Erra jadi penyelamat

PEREBUTAN Erra Fazira dan Yusry semakin hangat sekarang ini, selepas pakatan yang dikatakan merampas bintang 'Mr. Cinderella' sebagaimana dipaparkan dalam ruangan ini minggu lalu serta disahkan mereka sudah mengikat kontrak pada 5 Disember lalu dalam Harian Metro Selasa lalu.

SPY MA terus pasang kaki mengorek lebih dalam lagi apa sebenarnya yang berlaku kerana Mohd Noor Kadir dikatakan berada di tempat mereka.

Cerita yang SPY MA dengar ialah Mohd Noor rasa dirinya dimalukan pada malam itu oleh pihak tertentu kerana dirinya seolah-olah dipasubungakan. Apa maksudnya kata-kata itu?

SPY MA difahamkan, Mohd Noor mengadakan perjumpaan dengan Erra dan Yusry di sebuah restoran di Bangsar pada malam itu untuk meminta ikhsan mereka supaya meneruskan projek 'Mr. Cinderella 2' yang sudah dirancang rapi.

"Tiba-tiba datang produser MMP bersama dokumen dan terus ditandatangani oleh Erra dan Yusry. Tentulah Mohd Noor terpinga-pinga kerana dia baru saja membincangkan masalahnya, tiba-tiba masuk orang luar dan terus merampas mereka.

"Mohd Noor rasa dirinya dimalukan dan rasa cukup terhina," kata sumber SPY MA.

Kata sumber itu lagi, Mohd Noor mengambil keputusan membatalkan projek 'Mr. Cinderella 2' kerana tidak mampu memenuhi syarat dan terma-terma yang diminta pihak Yusry, lalu menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Yusry, Erra, Maya, pengarah dan Pengurus Produksi mengenai keputusannya itu.

"Bagaimanapun Erra datang semula kepada Mohd Noor dan menyatakan rasa bersalahnya serta mahu membetulkan keadaan. Sejak seminggu lalu, Erra berbincang mengenai projek ini. Kalau 'Mr. Cinderella 2' diteruskan, Erra adalah orang yang bertanggungjawab membantu memulihkan keadaan," katanya lagi.