KEMERIAHAN Syawal masih terasa dan bertempat di Menara Polo, Desa Pandan, Kuala Lumpur, kelmarin, ratusan tetamu termasuk lebih 100 ahli kelab peminat Erra Fazira berkumpul menjamu selera sempena majlis Jamuan Makan Erra.
Bagaimanapun tidak seperti majlis Rumah Terbuka di ibu kota yang biasanya memperuntukkan tempoh sekurang-kurangnya setengah hari, tapi pelakon 'Soalnya Siapa?' ini hanya mampu meluangkan masa satu setengah jam saja.
Memang masa inilah yang sempat saya luangkan. Jadual aktiviti saya terlalu padat, selain persembahan pentas, saya sedang sibuk dengan promosi 'Soalnya Siapa?' yang baru bermula. Esok (semalam) saya kena hadir sidang media 'Cinta Kolesterol' pula.
Walaupun tetamu datang dari jam 5 hingga 6.30 petang, tetapi biasalah, ia akan berlanjutan hingga jam 7 atau 8 malam. Nampak saja sekejap tapi persediaannya lama juga nak difikirkan, nasib baik ada kakitangan Erra Fazira Entertainment, katanya yang kemudian bergegas menyambut tetamu yang datang.
Biarpun di wajahnya nampak keletihan, gadis Rawang, Selangor ini tak lekang dengan senyuman. Dari kanak-kanak hinggalah dewasa, dilayan dengan baik. Kebetulan pula menu yang dipilih - nasi tomato berlauk ayam masak pedas dan rendang daging serta mi kari, memenuhi selera mereka.
Ahli kelab peminatnya juga tak melepaskan peluang beraya dengan Erra, malah ada di antara mereka yang datang dari Kedah dan Johor. Ikatan sesama ahli terjalin akrab dan petang itu juga mereka menyambut hari jadi salah seorang daripada rakan mereka.
Inilah masa yang ada, sekurang-kurangnya ada juga perjumpaan seperti ini. Mulanya saya ingin buat kecil-kecilan tetapi besar juga jadinya. Terima kasih kepada mereka yang hadir, katanya yang tak lupa menghulurkan duit raya kepada anak-anak kecil.