Terperangkap dalam suasana keliru
Bersama Erra

ASSALAMUALAIKUM! Alhamdulillah, saya dan rakan rombongan lain selamat sampai ke tanah air. Walaupun ramai pulang dalam keadaan kurang sihat berikutan perubahan cuaca dan masa, tetapi jelas terpancar kepuasan pada wajah jemaah kita yang lain.

Untuk dua tiga hari pertama, saya terpaksa berlawan dengan masa untuk mengembalikan rutin harian, memandangkan perbezaan lima jam di antara Malaysia dan Makkah. Alhamdulillah, hari ini masa saya kembali normal.

Minggu ini, saya menyentuh sedikit mengenai isu dan gosip yang dilemparkan kepada saya sepanjang ketiadaan saya tempoh hari.

Terkilan? Semestinya! Bayangkanlah, sebaik menjejakkan kaki di bumi Malaysia, dua tiga orang bertanya sama ada benar saya dan Yusry bernikah di Makkah. Apabila diselidik, rupanya gara-gara tulisan dalam sebuah akhbar tabloid.

Saya hairan, masih ada pihak yang kononnya dikatakan golongan profesional tetapi tidak kenal batas-batas tugas dan hak peribadi seseorang. Hinggakan tujuan kami ke Tanah Suci untuk beribadah, diputar belit hingga mengelirukan banyak pihak.

Saya hormati dan senang dengan golongan wartawan atau penulis yang ada pendekatan baik di antara artis dan pembaca. Mereka ada perasaan dan tidak hanya mementingkan jumlah jualan akhbar dan majalah.

Terus-terang, saya tiada masalah untuk bekerjasama dan hormat mereka kerana mereka tahu menghormati dan layak dihormati.

Di sini, entah kali ke berapa, saya terpaksa tampil untuk menafikan cerita itu.

Jangan kata pembaca, saya sendiri naik jemu dan malu setiap kali cerita peribadi diwar-warkan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Di sana sini terdengar orang berkata ‘balik-balik cerita cinta’ atau lebih pedih, saya dituduh suka mencari publisiti murahan. Namun ketahuilah oleh semua, saya sendiri terperangkap dalam situasi ini.

Lebih banyak saya mengelak atau berdiam diri, lebih lebat cerita rekaan muncul. Dan yang paling saya terkilan, saya masih dituduh tidak mahu bekerjasama dengan media.

Saya sedar, itulah harga yang perlu saya bayar untuk menjadi insan seni dan curahan hati saya ini ibarat angin lalu. Cuma saya minta pembaca memahami sedikit perasaan saya dan mengetahui situasi sebenar.

Buat sekian kalinya saya jelaskan di sini, saya sendiri akan tampil ke depan jika ‘seru’ ke alam rumah tangga sudah sampai. Tidak perlu berteka-teki mengenai tarikh dan masa. Bukan menyombong, malah jauh sekali melupakan budi wartawan sepanjang karier saya.

Namun, saya juga seperti insan lain yang inginkan sedikit rahsia untuk santapan peribadi saya.

Apabila tiba masa dan ketika, percayalah saya akan kongsikan bersama.

Maaf, mungkin kata-kata saya sedikit pedas, lebih-lebih lagi kepada mereka yang terbabit. Tetapi ketahuilah, ini tidak saya tujukan kepada semua.

Hanya segelintir membuatkan situasi ini bercelaru dan mengelirukan bukan saja pembaca, malah diri dan keluarga saya.

Saya impikan ‘tarikh sebenar’ menjadi satu tarikh yang pasti dan menggembirakan peminat. Bukannya dari satu tarikh ke satu tarikh yang direka sesuka hati. Hilang manisnya jika tarikh yang diberi, memanjang tidak tepat. Betul tak?

Adalah lebih manis berita tarikh itu datangnya dari tuan punya diri, daripada bertanya orang lain yang belum atau tiada kepastian.

Sampai di sini dulu bicara kita. Saya sanjungi dan berterima kasih kepada media yang banyak membantu karier saya dan yang menjalinkan hubungan baik bersama.

Sampai bertemu di minggu depan, insyaAllah dan selamat berpuasa!