Seronok beraya dengan anak yatim
Bersama Erra
ASSALAMUALAIKUM!
Salam ku hulur walaupun berjauhan,
tanda dirimu sentiasa di ingatan.
Sepanjang dua minggu bersama Ramadan,
semoga kita semua mendapat keberkatan.
He..he..he... Pantun lagi, entah angin mana menyapa, saya rasa seronok membuka bicara dengan rangkapan pantun. Minggu depan tak tahu angin apa bakal menegur tetapi yang penting, saya harap pembaca masih setia Bersama Erra di sini.
Sepanjang tahun saya begitu asyik dengan urusan kerja, sekarang apabila dapat menikmati berehat seketika di bulan mulia ini, rasa begitu nikmat sekali. Fikiran sedikit tenang dan kehidupan kembali teratur seperti biasa. Alhamdulillah.
Saya pasti ketika ini, lebih-lebih lagi hujung minggu, ramai membuat persiapan sedikit demi sedikit sempena ketibaan Syawal. Saya sendiri bersiap awal.
Tahun ini saya rasa bertuah dan gembira kerana dapat berhari raya bersama Avon. Segala perhiasan diri, rumah mahupun sampul duit raya, tak perlu saya risaukan. Avon menyempurnakan dan memudahkan hari raya bukan saja untuk saya, malah semua wanita di Malaysia.
Ternyata Avon peka dengan kemahuan serta keperluan semasa. Ini bukan pujian kosong, tetapi kenyataan. Terima kasih Avon dan syabas. Hari raya tahun ini nampaknya Avon bakal mencantikkan rumah dan diri sayalah.
Mungkin ramai sedia maklum, bulan puasa ini juga ramai antara kita menjadi lebih pemurah. Jadi tak hairan mereka menganjurkan majlis berbuka puasa, terutama bersama anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik.
Dalam dunia hiburan juga tidak terkecuali, syarikat rakaman turut berbuat demikian dan sesetengah daripada mereka mengundang anak-anak yang kurang bernasib baik itu.
Bagi saya, ini usaha baik dan mulia. Selain memberi makan dan duit raya atau bantuan seumpamanya, kehadiran mereka sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hati mereka dan menunjukkan mereka tidak keseorangan. Masih ada yang sayang di sekeliling mereka.
Bagaimanapun, saya berharap kegiatan murni ini tidak hanya dilangsungkan pada Ramadan. Memang betul ia bulan keberkatan, tetapi apa salahnya kita teruskan program bersama mereka yang tak sebaik nasib kita ini, pada bulan-bulan lain juga.
Saya berharap sangat, mereka sentiasa diingati rakan sebaya yang dilahirkan dalam keluarga senang dan sempurna. Semoga kita juga mengerti kesusahan dan kedaifan mereka mengharungi erti sebuah kehidupan.
Kepada muslimin dan muslimat, selamat berpuasa dari saya yang berada nun jauh di sana.
Sekian wassalam!