Erra, Awie berganding
INI ada berita gempar yang SPY MA dengar mengenai pasangan artis sensasi yang pernah bercinta dan bertunang, tapi jodoh tidak kesampaian. Artis lelaki sudah berkahwin dan bakal menyambut kelahiran anak kedua, manakala artis wanitanya juga bahagia bersama penggantinya.
Siapa lagi kalau bukan Erra Fazira dan Awie. Ceritanya bukanlah mereka kembali menjalin hubungan, tapi ada ura-ura produser filem hendak menggandingkan mereka dalam filem Mrs Cinderella, sambungan Mr Cinderella yang dijangka memulakan penggambaran awal Januari tahun depan.
Selain dua pelakon utamanya, Erra dan Yusry, filem ini diserikan lagi dengan kehadiran Maya Karin, manakala pelakon asal, Serina Radzuawan, tidak dikekalkan. Sekarang rundingan dijalankan dan SPY MA dengar, Datuk Yusof Haslam menjadi orang tengah dalam urusan melamar Awie kerana filem ini dihasilkan bersama Kuasatek Pictures dan Skop Productions. Tambahan pula Awie anak didik Yusof.
Bagaimana dengan Erra? Sanggupke dia berdepan bekas tunangnya? Bagaimana pula perasaan Yusry? Yang SPY MA dengar, Erra dan Yusry sudah dimaklumkan mengenainya.
Demi menghormati perasaan kedua-duanya, produser Mohd Noor Kadir perlu memaklumkan perkara itu lebih awal. Apapun, Erra dan Yusry kini di Makkah mengerjakan umrah dan akan pulang tidak lama lagi. Beberapa pihak menunggu kepulangan Erra, iaitu Yusof untuk proses memasukkan suara filem Janji Diana, manakala Mohd Noor untuk memulakan pre-produksi filemnya.
Yang SPY MA dengar, jalan cerita Mrs Cinderella lebih hebat daripada filem pertamanya yang mencatat kutipan lebih RM3 juta. Namun, pengarahnya bukan lagi Ahmad Idham. Siapa yang dipilih Mohd Noor masih lagi rahsia, tapi SPY MA dengar orang yang menjadi pilihan biasa bekerja dengan produksi Kuasatek.