Aziz pertaruh 'Gila-gila Pengantin'

KEJAYAAN Aziz M Osman menghasilkan filem komedi tidak perlu dipertikaikan lagi dengan kejayaan filem lakonan Senario seperti 'Senario The Movie', 'Senario Lagi' dan kemuncaknya 'Lagi-lagi Senario' (LLS) yang mencatat kutipan RM6 juta awal tahun lalu. Bagaimanapun karya terbarunya, 'Gila-gila Pengantin' yang akan menemui penonton mulai 30 Januari ini cukup bermakna kepada Aziz kerana bekerjasama dengan Skop Production Sdn Bhd di bawah syarikatnya Ace Motion Pictures Sdn Bhd.

Aziz ketika ditemui di majlis pra-tontonnya semalam, berkata, dia menyerahkan kepada penonton untuk menilai karya terbarunya kerana filem ini dihasilkan khusus untuk hiburan ringan kepada semua lapisan penonton. Katanya, dia sedar penonton datang ke panggung untuk berhibur dan tidak seharusnya membebankan mereka dengan mesej atau falsafah yang cuba disampaikan.

“Kisah yang dipaparkan begitu mudah serta ditampilkan dalam bentuk komedi. Apapun filem ini berlainan dengan LLS kerana ditunjangi bintang komedi seperti Senario sebaliknya GGP diwarnai oleh pelakon filem seperti Erra Fazira, Norman Hakim, Hairie Othman dan Juliana Banos. GGP juga lebih bermakna kerana saya bertindak sebagai pengeluar modal selain menjadi pengarah dan penulis skrip. Saya berterima kasih kepada Datuk Yusof Haslam kerana memberi semangat dan keyakinan kepada saya menghasilkan filem sendiri.

“Sokongan beliau mengeluarkan sebahagian lagi modal cukup bermakna kepada saya yang masih mencari tapak dalam industri. Sudah tentu saya mengharapkan keuntungan supaya dapat terus menghasilkan filem pada masa akan datang. Selepas ini saya akan bekerja untuk Tayangan Unggul mengarahkan filem 'Bintang Hati' yang memulakan penggambaran 27 Januari ini selepas selesai filem 'Trauma' juga filem Tayangan Unggul,” katanya.

Majlis pra-tonton GGP di Golden Screen Cinema (GSC), Mid Valley turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara & Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Filem ini dibantu oleh pelakon komedi terkenal seperti M Rajoli, Osman Kering, Syanie Hisham dan Salih Yaacob.

Kisahnya bermula dengan Aleya (Erra) menjalin perkenalan dengan Putera Idaman melalui internet menggunakan nama Cinderella. Mereka bertemu selepas dua bulan berkenalan tetapi Aleya kecewa dengan lelaki yang ditemuinya. Secara tidak sengaja, Aleya dipertemukan dengan Johari (Norman). Aleya juga berkenalan dengan Putera Idola tetapi tidak berani untuk bertemu lagi lalu meminta bantuan sepupunya, Wanda (Juliana) menyamar sebagai dirinya.

Wanda adalah tunangan Harun (Harie) yang akan berkahwin dua minggu lagi tetapi Wanda terpikat dengan Putera Idola yang juga Johari yang mengusahakan klinik gigi. Sebenarnya Johari mencari gadis yang pernah menyelamatkannya dalam satu majlis perkahwinan kira-kira 15 tahun lalu dan cukup fobia naik pelamin.

Filem ini memulakan penggambaran pada 15 Julai tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan tempoh penggambaran ialah 30 hari. Kos penerbitan ialah RM1.2 juta termasuk promosi dan jumlah ini dikongsi bersama oleh Skop dan Ace Motion. Menurut Yusof, filem ini akan ditayangkan di 40 panggung di seluruh negara termasuk bebeberapa panggung di Singapura dan Brunei.

“Saya berharap filem ini mendapat sambutan baik untuk memberi semangat kepada produser kecil seperti Aziz mengorak langkah menghasilkan lebih banyak filem pada masa akan datang. Saya memberi kebebasan kepada Aziz dalam berkarya dan sekadar membantu dari segi pemilihan pelakon, promosi dan juga pengedaran selain sebahagian modal. Insya Allah saya akan bekerjasama lagi dengan Aziz sekurang-kurangnya satu filem setahun,” katanya yang akan berlepas ke Makkah pada 22 Januari ini menunaikan haji.