Peminat Wanita Tidak Suka Awie

KALAU tiada aral melintang, empat hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Terima kasih atas kiriman kad raya dan saya bangga menerima kad daripada kumpulan nasyid Rabbani serta artis di bawah Hijjaz Music Entertainment.

Minggu ini saya tertarik menyentuh rancangan produser Kuasatek Pictures menggandingkan Erra Fazira dengan Awie dalam filem Mrs. Cinderella, sebagaimana yang dipaparkan dalam rungan SPY MA di Metro Ahad pada 17 November lalu.

Alkisahnya ada peminat tidak bersetuju dengan rancangan produsernya, Mohd Noor Kadir melalui ruangan Soseh Soseh di Harian Metro Rabu lalu. Alasan mereka ialah kehidupan Erra cukup bahagia sekarang dan tidak perlu diungkit lagi kisah silam mereka yang pernah bercinta, bertunang dan berpisah.

Lebih mengejutkan ialah peminat sampai mengugut mahu memulaukan sambungan Mr. Cinderella, sedangkan filem kedua Kuasatek itu belum memulakan penggambaran.

Berita terbaru yang saya dengar daripada Datuk Yusof Haslam iaitu orang yang diamanahkan oleh Mohd Noor untuk meminang Awie ialah beliau sudah menyatakan hajat Mohd Noor kepada Awie dalam satu pertemuan ketika berbuka puasa Selasa lalu.

Dalam perbualan itu, Yusof juga meluahkan mengenai sensitiviti kaum wanita yang tidak suka dengan cadangan itu. Tinjauannya mendapati peminat tidak sukakan Awie sejak perpisahan mereka beberapa tahun lalu, diikuti beberapa insiden membabitkan peribadi Awie.

“Saya hanya menjalankan tugas dan waktu sebagaimana yang diamanahkan oleh Mohd Noor. Saya faham dengan strategi beliau untuk memberi tarikan kepada filem ini. Sebagai rakan kongsi saya memberi restu dengan rancangan ini.

“Saya juga ingin memberi peluang kepada Awie untuk kembali dalam filem saya dan waktu sama, saya faham perasaan peminat Erra. Bagaimanapun mereka perlu berfikiran terbuka kerana industri kita kecil, lambat laun mereka pasti bekerjasama juga,” kata Yusof.

Mohd Noor juga menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan mengenai rancangannya itu, tetapi saya tidak berani memberi komen. Kata orang kalau sudah tidak suka memang susah walaupun alasan mereka itu tidak logik kepada orang lain. Bagaimanapun tentu ada pihak berfikiran terbuka.

Yang menjadi masalah ialah peminat fanatik Erra yang tidak dapat menerima kehadiran Awie di sisi Erra, walaupun dalam cerita itu Erra tetap digandingkan dengan Yusry, manakala Awie hanyalah muncul sebagai penampilan khas sebagai satu gimik.

Ternyata Mohd Noor sedikit gusar dengan perkembangan terbaru ini kerana tidak mahu filem keduanya mengundang kontroversi.

Persoalan ini juga diajukan kepada Yusry iaitu orang yang hangat dikaitkan dengan Erra akhir-akhir ini. Malah gandingan mereka dalam Mr. Cinderella adalah punca sebenar membawa rezeki kepada Kuasatek apabila filem arahan Ahmad Idham yang ditayangkan September lalu mencatat kutipan lebih RM3 juta.

“Saya tiada masalah dalam hal ini. Apa yang saya tahu, Erra juga tidak kisah perkara ini. Apa yang menjadi persoalan saya ialah apakah Awie sudi menerima tawaran ini kerana watak yang diserahkan kepadanya bukanlah sebagai watak utama sebaliknya watak pembantu,” katanya.

Difahamkan, Awie tidak keberatan berlakon tetapi katanya mahu meminta pandangan daripada isterinya, Arni Nazira serta melihat skripnya dahulu.