mungkin ada pihak cuba mempersoalkan, majlis anugerah kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan dikhuatiri boleh mencemarkan eksklusifnya sesuatu majlis anugerah yang sering dikaitkan sebagai acara tahunan berprestij dalam industri seni.

Sejauh mana anugerah yang mengiktiraf karyawan seni itu berkesan dalam meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan atau insan seni kita hanya mengejar kuantiti anugerah semata-mata?

Metro Ahad cuba berkongsi pandangan dan idea beberapa karyawan seni seperti Datuk Johari Salleh, Datuk A Rahman Hassan, Habsah Hassan dan pengarah Erma Fatima.

Tidak ketinggalan juga, pandangan dua penyanyi dan pelakon popular tanah air yang sering memenangi anugerah, iaitu Siti Nurhaliza dan Erra Fazira.

DATUK JOHARI SALLEH/Perunding Muzik, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

SETIAP anugerah diadili mengikut kepentingan sesuatu pihak atau individu selaras dengan perkembangan industri muzik kita. Pihak terbabit ialah individu atau sesebuah institusi.

Pada pandangan saya, majlis anugerah yang mengiktiraf golongan seni ini adalah satu langkah baik.

Jika di luar negara seperti di Amerika Syarikat, bilangan majlis anugerah yang dianjurkan jauh lebih banyak berbanding di sini.

Bagi saya, tiada masalah jika ada banyak penganjuran majlis anugerah di sini kerana ia memberi galakan kepada golongan seni itu dalam menghasilkan karya mereka, sebagai contoh AIM.

Anugerah Juara Lagu juga tidak banyak kategori kerana cuma ada tiga atau empat kategori dipertandingkan.

Bagaimanapun, jika ada pihak tertentu menganjurkan majlis anugerah bagi kategori pelakon lelaki kacak dan pelakon wanita tercantik ia sudah jadi macam pertandingan Ratu Cantik pula.

Saya bersetuju jika kita anjurkan majlis anugerah bagi mengiktiraf pihak tertentu mengikut kategori yang sesuai dan kena pada tempatnya serta bukan kategori yang bukan-bukan hingga penerima anugerah itu sendiri tidak rasa bangga bila menerimanya.

Top

 

DATUK A.RAHMAN HASSAN/Presiden Majlis Karyawan Hiburan Tanah Air (Mahkota)

INSAN seni tiada masalah menerima anugerah kerana wujudnya majlis anugerah membabitkan kedua-dua pihak yang mendapat faedah, seperti golongan artis dan penganjur majlis yang ingin mempromosikan institusi mereka.

Jika dulu tak banyak majlis anugerah, sebagai contoh Anugerah Sri Angkasa, dan anugerah untuk menghargai artis juga kurang.

Kini terlalu banyak majlis anugerah dianjurkan pelbagai pihak hingga kurang nilainya dan artis kita juga boleh menang banyak anugerah di sana sini.

Saya kurang faham, kenapa ketika industri seni kita menghadapi pelbagai cabaran serius, kita masih riuh rendah dengan pihak tertentu menganjurkan pelbagai majlis anugerah.

Saya menyokong anugerah bagi kategori filem dan karyawannya, termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir.

Anugerah Juara Lagu juga terlalu banyak perubahannya kini berbanding sebelum ini, manakala ABPBH pula wajar kerana ia memilih dari sudut populariti dan undian orang ramai kepada seseorang artis.

Pada pandangan saya, beberapa anugerah besar seperti AIM, ABPBH dan Anugerah Juara Lagu sudah mencukupi. Tidak ketinggalan anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada semua pekerja bidang perfileman, seperti pengarah filem hingga ke semua pekerja di belakang tabir.

Top

 

HABSAH HASSAN/produser dan penulis lirik

SAYA setuju jika banyak majlis anugerah dalam industri seni dianjurkan di negara ini, kita tidak lagi rasa terkejut dengan sesuatu majlis anugerah berkenaan.

Kenapa semua pihak tidak bergabung antara satu sama lain dan keluarkan ratusan ribu dengan tawaran hadiah lebih bermakna kepada insan seni serta pengadilannya dibuat lebih teliti, sebagai contoh majlis anugerah di luar negara, iaitu Grammy Awards dan Emmy Awards.

Saya juga rasa wajar golongan artis diberi pengiktirafan kerana yang bagus itu sewajarnya diiktiraf.

Masyarakat kita juga mengakui jika sesuatu benda itu terlebih manis, ia tak berapa sedap, begitu juga jika majlis anugerah terlampau banyak, rasa ‘excited’nya juga akan hilang.

Saya rasa wajar majlis anugerah yang banyak itu digabungkan seperti dilaksanakan di Barat kerana jika kita nak cari kualiti dalam mengiktiraf insan seni, kita juga kena anjurkan majlis anugerah berkualiti.

Saya juga bersetuju jika orang dalam media sendiri menganjurkan anugerah berdasarkan populariti artis dan orang dalam industri seni pula boleh anjurkan anugerah dari segi kualiti.

Bila terlampau banyak pengiktirafan, akan berlaku pertikaian pula.

Saya tegaskan sekali lagi, semua pihak perlu gabung usaha bagi menghasilkan anugerah terbaik dan berkualiti seperti dikehendaki masyarakat.

Top

 

ERMA FATIMA/pelakon/pengarah

BUKAN orang seni anjurkan majlis anugerah itu, tetapi pihak luar. Bagi saya, majlis anugerah adalah satu pengiktirafan atau galakan untuk artis bagi menghasilkan produk lebih baik.

Sesuatu anugerah juga akan memberikan motivasi kepada insan seni bagi menghasilkan yang terbaik dan juga ia satu bonus kepada mereka.

Setidak-tidaknya, penganjur majlis itu mengiktiraf artis yang memberi sumbangan dalam industri seni.

Jika ada artis sama saja sering mendapat anugerah, mungkin dia yang terbaik dalam industri seni, namun bagi saya jika dia menang anugerah 10 kali sekalipun, sebagai contoh Siti Nurhaliza, jika orang nak beri anugerah kepadanya, tentu saja dia terima.

Kita sedia maklum, bagi menganjurkan sesuatu majlis anugerah, mereka perlukan banyak duit dan penaja. Pengiktirafan itu adalah sesuatu yang baik dan saya tak kisah banyak mana, sekalipun majlis anugerah dianjurkan pihak berkenaan bagi mengiktiraf insan seni.

Saya sebenarnya memandang majlis anugerah yang banyak itu dari sudut positif kerana insan seni memang berusaha menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk kemajuan industri seni.

Top

 

ERRA FAZIRA/pelakon dan penyanyi

BAGI Erra, walau sekecil mana sekalipun anugerah diterima, ia sebenarnya bukan benda yang dibanggakan sangat kerana kita memang sentiasa bekerja lebih keras untuk industri seni.

Masyarakat kita sebenarnya memandang remeh majlis anugerah ini. Sebenarnya di Bollywood dan Hollywood banyak majlis anugerah, tetapi masyarakat di sana beri sokongan padu kepada golongan seni di sana. Sebaliknya di sini, bila banyak majlis anugerah, ada yang pertikaikan dan cuba mematahkan semangat insan seni.

Majlis anugerah yang dikatakan banyak itu ada kategori tersendiri, sebagai contoh anugerah di peringkat Asia dan Malaysia.

Walau sekecil manapun anugerah diterima oleh artis itu, sebenarnya yang paling penting artis akan rasa diri mereka dihargai dan ia memberinya semangat untuk terus menghasilkan yang terbaik pada masa depan.

Jangan pandang sangat majlis anugerah yang banyak itu, sebaliknya masyarakat kita sewajarnya beri sokongan kepada artis untuk terus berkarya kerana di sini pun, artis kita banyak dianaktirikan.

Saya tidak faham, bila ada banyak majlis anugerah di sini, sering ada suara sumbang yang mempertikaikannya, lebih baik kita berfikiran positif dan bukan hanya mencari kesalahan orang lain.

Bagi Erra, anugerah diterima bukan untuk dikira, ditayangkan atau dibanggakan sangat kerana anugerah itu adalah rezeki dari Allah dan sokongan berterusan peminat kepada Erra.

Tiada anugerah sekalipun, Erra atau mana-mana artis tetap akan menghasilkan karya terbaik.

Jika Erra idamkan anugerah untuk buat sesuatu, ia akan beri tekanan kepada Erra kerana visi Erra memang menghasilkan karya terbaik untuk industri seni.

Di Hollywood sendiripun ada anugerah kategori pelakon paling buruk, jadi Erra rasa tiada masalah jika kita juga ingin buat kategori pelakon kacak atau tampan.

Sebenarnya, Erra juga mengakui memang ada pro dan kontranya jika terlampau banyak majlis anugerah, tetapi di sini Erra ingin mengajak masyarakat kita melihatnya dari sudut positif kerana pelbagai majlis anugerah yang dianjurkan pihak tertentu itu akan mewarnai dan menceriakan lagi industri seni kita.

Top

 

SITI NURHALIZA/penyanyi

SECARA peribadi, Siti memandang anugerah ini berdasarkan apa yang Siti lihat dan rasa, iaitu hidup kita memang ada visi, ada matlamat, bohong Siti katakan di sini kalau ada artis kita tidak idam anugerah.

Selepas kita buat yang terbaik sebagai contoh untuk album dihasilkan, kita pasti ingin orang menghargai sumbangan kita.

Sepanjang lapan tahun pembabitan Siti dalam bidang ini dengan memenangi 86 anugerah, orang mula melihat Siti dan Siti juga menang banyak anugerah dalam pelbagai majlis anugerah berbeza setiap tahun dari majlis anugerah berbeza di dalam dan luar negara.

Ada kebaikan bila kita menang banyak anugerah, kerana ramai akan mula buka mata kepada kita dan ingin kenali kita dengan lebih dekat lagi.

Jika terlampau banyak majlis anugerah, bagi Siti ia baik bagi industri seni kerana ada orang mengiktiraf hasil kerja kita. Jika tiada orang menilai hasil kerja kita, kita tidak tahu hasil kerja itu baik atau sebaliknya.

Bila menang banyak anugerah, ia meningkatkan lagi hasil kerja kita kerana dunia muzik kita juga kini kian maju ke depan.

Siti tak rasa tergugat pun dengan kehadiran ramai bakat baru yang berbakat besar dalam industri ini kerana dalam dunia seni, artis boleh bersaing secara sihat bagi menghasilkan yang terbaik.

Terlalu banyak majlis anugerah ini sebenarnya ada kebaikannya, bagaimanapun anugerah dianjurkan itu biar bersesuaian, sebagai contoh anugerah yang mengiktiraf bidang muzik dan hasil kerja artis.

n Kesimpulannya, karyawan seni dan kerabatnya wajar diberi pengiktirafan kerana sumbangan besar mereka. Semoga anugerah diterima menjadi insentif dan galakan kepada mereka untuk bekerja lebih keras dalam mengangkat martabat dan maruah insan seni ke tahap lebih berprestij dan cemerlang.

Bagaimanapun, kita mengharapkan jangan ada pihak mempersenda atau memperlekeh insan seni dengan menganjurkan pelbagai majlis anugerah, tetapi sekadar melepaskan batuk di tangga hingga majlis anugerah berprestij itu hilang bisanya.

Top