MENANG salah tak menang salah sudah menjadi kata-kata yang cukup sinonim dengan Siti Nurhaliza. Kini, seorang lagi artis wanita tanah air menerima nasib yang sama ialah Erra Fazira. Kedua-duanya mempunyai pakej lengkap untuk diangkat sebagai popular kerana ada rupa, ada bakat dan tuah menyebelahi mereka ketika ini. Bezanya, Siti hanya tumpukan pada nyanyian manakala Erra dua bidang tetapi lebih menyerlah sebagai pelakon.
Anugerah Juara Lagu ke-17 (AJL17) iaitu gelanggang kehebatan Siti sudah berlalu dan akan muncul beberapa anugerah lain seperti Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) akhir Mac ini diikuti Anugerah Industri Muzik 2003 (AIM2003) April ini. Dalam FFM15, Erra diangkat Aktres Terbaik dan tahun ini Erra mempertaruhkan beberapa filem untuk mengulangi kejayaannya.
Sejak berlakon dalam 'Sembilu', Erra menjadi rebutan. Setiap produser yang nak buat filem mahukan Erra memegang watak utama dan kesannya, berderet filem Erra menunggu giliran di panggung. Sekarang orang berkata asyik-asyik muka Erra. Selepas 'Mr. Cinderella' pada September, Erra muncul lagi dalam 'Soalnya Siapa?' (25 Disember) diikuti 'Gila-gila Pengantin' (30 Januari) dan 'Janji Diana' menunggu giliran. Bulan ini Erra sibuk di lokasi 'Mr Cinderella 2' diikuti 'Cinta Kolesterol' pertengahan Mac.
Salah siapa? Yang pasti bukan salah ibu mengandung tapi kenyataannya, industri kita terlalu kecil sama ada nyanyian dan lakonan dan hanya mampu melahirkan sebutir bintang dalam satu-satu musim. Siapa pelapis menggantikan tempat Siti dan Erra?
Perkara seperti ini juga berlaku di Hollywood yang mempunyai saingan cukup sengit tetapi Eminem masih menguasai industri muzik di sana. Baru-baru ini Eminem menang empat anugerah di Anugerah Muzik Amerika iaitu kategori Artis Lelaki Pop Rock dan juga Hip Hop/R&B dan sekali lagi menguasai Album Terbaik kedua-dua kategori itu melalui satu album - The Eminem Show.
Tidak adakah orang lain yang boleh mencabarnya? Itu Amerika tapi kita di Malaysia begitu kecil. Walaupun Siti digelar Penyanyi Nombor 1 Malaysia manakala Erra sebagai Ratu Filem Melayu pada saat ini, hakikatnya ada pihak mempertikaikan mereka.
Satu hakikat yang tidak mampu saya tolak pada malam AJL17 ialah saya cukup yakin untuk mengakui hakikat bahawa Siti memang hebat ketika menyanyikan Nirmala baik senyum manisnya, lenggok badannya dan paling penting vokalnya cukup mantap dan lunak.
Ada yang mengeluarkan kenyataan bahawa Siti layak menang semua kategori dipertandingkan berdasarkan persembahannya, tetapi rezekinya hanya untuk Persembahan Terbaik dan juara Irama Malaysia.
Saya juga sekadar menelan air liur apabila mendengar cerita kononnya ada salah seorang juri pada malam itu memberi markah paling akhir kepada Siti untuk Persembahan Terbaik manakala untuk vokal di tempat kelima.
Memang saya tidak tahu siapa jurinya dan tidak mahu meneka dalam kesamaran kerana setiap manusia ada citarasa dan alasan sendiri. Mungkin kita boleh merenungkan seketika lirik lagu Keliru yang seolah-olah sudah tahu nasib yang menimpanya awal-awal lagi.
Ku tahu kau di dalam dilema, sukar untuk buat pilihan, jangan kau cepat berubah pendirianmu ...oh
Keliru nyanyian Nurul dan Ajai mencetuskan kontroversi tetapi nasib menyebelahi lagu ciptaan Aidit Alfian kerana sudah rezeki lagu itu. Apa yang perlu direnungkan bersama ialah dalam usia 17 tahun, sistem pemarkahan Juara Lagu masih belum menemui formula yang benar-benar meyakinkan.
Paling penting ialah setiap yang ditetapkan Tuhan ada hikmahnya dan setiap
yang hebat ada kekurangannya begitu juga setiap kegemilangan perlukan pengorbanan.
Sampai jumpa lagi.