SELEPAS kejayaan 'Mr. Cinderella' yang menggandingkan pasangan Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim mencatat kutipan RM3 juta September lalu, tentunya cabaran lebih hebat dirasakan untuk pembikinan sambungannya kerana sasaran produsernya, Mohd Noor Kadir ialah menghasilkan filem blockbuster.
Persoalan mengapa filem ini tidak mengekalkan pengarah asalnya, Ahmad Idham sebaliknya diserahkan kepada Din CJ, masih diperkatakan dan hanya produsernya yang lebih arif mengenai strategi untuk memastikan matlamatnya menjadi kenyataan. Mohd Noor yang terkenal dengan wajah tenangnya, menegaskan pihaknya tidak menghadapi masalah dengan Idham sebaliknya yakin perubahan perlu setiap kali menghasilkan filem.
Katanya, dia juga memberi peluang kepada muka baru untuk mencuba nasib di layar perak sebagaimana kepercayaan dan peluang yang diberinya kepada Idham untuk filem pertamanya.
Apa yang mampu saya katakan ialah persediaan saya lebih kuat untuk filem kedua ini baik dari segi cerita dan barisan pelakonnya untuk memastikan penonton 'Mr. Cinderella' terus menyaksikan sambungannya selain menarik penonton baru. Cerita kali ini agak meruntun jiwa berbanding sebelumnya dihiasi humor dan romantik, katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem ini malam semalam.
Majlis yang diadakan di Kelab Century Paradise di Taman Melawati dilancarkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor serta mendapat sokongan ramai produser dan pengarah tanah air. Filem ini memulakan penggambaran mulai hari ini di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor dan sekitar Lembah Klang sebelum berlepas ke New Zealand pertengahan bulan depan.
Mengenai keistimewaan sambungannya, Din CJ berkata, dia cukup bertuah kerana diberi tugas pertama sebagai pengarah filem untuk produksi Kuasatek Pictures Sdn Bhd yang terkenal kerana karya hebatnya sebelum ini. Katanya, dia mendapat sokongan penuh daripada produser untuk menghasilkan kerja terbaiknya untuk memastikan kejayaan filem ini termasuk perbincangan dan menyediakan keperluan diperlukan.
Sehingga proses pembacaan skrip dua hari lalu, Mohd Noor menerima idea daripada saya dan juga pelakon untuk memperbaiki kekurangan yang ada. Anita Sarawak yang memegang watak setiausaha Puteri Megawati turut memberi idea untuk mewarnai penampilannya nanti. Terus terang saya katakan saya tidak rasa apa-apa sebaliknya berusaha memberikan hasil terbaik untuk filem ini, katanya terkenal melalui drama bersiri 'Cinderella'.
Selain Erra dan Yusry sebagai tunjangnya, pelakon asal 'Mr. Cinderella' yang dikekalkan ialah Opie Zami sebagai Kumin, M. Rajoli (Sultan), Khadijah Ibrahim (Permaisuri), Umie Aida (Melor) dan Helmi Gimmick (Hassan). Pelakon menjulang naik, Maya Karin dan Rashid Salleh turut menyerikan lagi filem ini bersama nama-nama hebat seperti Datuk Ismail Hutson, Datuk Jamali Shadat, Jalaluddin Hassan serta penampilan khas Anita Sarawak.
Kisahnya bermula dengan Hakimi (Yusry) menerajui syarikat Megapuri Berhad selepas bertunang dengan Puteri Megawati (Erra) untuk menjadi lelaki berdikari dan berimej korporat. Hakimi bekerjasama dengan syarikat milik Datuk Johan (Ismail Hutson) dan anaknya, Anis (Maya) yang berpengkalan di New Zealand, Agro Products.
Tindak tanduk Hakimi mencurigai Sultan hingga memutuskan pertunangan dan ini mengecewakan Hakimi lalu mengambil peluang mendekati Anis serta ditawarkan jawatan penting dalam Agro Products. Ini menimbulkan rasa tidak senang Shamsul (Rashid) yang menjadi nadi Agro Products serta menaruh hati dengan Anis.
Hakimi dalam dilema antara simpati pada Anis dan kasihnya pada Megawati apabila
Anis cedera parah hampir dibunuh penculik. Hakimi mengesyaki Megawati bertanggungjawab
dalam semua ini kerana menjadi orang terakhir kelihatan bersama Anis ketika
menaiki kapal terbang pulang ke Kuala Lumpur.