Hanya sekeping roti

BALIK-BALIK muka Erra Fazira kerana sepanjang tahun beberapa filem lakonannya ditayangkan di pawagam. Bermula dengan 'Soalnya Siapa?' Disember lalu, nama dan wajah Erra disandarkan lagi untuk 'Gila-gila Pengantin' pada 30 Januari ini dan satu lagi filemnya, 'Janji Diana', menanti masa tayangan pertengahan tahun ini.

Bukan salah Erra apabila semua ini berlaku sebaliknya produser tanah air mengejar bekas Ratu Cantik Malaysia ini setiap kali mahu menghasilkan filem baru kerana rekod kutipan filem lakonan Erra selepas kemunculan pertamanya dalam 'Sembilu'. Bak kata Erra, apabila banyak filemnya ditayangkan, orang berkata asyik-asyik muka Erra tapi bila Erra menolak tawaran timbul pula kontroversi Erra jual mahal.

“Banyak filem yang saya lakonkan tetapi banyak juga tawaran yang terpaksa saya tolak. Saya harap peminat faham dan bersedia dengan apa saja kemungkinan atas tindakan saya,” luah Erra.

Mulai hari ini, Erra berada di lokasi filem terbarunya bersama Kuasatek Pictures Sdn Bhd, 'Mr. Cinderella 2' sehingga awal Mac kemudian 15 Mac memulakan penggambaran filem Metrowealth Movies Production (MMP), 'Cinta Kolesterol'. Itu belum persiapan rakaman album yang dijangka untuk pasaran Jun atau Julai serta komitmen promosi filem serta jurucakap produk dan undangan menyanyi. Ternyata Erra merindu masa rehat dan bersama keluarga di rumah tetapi mustahil semua itu banyak dilaluinya dengan jadualnya yang cukup sibuk.

Ikuti perjalanan sehari dalam hidup Erra jika tiada penggambaran iaitu saat yang cukup dinantikannya kerana jadualnya yang padat.

9 pagi
Bermulanya hari baru saya. Bangun tidur dan terus kemas katil. Untuk sarapan, saya mengambil sekeping roti bakar disapu kaya bersama secawan Milo. Itu sudah cukup untuk mengalas perut sebelum melakukan kerja-kerja ringan.

11 pagi
Kemas rumah apa yang patut atau rehat sekejap serta meluangkan masa bermain dengan kucing. Sedar-sedar hari sudah tengah hari dan saya mandi serta bersiap-siap untuk keluar. Inilah masanya hendak jumpa kawan, keluar membeli-belah ataupun memenuhi janji temu yang bukan berkaitan kerja seperti penjagaan muka.

1 petang
Saya memang tidak makan tengah hari. Cukuplah sekeping roti yang saya makan waktu sarapan tadi kerana saya mahu makan kuih waktu petang. Bagi saya sarapan dan minum petang penting tapi kadang-kadang saya makan nasi bersama lauk tetapi tidaklah selalu.

5 petang
Kalau saya berada di luar, saya akan minum petang (Hi-Tea) di luar. Minum Nescafe dan makan kuih terutama kek.

7 malam
Saya berehat untuk bersedia ke gym. Sebelum itu saya pastikan makan sekeping roti dicicah dengan Milo.

8 malam
Saya berada di gym melakukan senaman selama dua jam. Ini penting untuk menjaga bentuk badan serta badan sihat cergas.

10 malam
Inilah saat ditunggu-tunggu iaitu masa menjamu selera. Biasanya saya hanya makan nasi waktu malam. Masa tidur pula saya pastikan tiga jam selepas makan.

1 pagi
Kalau saya makan jam 10.00 malam bermakna 1.00 pagi barulah saya masuk tidur, begitulah selanjutnya untuk memberi masa kepada badan memproses makanan. Sementara menanti waktu tidur, saya membaca buku atau komik.

Saya suka membaca novel atau buku agama. Kalau novel, saya suka baca novel cinta. Buku terbaru yang saya baca? Mmm... novel 'Mel & Boy' tapi lupa karya siapa. Kalau bercakap mengenai membaca novel, saya sanggup habiskannya sepanjang malam sampai jam 4 pagi jika ceritanya menarik.

Tempoh tidur paling ideal bagi saya ialah selama lapan jam tetapi susah nak dapat masa ini kerana biasanya tidur selama enam jam.